Oleh: Nordiana Shafiee dan Siti Nor Faizah Mohd Basir
Gambar oleh: Pusat Alumni
UUM ONLINE: Seremban - Kejayaan graduan Sarjana Muda Pentadbiran Perniagaan (Logistik dan Pengangkutan), Avaraajaeyankavein a/l Avadayan yang menamatkan pengajian dengan kelas pertama menjadikan anak kelahiran Negeri Sembilan itu terpilih menerima Anugerah Siswazah Cemerlang Kelas Pertama Negeri Sembilan di Klana Resort, baru-baru ini.
Dengan anugerah tersebut, Avaraajaeyankavein yang kini merupakan alumni UUM membawa pulang wang tunai berjumlah RM5,000 yang disampaikan Menteri Besar Negeri Sembilan, Dato’ Seri Aminuddin Harun pada Majlis Penyampaian Anugerah Siswazah Cemerlang Kelas Pertama Negeri Sembilan.
Avaraajaeyankavein antara 150 pelajar institusi pengajian tinggi (IPT) menerima hadiah penghargaan tersebut atas pencapaian cemerlang masing-masing.
Menurut Menteri Besar Negeri Sembilan, hadiah penghargaan itu diberikan kepada pelajar IPT dari kalangan anak negeri itu yang mendapat keputusan cemerlang kelas pertama melibatkan peruntukan keseluruhan sebanyak RM878,400.
Katanya, terdapat juga lapan penuntut mendapat hapus kira pinjaman pendidikan yang berjumlah RM128,400.
"Penghargaan ini amat signifikan khususnya dalam memberikan pengiktirafan kepada siswazah selain dorongan kepada pelajar yang sedang belajar di IPT untuk belajar bersungguh-sungguh.
"Kerajaan negeri akan terus komited untuk menghargai dan mengiktiraf budaya kerja cemerlang masyarakat khususnya mahasiswa universiti," katanya.
Aminuddin berharap pemberian hadiah berkenaan dapat menggalakkan penuntut IPT untuk terus berusaha gigih memberikan komitmen kepada pengajian dan budaya kecemerlangan yang berkualiti tinggi.
Katanya, beliau yakin anugerah itu bukan sekadar pendorong atau pengiktirafan, bahkan dalam skop yang lebih luas lagi iaitu menjadi nadi penggerak dan peneraju kepada perubahan positif, bagi membudayakan kecemerlangan dalam kehidupan.
UUM ONLINE: Alumni UUM Sarawak Chapter (AURAS) adalah platform terbaik kepada lebih 4,000 graduan UUM dari Sarawak yang berjaya dalam bidang masing-masing untuk menyumbang kembali kepada Universiti dan masyarakat dengan menyediakan bantuan kewangan kepada pelajar Universiti Utara Malaysia (UUM) dari Sarawak.
AURAS merupakan sebahagian daripada Persatuan Alumni Universiti Utara Malaysia (UUM) yang telah berjaya dalam kerjaya di bidang masing-masing.
Naib Canselor UUM, Prof. Dr Haim Hilman Abdullah amat menghargai inisiatif AURAS yang memikul sebahagian daripada tanggungjawab universiti dalam melahirkan modal insan yang kompeten, bertanggungjawab dan beretika ke arah pertumbuhan ekonomi dan pembangunan masyarakat di Malaysia.
“Kami mengucapkan terima kasih kepada AURAS kerana bersama-sama mengumpul dana untuk membantu Pengurusan universiti dalam menaik taraf asrama pelajar, penyediaan dermasiswa dan bantuan kewangan kepada pelajar Sarawak yang memerlukan terutamanya mereka dari latar belakang keluarga B40.
“AURAS melalui syarikat rakan kongsinya Richmind Consulting dan Mentoring Sdn Bhd turut menyediakan program bimbingan khas kepada 20 pelajar UUM dari Sarawak,” ujarnya.
Secara keseluruhan, nilai sumbangan yang dihulurkan mencecah kira-kira RM54,000 dan berharap aktiviti seumpama ini akan diteruskan pada masa akan datang.
Haim Hilman diraikan pada Majlis Makan Malam Gala AURAS 2022 di Kuching yang dihadiri kira-kira 100 ahli AURAS yang merupakan perhimpunan kedua sejak diadakan pada 2018.
Sementara itu, Pengerusi Protem AURAS, Chi Poh Yung berkata, AURAS bertekad akan menganjurkan lebih banyak aktiviti menarik untuk memanfaatkan kekuatan alumni Sarawak dalam usaha menjadi sebuah negeri maju menjelang tahun 2030.
“Sejak 38 tahun lalu, UUM telah melahirkan ramai graduan yang berjaya dalam kerjaya di sektor awam, swasta termasuk dalam perniagaan dan keusahawanan.
“Kami sentiasa berterima kasih kepada alma mater, UUM kerana menjadikan siapa kami pada hari ini dan akan terus menyumbang kembali kepada UUM dalam pelbagai kaedah selari dengan motonya, Ilmu, Budi, Bakti,” katanya.
UUM ONLINE: Kuala Lumpur - Meskipun lahir sebagai anak tunggal, namun kesusahan hidup yang dilalui mendorong graduan Sarjana Muda Pengurusan Hal Ehwal Antarabangsa, Shashivarmaan Thevaraj untuk cemerlang dalam akademik dan kokurikulum hingga diiktiraf Yayasan Tunku Abdul Rahman (YTAR) yang menganugerahkan Anugerah Pingat Tunku Emas bagi tahun 2021, baru-baru ini.
Pencapaian anak muda berasal dari Port Dickson, Negeri Sembilan itu menjadikannya alumni pertama Universiti Utara Malaysia (UUM) yang menerima anugerah tersebut, sekali gus membawa pulang hadiah wang tunai berjumlah RM10,000 dan Geran Program Komuniti sebanyak RM10,000.
Bercerita tentang kejayaannya, Shahivarmaan, 24, berkata, dia berasal dari keluarga susah yang mana bapanya bekerja sebagai pengawal keselamatan, manakala ibunya bekerja di kilang memberinya semangat untuk belajar bersungguh-sungguh dengan harapan dapat mengubah nasib keluarga menjadi lebih baik pada masa hadapan.
"Sepanjang berada di universiti, saya berusaha untuk mendapat keputusan peperiksaan yang cemerlang dan usaha saya berbaloi kerana berjaya mendapat Anugerah Dekan pada setiap semester.
"Selain memastikan keputusan akademik cemerlang, saya juga terlibat aktif dalam aktiviti kokurikulum seperti program kepimpinan yang dianjurkan Yayasan Tunku Abdul Rahman sendiri. Malah, saya juga berpeluang menjalankan kajian bersama seorang penyelidik tentang isu tanpa kerakyatan (stateless) di Malaysia untuk Suruhanjaya Hak Asasi Manusia Malaysia," katanya.
Berkat kesungguhan dan sikap tidak berputus asa Shahivarmaan itu juga, dia terpilih mewakili Malaysia ke Program Young South East Asian Leaders Initiative (YSEALI) di Amerika Syarikat, baru baru ini.
Anak muda yang merupakan penerima biasiswa Yayasan Tunku Abdul Rahman itu turut merakamkan penghargaan kepada pensyarah UUM, rakan-rakan dan juga pihak yayasan kerana memberi bimbingan dan tunjuk ajar kepadanya sehingga beroleh kejayaan tidak ternilai.
"Semestinya tidak dilupakan pengorbanan ibu bapa saya dan juga nenek serta ibu saudara yang membesarkan saya sejak kecil lagi," ujarnya.
Anugerah Pingat Tunku meraikan graduan holistik dari universiti awam tempatan di Malaysia di peringkat Ijazah Sarjana Muda yang menunjukkan kecemerlangan dari segi akademik,daya kepimpinan dan sikap serta keperibadian mulia serta mencontohi nilai murni Bapa Kemerdekaan, Almarhum Tunku Abdul Rahman Putra Al-Haj.
Anugerah tersebut telah disampaikan Ahli Lembaga Pemegang Amanah YTAR, Datin Seri Sharifah Menyalara Hussein dan Pemangku Ketua Eksekutif YTAR, Ida Thien.
Turut menerima anugerah tersebut bagi kategori perak dan gangsa ialah dua alumni dari Universiti Kebangsaan Malaysia dan seorang dari Universiti Putra Malaysia.
Oleh : Siti Nor Faizah Binti Mohd Basir
SINTOK, 23 November – Pengarah Pusat Alumni UUM, Prof. Madya Dr. Lily Julienti Abu Bakar telah memenuhi jemputan ke pembukaan cawangan baharu Restoran Secret Recipe oleh alumni UUM yang bertempat di Hutan Kampung, Kedah baru-baru ini.
Lebih membanggakan lagi apabila diusianya yang baru menginjak ke angka 24 tahun dan baru sahaja menamatkan pengajian telah berani mengambil risiko dengan membuka cawangan Restoran Secret Recipe dibawah kendalian beliau sendiri.
Mohd Aizal Shahrizal Mohd Zaini Alumni UUM, merupakan seorang pelajar Ijazah Sarjana Muda Perakaunan (2022) yang baru sahaja menamatkan pembelajaran beliau baru-baru ini.
“Semasa zaman belajar dahulu, saya pernah menjalankan perniagaan secara kecil-kecilan dengan menjual kek pisang di dalam universiti dan alhamdulillah apabila sudah tamat belajar keluarga saya memberi dorongan kepada saya untuk mencuba membuka sebuah cawangan Restoran Secret Recipe dan insyaallah saya akan membuka dua lagi cawangan Restoran Secret Recipe di Daerah Pendang dan Alor Star.” katanya.
Beliau menceburi bidang makanan dan minuman (F&B) kerana minat beliau yang mendalam dalam perniagaan. Beliau juga berharap agar mahasiswa yang mempunyai minat menceburi bidang perniagaan harus berani mengorak langkah mengambil risiko mencuba sesuatu yang baharu.
Turut hadir dalam majlis perasmian cawangan baharu Restoran Secret Recipe itu ialah Timbalan Naib Canselor (Hal Ehwal Pelajar dan Alumni), Profesor Dr. Ahmad Martadha Mohamed.