UUM ONLINE: SINTOK, 5 September 2026: Alumni Universiti Utara Malaysia (UUM) terus menunjukkan keprihatinan terhadap kebajikan pelajar menerusi pelbagai bentuk sumbangan bagi membantu mahasiswa yang memerlukan, khususnya dalam menghadapi cabaran kewangan sepanjang pengajian.
Naib Canselor UUM, Prof. Dr. Ahmad Martadha Mohamed, berkata sumbangan alumni amat bermakna dalam membantu pelajar meneruskan pengajian serta meningkatkan kecemerlangan pendidikan mereka di UUM.
Beliau berkata, Majlis Makan Malam Amal Alumni UUM yang diadakan sempena Mai Balik UUM 2.0 turut membawa misi penting dalam mengumpulkan dana bagi Tabung Kebajikan Pelajar UUM agar lebih ramai pelajar yang memerlukan dapat dibantu pada masa hadapan.
“Sesungguhnya, sumbangan daripada para alumni sangat bermakna dalam membantu anak-anak UUM, terutama meningkatkan lagi kecemerlangan pendidikan mereka ketika mereka belajar di UUM,” katanya ketika berucap pada majlis tersebut di Dewan Mu’adzam Shah, UUM, malam tadi.
Menurut beliau, tidak semua mahasiswa melalui perjalanan pengajian yang mudah kerana ada yang berdepan cabaran kewangan, masalah kesihatan dan pelbagai keadaan lain yang boleh menjejaskan kehidupan serta pengajian mereka.
“Justeru, melalui sumbangan para alumni pada malam ini, kita berharap dapat meringankan sedikit beban mereka agar mereka dapat meneruskan pengajian dengan lebih baik dan menamatkan pengajian dengan jayanya,” katanya.
Dalam pada itu, UUM turut meraikan pelancaran buku bertajuk “Strategi Komunikasi Kerajaan dalam Pelaksanaan Sistem Percukaian GST di Malaysia”, hasil penulisan Datuk Seri Dr. Ahmad Maslan bersama Prof. Madya Dr. Nik Adzrieman Abdul Rahman dan Dr. Suhaini Muda.
Buku berkenaan mengangkat isu komunikasi kerajaan dalam pelaksanaan dasar awam, dengan menekankan kepentingan komunikasi yang berkesan dalam memastikan sesuatu dasar dapat difahami dan diterima oleh masyarakat.
Mesej utama yang diketengahkan menerusi karya tersebut ialah “Sesuatu dasar yang baik perlu disokong oleh komunikasi yang baik.”
Pada majlis sama, turut berlangsung pelancaran Aplikasi Mobile Alumni Management Information System (AMIS) yang disempurnakan oleh Naib Canselor UUM, Prof. Dr. Ahmad Martadha Mohamed.
Pelancaran aplikasi tersebut merupakan satu langkah penting Pusat Alumni UUM dalam memperkukuh pengurusan data dan hubungan dengan komuniti alumni yang semakin berkembang, selain memastikan alumni sentiasa dekat dengan UUM.
Turut hadir, Dato’ Muhamad Khizri Abu Kassim yang mewakili Pengerusi Lembaga Pengarah Universiti; Ahli-ahli Lembaga Pengarah Universiti; Ahli-ahli Jawatankuasa Pengurusan Universiti; Pengarah Pusat Alumni UUM, Prof. Madya Dr. Lily Julienti Abu Bakar; pegawai-pegawai kanan universiti serta para alumni UUM.
SINTOK, 4 September 2026: : Pusat Alumni Universiti Utara Malaysia (UUM) menganjurkan Majlis Kenduri Alumni Mai Balik UUM 2.0: ‘The Legacy of Giving’ dengan penyertaan 20 kenderaan konvoi alumni, sekali gus menyemarakkan lagi penganjuran program yang menghimpunkan alumni bagi memperkukuhkan hubungan berterusan dengan alma mater.
Naib Canselor UUM, Prof. Dr. Ahmad Martadha Mohamed berkata, kepulangan alumni ke UUM bukan sekadar untuk mengenang kenangan lalu, sebaliknya menjadi simbol hubungan yang terus terjalin serta peluang untuk bersama-sama membina masa hadapan universiti.Dalam ucapannya, beliau menegaskan bahawa kepulangan alumni ke UUM bukan sekadar untuk mengenang kenangan lalu, sebaliknya menjadi simbol hubungan yang terus terjalin serta peluang untuk bersama-sama membina masa hadapan universiti.
Menurutnya, Alumni Learning and Training Centre (ALTRAC) bukan sekadar sebuah ruang fizikal, tetapi berperanan sebagai ruang pertemuan, perkongsian ilmu dan platform untuk alumni kembali menyumbang kepada universiti.Beliau turut menggalakkan alumni memanfaatkan kemudahan ALTRAC bagi menjalankan pelbagai aktiviti bersama pelajar, termasuk berkongsi pengalaman, membimbing serta membuka ruang jaringan dan peluang kepada mereka.“Datanglah ke UUM. Gunakanlah kemudahan yang telah disediakan. Bawalah pengalaman tuan-tuan dan puan-puan untuk dikongsikan dengan mahasiswa,” katanya dalam teks ucapan yang dibacakan oleh Penolong Naib Canselor UUM CAS, Prof. Dr. Ts. Osman Ghazali, Jumaat lalu.
Dalam pada itu, majlis berkenaan turut menyaksikan penyerahan sumbangan daripada Alumni UUM Sarawak (AURAS) bernilai RM4,000 kepada UUM.Dr. Ahmad Martadha turut menekankan bahawa penglibatan alumni boleh diperluaskan melalui pelbagai platform termasuk aktiviti akademik, kebajikan, keusahawanan, sukan, rekreasi dan komuniti.Beliau berharap agar Mai Balik UUM 2.0 menjadi titik permulaan kepada lebih banyak program dan kolaborasi antara alumni, pelajar dan universiti pada masa akan datang, sekali gus menjadikan ALTRAC sebagai pusat yang aktif dengan perkongsian ilmu, interaksi, aktiviti dan sumbangan alumni.
SINTOK, 5 September 2026: Program Mai Balik UUM 2.0: The Legacy of Giving memasuki hari kedua dengan menghimpunkan kira-kira 100 alumni Universiti Utara Malaysia (UUM) menerusi pelbagai aktiviti yang menggabungkan elemen kesukanan, silaturahim dan nostalgia di alma mater.
Program dimulakan dengan aktiviti senamrobik yang disertai para alumni dalam suasana ceria dan santai, sekali gus menjadi pembuka tirai kepada pengisian program hari kedua.Program kemudiannya diteruskan dengan Sukan Persahabatan Alumni yang merangkumi Pertandingan Bola Sepak Alumni dan Alumni Fun Run 2026 sejauh tiga kilometer bertempat di Stadium UUM.
Penyertaan kira-kira 100 alumni dalam aktiviti berkenaan bukan sahaja menyemarakkan semangat kesukanan, malah menjadi wadah untuk alumni daripada pelbagai generasi kembali ke kampus dan mengeratkan hubungan sesama mereka serta dengan alma mater.Seterusnya, para alumni menyertai Discover UUM, yang memberi peluang kepada mereka meninjau semula persekitaran kampus serta melihat perkembangan dan kemudahan terkini yang terdapat di UUM.
Sementara itu, program diteruskan dengan aktiviti Jenguk Bilik Lama yang memberi peluang kepada para alumni mengimbau kembali kenangan ketika zaman pengajian, khususnya pengalaman menetap di kolej kediaman UUM. Bagaikan sirih pulang ke gagang, kepulangan para alumni ke bilik dan kolej kediaman yang pernah menjadi sebahagian daripada kehidupan mereka menghidupkan kembali nostalgia serta kenangan manis sepanjang bergelar mahasiswa UUM.Ketika melawat kembali bilik yang pernah menjadi tempat berteduh suatu ketika dahulu, para alumni dapat melihat sendiri perubahan ruang yang pernah mereka diami, daripada bilik yang menyimpan seribu satu cerita kepada wajahnya yang kini mungkin sudah berbeza.Walaupun bilik dan suasananya telah berubah, kenangan yang pernah tercipta di situ tetap dekat di hati.Ada yang kembali sekadar menjenguk, namun membawa pulang semula memori tentang kawan-kawan, gelak tawa dan kehidupan sebagai mahasiswa suatu ketika dahulu.
Antara INASIS yang terlibat dalam aktiviti berkenaan ialah YAB/Aseania 1, Tradewinds/Pernas, Sime Darby/Guthrie, MAS, Bank Islam/EON/Grantt, TM, TNB, BSN/Perwaja, Bank Rakyat/Kachi 1, SME Bank/Kachi 2 serta Perodua/Petronas.Program Mai Balik UUM 2.0 anjuran Pusat Alumni UUM bersama Alumni UUM menjadi platform untuk menghimpunkan kembali alumni ke alma mater, selain memperkukuh jaringan dan hubungan berterusan antara alumni dengan universiti.
Delegasi Pusat Hubungan Alumni Universiti Malaya Adakan Kunjungan Hormat ke Pusat Alumni UUM
SINTOK, 26 Julai 2026: Pusat Alumni Universiti Utara Malaysia (UUM) menerima kunjungan hormat daripada delegasi Pusat Hubungan Alumni Universiti Malaya (UM) yang diketuai oleh Prof. Madya Sr. Dr. Saipol Bari Abd Karim, Pengarah Pusat Hubungan Alumni Universiti Malaya.
Delegasi tersebut telah disambut oleh Timbalan Pengarah Pusat Alumni UUM, Puan Amelia Binti Hakimi, bersama warga Pusat Alumni UUM.
Kunjungan ini bertujuan mengukuhkan hubungan strategik antara kedua-dua institusi di samping berkongsi amalan terbaik dalam pengurusan alumni, pelaksanaan program, strategi memperkasakan jaringan alumni serta inisiatif yang mampu meningkatkan penglibatan alumni dengan universiti.
Timbalan Pengarah Pusat Alumni UUM, Puan Amelia Hakimi, berkata kunjungan seumpama ini merupakan platform terbaik untuk memperkukuh hubungan antara institusi pengajian tinggi melalui perkongsian pengalaman dan amalan terbaik dalam pengurusan alumni.
“Kami amat mengalu-alukan kunjungan daripada Pusat Hubungan Alumni Universiti Malaya sebagai satu langkah positif dalam memperkukuhkan hubungan antara institusi. Perkongsian idea dan pengalaman seperti ini memberi nilai tambah kepada usaha memperkasakan pengurusan alumni, di samping membuka ruang kepada pelaksanaan program serta kerjasama strategik yang mampu memberi manfaat kepada universiti dan alumni,” katanya.
Sepanjang lawatan, delegasi turut diberikan taklimat mengenai fungsi dan peranan Pusat Alumni UUM serta pelbagai inisiatif yang dilaksanakan bagi memperkukuh hubungan antara universiti dan komuniti alumni.
Sesi perbincangan yang berlangsung dalam suasana mesra dan konstruktif turut membuka ruang untuk pertukaran idea serta penerokaan peluang kerjasama yang memberi manfaat kepada kedua-dua institusi.
Kunjungan ini diharapkan menjadi pemangkin kepada hubungan yang lebih erat antara Universiti Utara Malaysia dan Universiti Malaya dalam memperkasa agenda pembangunan alumni serta memperluas jaringan kerjasama strategik.