SINTOK: Sumbangan Persatuan Alumni Universiti Utara Malaysia Sarawak (AURAS) dalam pembangunan universiti diharap dapat menjulang nama UUM di peringkat lebih tinggi lagi.
Naib Canselor, Prof. Dr. Mohd Foad Sakdan berkata, walaupun AURAS masih dalam proses penubuhan, tetapi mereka berjaya mengumpul 185 alumni dari Sarawak secara rasminya.
Menurutnya, AURAS telah memainkan peranan efektif ke atas UUM menerusi penyediaan biasiswa alumni kepada pelajar B40 Sarawak berjumlah RM8,000.
Di samping itu, pembangunan pelajar melalui program mentoring Syarikat Richmind Consulting and Mentoring Sdn. Bhd. yang diadakan pada Sabtu lalu.
“Saya berharap program seperti ini akan diaktifkan lagi oleh AURAS di mana secara tidak langsung dapat membantu memartabatkan nama UUM.
“Universiti juga berhasrat untuk bekerjasama dengan alumni dalam aktiviti-aktiviti yang dapat menyumbang kepada pembangunan universiti serta warganya sesuai dengan slogan UUM iaitu Ilmu, Budi, Bakti,” katanya pada Majlis Makan Tengah Hari Bersama Naib Canselor dan AURAS di Manager’s Coffee, hari ini.
Dr. Mohd Foad turut berkongsi kejayaan UUM berada di kedudukan 99 universiti terbaik Asia dan kedua terbaik di Malaysia dalam Times Higher Education (THE) Asia University Rankings 2023.
Program Alumni Homecoming: Alumni UUM Sarawak Chapter (AURAS) pada kali ini telah berjaya menghimpunkan seramai 12 alumni Sarawak.
Program pada kali ini telah merangkumi 5 ‘pillar’ Pusat Alumni iaitu Alumni Engagement, Alumni Day Homecoming, Alumni Bonding, Alumni Endownment dan Alumni Mentoring.
Sementara itu, Presiden AURAS, Chi Poh Yung berterima kasih atas kehadiran Naib Canselor bersama Timbalan Naib Canselor (Hal Ehwal Pelajar dan Alumni) yang menunjukkan sokongan kuat pihak UUM terhadap AURAS.
Ujarnya, fokus AURAS adalah menganjurkan aktiviti-aktiviti yang berkaitan dengan kebajikan, rekreasi, ekonomi dan pendidikan kepada alumni UUM dan masyarakat di Sarawak secara amnya.“Kami berjanji sebagai alumni UUM akan terus memelihara nama baik UUM sepanjang kami mewakili AURAS.
“Untuk meneruskan aspirasi menggalakan anak-anak muda meneruskan pelajaran mereka, AURAS akan menganjurkan satu program Jalinan Kasih UUM ke Saribas yang akan berlangsung pada September nanti,” katanya.
Pada majlis itu, Poh Yung telah menyerahkan sumbangan bernilai RM5,000 untuk Tabung Kebajikan Pusat Alumni UUM kepada Dr. Mohd Foad.
Oleh: Siti Nor Faizah Binti Mohd Basir
Kuala Lumpur, 19 Mei – Pusat Alumni UUM menghadiri Mesyuarat Majlis Alumni Universiti Awam (MALUMNI) yang berlangsung di Universiti Malaya (UM) baru-baru ini.
Mesyuarat Majlis MALUMNI ini menjadi mesyuarat yang pertama kali dihadiri oleh pengarah baharu Pusat Alumni UUM, Prof. Madya Dr. Mohd Sobri Don.
Pada Mesyuarat tersebut, seluruh ahli MALUMNI mengucapkan tahniah kepada Dr. Mohd Sobri atas pelantikan sebagai pengarah baharu dan mengalu-alukan kehadiran beliau demi mengukuhkan lagi kerjasama ke arah pembangunan MALUMNI.
Mesyuarat juga merakamkan ucapan penghargaan dan terima kasih kepada Prof. Madya Dr. Lily Julienti Abu Bakar atas khidmat bakti serta sumbangan yang telah dicurahkan kepada MALUMNI sepanjang berkhidmat sebagai pengarah di Pusat Alumni UUM.
Turut hadir ke mesyuarat tersebut ialah Encik Halim Yatim, Timbalan Pengarah Pusat Alumni.
Sintok, 9 Mei - Majlis Penyerahan Nota Serah Tugas Pengarah Pusat Alumni berlangsung dengan jayanya pada hari ini, di pejabat Pusat Alumni, Universiti Utara Malaysia (UUM).
Mantan pengarah, Profesor Madya Dr. Lily Julienti Abu Bakar telah hadir menyerahkan Nota Serah Tugas beliau kepada pengarah Pusat Alumni yang baharu, Profesor Madya Dr. Mohd Sobri Don dalam majlis yang turut dihadiri oleh semua warga kerja Pusat Alumni.
Seluruh warga Pusat Alumni merakamkan ucapan penghargaan dan terima kasih kepada Dr. Lily Julienti atas khidmat bakti serta sumbangan yang telah dicurahkan sepanjang berkhidmat di Pusat Alumni.
Selain itu, mereka juga mengucapkan ucapan tahniah kepada Dr. Mohd Sobri atas pelantikan sebagai pengarah Pusat Alumni yang baharu.