Friday, 07 June 2024 10:31

Program Bersama Sekolah Kebangsaan Sungai Dua dan Kampung Orang Asli Sungai Dua Hulu di Pahang: Membangun Jalinan Komuniti dan Pendidikan

Written by

Karak-Pusat Alumni dengan kerjasama Club Tomas STHEM telah mengadakan satu program bersama dengan anak-anak orang asli di Sekolah Kebangsaan Sungai Dua dan Kampung Orang Asli Sungai Dua Hulu, Karak, Pahang.  Program ini bersifat kepada perkongsian pengetahuan (KTP) dan juga program tanggungjawab sosial universiti (USR) serta membina hubungan komuniti antara pelbagai lapisan masyarakat.

Program ini mencipta platform interaktif di mana pelajar-pelajar UUM dari Club Tomas STHEM berpeluang untuk berinteraksi dan belajar bersama dengan anak-anak orang asli melalui slot penguasaan tatabahasa Bahasa Inggeris menggunakan kaedah bermain dengan perkataan Bahasa Inggeris "Spelling Bee”.

Selain itu, program ini juga bertujuan untuk menggalakkan kesedaran dan penghargaan terhadap kepelbagaian budaya di dalam Masyarakat orang asli. Dengan memperkenalkan budaya dan tradisi Orang Asli kepada pelajar UUM, diharapkan akan tercipta pemahaman yang lebih mendalam dan toleransi antara pelbagai etnik di Malaysia.  Rombongan dari UUM juga telah disambut meriah dengan paluan kompang dan pertunjukan tarian dari suku Temuan.

Pengetua Sekolah Sungai Dua, Encik Ahmad Jafri Dolah, memaklumkan bahawa sekolah ini telah terlibat dalam Projek Memperkasakan Amalan Kemenjadian Murid (MAKMur) sejak April 2022.  Ia merupakan Program Kerjasama Teknikal Jepun di antara Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) dan Japan International Cooperation Agency (JICA).  Projek MAKMur ini merupakan pengadaptasian pendidikan holistik yang diamalkan di Jepun yang disesuaikan dalam aktiviti dan amalan sedia ada di sekolah bagi memperkasakan proses pembentukan murid yang seimbang berdasarkan konteks dan budaya masyarakat di Malaysia.

"Dalam menangani pelajar-pelajar Orang Asli, kita perlu memahami bahawa setiap individu mempunyai keperluan dan potensi yang unik. Saya percaya bahawa melalui projek MAKMur ini dapat membangunkan karakter murid melalui penyatuan tiga elemen MAKMur, iaitu pemikiran, emosi dan tingkah laku bagi mencapai potensi sebenar mereka,” ujar Encik Jafri dengan yakin.

Semangat kerjasama dan sokongan untuk program pendidikan anak Orang Asli di Pahang semakin bertambah apabila Yang Beradat Batin Razak Beretong turut hadir untuk menyokong inisiatif ini.  Beliau menyatakan kebanggaan mereka terhadap langkah-langkah yang diambil oleh sekolah dan pihak berkuasa tempatan untuk membantu anak-anak mereka mencapai impian mereka melalui pendidikan.

Media