HEPA ONLINE : Itulah yang diungkapkan oleh sebahagian alumni Universiti Utara Malaysia (UUM) Chapter Sarawak (AURAS) ketika berkunjung ke U-Assist.

Lawatan ke U-Assist ini adalah sebahagian daripada rangka kerja bagi Program Alumni Homecoming: AURAS yang bermula pada 23 hingga 26 Jun 2023.

Ketika ditemubual, Presiden AURAS, Chi Poh Yung berkata, beliau sangat kagum melihat perkembangan dan kemudahan yang disediakan oleh U-Assist.

“Saya teruja melihat fasiliti di U-Assist dan percaya UUM dapat meningkatkan tahap kepuasan pelajar terhadap kualiti perkhidmatan yang ditawarkan di U-Assist”, ujar beliau.

Jacques Jagang yang hadir bersama suaminya yang mana kedua-dua mereka adalah Alumni UUM pula menekankan kehadiran AURAS ke Universiti ini adalah bagi tujuan memberi sumbangan dan motivasi kepada anak-anak Sarawak yang melanjutkan pengajian di kampus Sintok. 

Menurutnya lagi, fasiliti yang disediakan di U-Assist sangat mengagumkan hasil daripada penerapan digitalisasi dan kecanggihan infrastruktur teknologi maklumat.

U-Assist sebagai sebuah pusat perkhidmatan sokongan pelajar turut mendapat pujian daripada Hasimah Brahim yang menamatkan pengajian pada tahun 1999.

“Cara staf U-Assist mengendalikan servis di setiap kaunter sangat sistematik dan tersusun sekaligus meningkatkan kecekapan penyampaian perkhidmatan.

“Saya telah bekerja dengan tujuh syarikat sebelum bersara dan tidak pernah melihat perkhidmatan yang disediakan di bawah satu bumbung seperti U-Assist ini dan ia cukup baik,” tambah Rosmawati Mohamad Sahari yang mula melanjutkan pengajiannya di UUM pada tahun 1988.

Pengarah U-Assist, Suraya Deraman amat berbesar hati menerima lawatan daripada delegasi AURAS dan berharap lawatan seumpama ini dapat diperbanyakkan lagi untuk mengeratkan kerjasama dengan para alumni UUM dari serata dunia.

AURAS begitu komited dalam merencana dan melaksanakan pelbagai aktiviti serta program yang melibatkan alumni bagi mengekalkan hubungan yang konsisten di antara Alumni dan pihak pengurusan universiti.

 

 

 

 

 

Sunday, 25 June 2023 11:31

AURAS BANTU MARTABAT NAMA UUM

 

SINTOK: Sumbangan Persatuan Alumni Universiti Utara Malaysia Sarawak (AURAS) dalam pembangunan universiti diharap dapat menjulang nama UUM di peringkat lebih tinggi lagi.

Naib Canselor, Prof. Dr. Mohd Foad Sakdan berkata, walaupun AURAS masih dalam proses penubuhan, tetapi mereka berjaya mengumpul 185 alumni dari Sarawak secara rasminya.

Menurutnya, AURAS telah memainkan peranan efektif ke atas UUM menerusi penyediaan biasiswa alumni kepada pelajar B40 Sarawak berjumlah RM8,000.

Di samping itu, pembangunan pelajar melalui program mentoring Syarikat Richmind Consulting and Mentoring Sdn. Bhd. yang diadakan pada Sabtu lalu.

“Saya berharap program seperti ini akan diaktifkan lagi oleh AURAS di mana secara tidak langsung dapat membantu memartabatkan nama UUM.

“Universiti juga berhasrat untuk bekerjasama dengan alumni dalam aktiviti-aktiviti yang dapat menyumbang kepada pembangunan universiti serta warganya sesuai dengan slogan UUM iaitu Ilmu, Budi, Bakti,” katanya pada Majlis Makan Tengah Hari Bersama Naib Canselor dan AURAS di Manager’s Coffee, hari ini.

Dr. Mohd Foad turut berkongsi kejayaan UUM berada di kedudukan 99 universiti terbaik Asia dan kedua terbaik di Malaysia dalam Times Higher Education (THE) Asia University Rankings 2023.

Program Alumni Homecoming: Alumni UUM Sarawak Chapter (AURAS) pada kali ini telah berjaya menghimpunkan seramai 12 alumni Sarawak.

Program pada kali ini telah merangkumi 5 ‘pillar’ Pusat Alumni iaitu Alumni Engagement, Alumni Day Homecoming, Alumni Bonding, Alumni Endownment dan Alumni Mentoring.

Sementara itu, Presiden AURAS, Chi Poh Yung berterima kasih atas kehadiran Naib Canselor bersama Timbalan Naib Canselor (Hal Ehwal Pelajar dan Alumni) yang menunjukkan sokongan kuat pihak UUM terhadap AURAS.

Ujarnya, fokus AURAS adalah menganjurkan aktiviti-aktiviti yang berkaitan dengan kebajikan, rekreasi, ekonomi dan pendidikan kepada alumni UUM dan masyarakat di Sarawak secara amnya.

“Kami berjanji sebagai alumni UUM akan terus memelihara nama baik UUM sepanjang kami mewakili AURAS.

“Untuk meneruskan aspirasi menggalakan anak-anak muda meneruskan pelajaran mereka, AURAS akan menganjurkan satu program Jalinan Kasih UUM ke Saribas yang akan berlangsung pada September nanti,” katanya.

Pada majlis itu, Poh Yung telah menyerahkan sumbangan bernilai RM5,000 untuk Tabung Kebajikan Pusat Alumni UUM kepada Dr. Mohd Foad.

Hadir sama, Timbalan Naib Canselor (Hal Ehwal Pelajar dan Alumni), Prof. Dr. Ahmad Martadha Mohamed dan Pengarah Pusat Alumni, Prof. Madya Dr. Mohd Sobri Don @ A. Wahab.

 

 

 

 

 Oleh: Siti Nor Faizah Binti Mohd Basir

Kuala Lumpur, 19 Mei – Pusat Alumni UUM menghadiri Mesyuarat Majlis Alumni Universiti Awam (MALUMNI) yang berlangsung di Universiti Malaya (UM) baru-baru ini.

Mesyuarat Majlis MALUMNI ini menjadi mesyuarat yang pertama kali dihadiri oleh pengarah baharu Pusat Alumni UUM, Prof. Madya Dr. Mohd Sobri Don.

Pada Mesyuarat tersebut, seluruh ahli MALUMNI mengucapkan tahniah kepada Dr. Mohd Sobri atas pelantikan sebagai pengarah baharu dan mengalu-alukan kehadiran beliau demi mengukuhkan lagi kerjasama ke arah pembangunan MALUMNI.

Mesyuarat juga merakamkan ucapan penghargaan dan terima kasih kepada Prof. Madya Dr. Lily Julienti Abu Bakar atas khidmat bakti serta sumbangan yang telah dicurahkan kepada MALUMNI sepanjang berkhidmat sebagai pengarah di Pusat Alumni UUM.

Turut hadir ke mesyuarat tersebut ialah Encik Halim Yatim, Timbalan Pengarah Pusat Alumni.

 
 

 

 

 

 

 

 

Oleh: Siti Nor Faizah Binti Mohd Basir
 
IPOH, 7 MEI - Majlis Sambutan Hari Raya Aidilfitri anjuran Alumni MBA ’90 Universiti Utara Malaysia berlangsung meriah di sini baru-baru ini.
Pengarah baharu Pusat Alumni UUM, Profesor Madya Dr. Mohd Sobri Don turut hadir beramah mesra dalam majlis tersebut bersama-sama 10 orang Alumni Masters of Business Administration (MBA) sekitar tahun 90-an.
Di samping menikmati pelbagai juadah yang disediakan, pertemuan dalam majlis tersebut juga telah menjadi medan kepada Dr. Mohd Sobri dan para alumni yang hadir berbincang beberapa perkara untuk alumni dan universiti berkolaboratif, bagi pembangunan semua pihak, termasuk para pelajar UUM.

 

 

 

 

 

 

Oleh: Siti Nor Faizah Binti Mohd Basir
 

Sintok, 9 Mei - Majlis Penyerahan Nota Serah Tugas Pengarah Pusat Alumni berlangsung dengan jayanya pada hari ini, di pejabat Pusat Alumni, Universiti Utara Malaysia (UUM).

Mantan pengarah, Profesor Madya Dr. Lily Julienti Abu Bakar telah hadir menyerahkan Nota Serah Tugas beliau kepada pengarah Pusat Alumni yang baharu, Profesor Madya Dr. Mohd Sobri Don dalam majlis yang turut dihadiri oleh semua warga kerja Pusat Alumni.

Seluruh warga Pusat Alumni merakamkan ucapan penghargaan dan terima kasih kepada Dr. Lily Julienti atas khidmat bakti serta sumbangan yang telah dicurahkan sepanjang berkhidmat di Pusat Alumni.

Selain itu, mereka juga mengucapkan ucapan tahniah kepada Dr. Mohd Sobri atas pelantikan sebagai pengarah Pusat Alumni yang baharu.

 

 

 

 

 

 

 

 

 

SINTOK,  14 April – Program Khutbah #AlumniUUM telah berlangsung pada 14 April 2023 baru-baru ini, di Masjid Sultan Badlishah, Universiti Utara Malaysia (UUM). Dr.Muhammad Hafiz Badarulzaman, Pensyarah Kanan Pusat Pengajian Undang-Undang (SOL), Universiti Utara Malaysia telah hadir menjayakan program ini dengan menyampaikan khutbah yang bertajuk Manfaatkan Peluang Yang Masih Berbaki.

Dr. Muhammad Hafiz merupakan Alumni UUM tahun 2022 - Doktor Falsafah (Undang-undang).

Ikuti rakaman penuh khutbah pada pautan

https://youtu.be/PTPcwnX8KMU

 

 

 

 

 

Oleh: Roslee Mardan
Gambar oleh: Muhammad Shamsul Shafie
 

UUM ONLINE- Sekitar lebih 1000 orang tetamu yang terdiri daripada alumni dan pelajar Universiti Utara Malaysia (UUM) menghadiri Majlis Iftar anjuran Pusat Alumni UUM. Ia berlangsung serentak di tiga tempat iaitu di Masjid Sultan Badlishah, Masjid Bukit Kachi dan Surau Inasis Muamalat. Majlis iftar itu berjaya dilaksanakan hasil tajaan dari alumni UUM serta sumbangan awam yang bertujuan untuk merapatkan hubungan antara alumni melalui sumbangan  sempena bulan ramadan.

Timbalan Pengarah Pusat Alumni (menjalankan tugas Pengarah) Halim Md Yatim berkata, Pusat Alumni terus memainkan peranannya dalam mengikat kebersamaan di kalangan alumni itu sendiri melalui komitmen dalam menyalurkan sumbangan.

“Pihak kami (Pusat Alumni) sangat bersyukur dengan adanya sumbangan daripada alumni dan kutipan awam sebanyak RM10 ribu untuk menjayakan majlis iftar ini. Alhamdulillah majlis ini mencapai objektif Pusat Alumni iaitu selain dapat memperkukuhkan ‘engagement’ kita juga dapat mengukuhkan silaturrahim sempena bulan yang penuh kemuliaan ini.

“Pihak Pusat Alumni merakamkan setinggi-tinggi penghargaan kepada seluruh alumni dan pihak-pihak yang telah sudi menyalurkan sumbangan untuk menjayakan majlis Iftar ini. Pihak saya juga mengucapkan ribuan terima kasih kepada Pusat Islam di atas kerjasama yang diberikan sehingga majlis ini dapat direalisasikan,” katanya.

Majlis Iftar itu turut diisi dengan tazkirah ramadan yang disampaikan oleh Mejar Bersekutu (PA) Mohd Zaidi Azizan. Beliau merupakan Ketua Pegawai Kutipan, Lembaga Zakat Kedah dan juga merupakan alumni Sarjana Kewangan dan Perbankan Islam di Pusat Pengajian Perniagaan Islam (IBS) tahun 2023.

Hadir sama dalam majlis adalah Pengarah Pusat Islam, Ustaz Zar’ Ei Zakaria dan pegawai-pegawai universiti yang juga merupakan sebahagian alumni UUM.

 

 

 

 

 

 

 

 

 

Oleh: Siti Nor Faizah Mohd Basir

Gambar Oleh: Pusat Alumni

 

Sintok, 8 Mac – 

UUM ONLINE: Isu keselamatan dan kesihatan di tempat kerja bukanlah sesuatu yang harus dipandang remeh dan tempat kerja seharusnya selamat serta bebas dari sebarang risiko kemalangan.

Sehubungan itu, Pusat Alumni telah menganjurkan Ceramah Keselamatan di Pejabat Sempena Program Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan, baru-baru ini yang disampaikan Pengarah Keselamatan, Supt. Hilmi Ahmad bagi memberikan ceramah berkenaan keselamatan dan kesihatan.

Antara perkara yang disentuh dalam ceramah tersebut adalah tentang gangguan seksual, keselamatan di pejabat dan berkenaan isu keselamatan kenderaan.

Menurut beliau, tiada seorang pun kakitangan UUM ketika bekerja boleh melakukan gangguan seksual terhadap mana-mana individu baik sesama staf atau pelajar kerana ia merupakan kesalahan tatatertib yang boleh membawa natijah hingga boleh dibuang kerja sekiranya didapati bersalah.

Malah beliau juga turut berkongsi pengalaman beliau menguruskan kes-kes berkaitan salah laku jenayah yang pernah dikendalikan.

Selain dari penerangan tentang gangguan seksual, keselamatan di pejabat, Timbalan Pengarah Keselamatan, Mohd Hanief Omar Zulkifli juga turut memberi nasihat dan panduan berkaitan undang-undang dan prosedur aduan dalam menangani kes ini.

 

 

 

 

 

 

 

 

 

Oleh: Siti Nor Faizah Mohd Basir

Gambar Oleh: Pusat Alumni

SINTOK, 2 MAC – Pusat Alumni UUM telah mengadakan lawatan Alumni Care ke atas alumninya, Fairuz Addnan yang terlibat dalam kemalangan jalanraya, baru-baru ini.

Fairuz yang merupakan Alumni UUM tahun 2000 (Sarjana Muda Teknologi Maklumat dengan Kepujian) dan tahun 2016 (Sarjana Sains – Teknologi Maklumat), telah dilanggar oleh sebuah kereta pada 13 Januari lalu di Pekan Changlun, ketika beliau sedang menunggang motorsikal pulang ke rumahnya.

Kemalangan tersebut telah menyebabkan beliau mengalami kecederaan yang serius pada beberapa bahagian tubuh badannya, memaksa beliau terlantar di hospital sehingga sekarang.

Fairuz yang juga merupakan Pegawai Teknologi Maklumat di UUM merakamkan ucapan terima kasih kepada semua pihak, khasnya rakan alumni UUM yang mendoakan dan memberikan sokongan serta bantuan kepadanya sekeluarga dalam mengharungi ujian ini.

Lawatan yang dihadiri Timbalan Pengarah Pusat Alumni, Halim Md Yatim itu turut ditemani oleh lima orang alumni tahun 2000, iaitu Pegawai Teknologi Maklumat UUMIT, Hapiz Hussin (Sarjana Muda Teknologi Maklumat dengan Kepujian, dan Sarjana Sains Teknologi Maklumat tahun 2015), Ketua Penolong Setiausaha Darat, Kementerian Pertahanan Malaysia, Leftenan Kolonel Ahmad Fadzil Hassan (Sarjana Muda Pengurusan Perniagaan dengan Kepujian), Guru Sekolah Menengah Kebangsaan Sanglang, Mohd Shukri Ramli (Sarjana Muda Perakaunan dengan Kepujian), Technical Implementation Engineer, Nokia Saudi Networks, Nur Azam Mustaffa (Sarjana Muda Sarjana Muda Teknologi Maklumat dengan Kepujian) dan Nor Aniza Bt Abdul Gani (Sarjana Muda Pengurusan Perniagaan dengan Kepujian).

 

 

 

Oleh: Siti Nor Faizah Mohd Basir

Gambar Oleh: Pusat Alumni

 

UUM ONLINE: Alor Setar – Universiti Utara Malaysia (UUM) terus menunjukkan keprihatinan terhadap alumninya menerusi kunjungan ‘Alumni Care’ yang diketuai Timbalan Naib Canselor (Hal Ehwal Pelajar dan Alumni), Prof. Dr. Ahmad Martadha Mohamed ke atas NurulHuda Said yang menghidap kanser paru-paru tahap empat iaitu 'squamous cell carcinoma'.

NurulHuda kini hanya terlantar di atas katil di rumahnya di Kampung Pengkalan Keriang sejak Disember tahun lalu kerana tidak dapat bergerak.

Kedatangan Ahmad Martadha bersama Timbalan Pengarah Pusat Alumni, Halim Md. Yatim dan Pengarah Jabatan Hal Ehwal Pelajar, Huzaidy Hussain serta pegawai lain itu telah disambut ibunya, Zawiah Omar.

Pada pertemuan itu, beliau menyampaikan sumbangan berupa barangan keperluan harian kepada keluarga NurulHuda.

Ahmad Martadha berkata, beliau berharap sumbangan diberikan UUM itu dapat meringankan bebanan keluarga NurulHuda, selain graduan UUM itu terus diberikan kesabaran dan ketabahan melalui ujian tersebut.

NurulHuda disahkan menghidap kanser itu pada tahun 2021 selepas tamat pengajian di UUM dalam Diploma Pendidikan dan kini hasratnya untuk bergelar seorang guru terpaksa dilupakan.

Ibunya berkata bahawa sel kanser itu sudah merebak ke tulang belakang dan sudah berada di tahap 4 menyebabkan anaknya tidak dapat bergerak.

Yang menjalankan fungsi Naib Canselor, Prof. Dr. Shahimi Mohtar yang juga Timbalan Naib Canselor (Akademik dan Antarabangsa) dan seluruh warga kampus turut mendoakan agar NurulHuda diberikan kesembuhan dan kembali sihat seperti dahulu.

 

 

Page 17 of 31