Wednesday, 08 March 2023 08:26

‘ALUMNI WALK OF FAME’ PAMER PENCAPAIAN ALUMNI BERJAYA

Written by

Oleh: Nordiana Shafiee dan Khairul Azman Rohim

Gambar oleh: Hairul Nizam Zahari

 

UUM ONLINE: Alumni merupakan sebahagian daripada universiti meskipun mereka telah lama meninggalkan dunia universiti sebagai seorang mahasiswa.

 

Sumbangan alumni kepada universiti tidak sesekali dinafikan kerana mereka memainkan peranan dalam menyokong dan memberi sumbangan kepada universiti bagi mengekalkan pembangunan dan kelestariannya. 

 

Sebagai penghargaan, Universiti Utara Malaysia (UUM) menerusi Pusat Alumni telah membina Alumni Walk of Fame yang terletak berhampiran Medan Selera Hijau Kuning di laluan berbumbung ke UUMIT, Pusat Pengajian Pengurusan Perniagaan dan Perpustakaan Sultanah Bahiyah.

Pelancaran Alumni Walk of Fame telah disempurnakan oleh Timbalan Naib Canselor (Hal Ehwal Pelajar dan Alumni), Prof. Dr. Ahmad Martadha Mohamed yang memotong riben tugu Alumni Walk of Fame sebagai simbolik perasmian.

 

Dalam ucapannya berkata, pembinaan Alumni Walk of Fame itu adalah sebahagian daripada cara UUM dan Pusat Alumni untuk menzahirkan pengiktirafan dan penghargaan kepada alumni yang berjaya sama ada dalam kerjaya atau pencapaian yang membanggakan universiti.

 

“Selain itu, ia juga sebagai wadah untuk menghargai semua sumbangan yang diberikan alumni kepada universiti dan pada masa sama merapatkan hubungan alumni dengan universiti,” katanya.

 

Sementara itu, Pengarah Pusat Alumni, Prof. Madya Dr. Lily Julienti Abu Bakar berkata, Alumni Walk of Fame itu adalah bagi mengiktiraf dan menghargai alumni yang berjaya dan telah menyumbang kepada pembangunan universiti dengan memperkenalkan mereka kepada warga kampus.

Di samping itu, menurutnya, universiti menerusi Pusat Alumni juga dapat menjana pendapatan atau sumbangan melalui tajaan alumni atau umum.

 

Sebagai permulaan, sebanyak enam kategori kumpulan alumni yang dipilih untuk dipaparkan pada majlis tersebut iaitu Tokoh Alumni Usahawan, Tokoh Alumni Industri, Tokoh Alumni Antarabangsa, Tokoh Alumni Penerima Anugerah, Tokoh Alumni Sektor Awam dan Tokoh Alumni Ilmu, Budi, Bakti.

Tokoh alumni ini dipilih berdasarkan penglibatan mereka bersama-sama Pusat Alumni dan UUM.