18 November 2024: Alumni memainkan peranan besar dalam membimbing generasi muda serta mewakili kecemerlangan dalam pelbagai bidang sekali gus menjadi sumber inspirasi.
Pengarah Urusan KDEB Waste Management Sdn. Bhd., Dato’ Ramli Mohd Tahir berkata, melalui program pementoran dan perkongsian pengalaman, alumni dapat memberi pendedahan kepada pelajar tentang cabaran kerjaya dan menyediakan sokongan moral untuk menghadapi masa depan.
“Alumni juga merupakan agen perubahan sosial yang boleh menyumbang kepada masyarakat melalui inisiatif sosial dan program kesukarelawan.
“Dengan cara ini, Alumni bukan sahaja dikenali sebagai pemimpin dalam bidang masing-masing tetapi juga sebagai individu yang prihatin terhadap pembangunan komuniti,” katanya ketika merasmikan Majlis Penutupan Pesta Konvokesyen Kali Ke-37, Universiti Utara Malaysia, kelmarin.
KDEB Waste Management (KDEBWM), yang merupakan sebuah syarikat pengurusan perkhidmatan sisa domestik di Selangor, turut menyumbangkan 15 komputer riba kepada pelajar B40 dengan kerjasama Pusat Pengajian Pendidikan UUM. Inisiatif ini bertujuan memudahkan urusan pembelajaran pelajar yang kurang berkemampuan.
Dato’ Ramli, yang merupakan alumni UUM tahun 1996, menegaskan bahawa jaringan Alumni adalah salah satu aset terpenting universiti yang membuka ruang untuk peluang kerjaya, latihan industri, dan kolaborasi strategik antara alumni dan pelajar.
“Oleh itu, saya menyeru kepada semua alumni agar terus berhubung dan terus terlibat dengan universiti, berkongsi pengalaman dan ilmu, serta membantu memperkukuhkan reputasi institusi ini,” ucapnya.
Jelasnya, tema “Ikon Alumni” mengangkat peranan Alumni sebagai pewaris legasi dan duta universiti. Alumni bukan sekadar bekas pelajar, tetapi mereka adalah duta yang membawa nama universiti ke peringkat nasional dan antarabangsa.
“Alumni yang berjaya adalah bukti bahawa universiti ini telah berjaya melahirkan individu berkualiti yang mampu memberi impak dalam komuniti, industri, dan negara.
“Mereka bukan sahaja perlu mencipta kejayaan peribadi tetapi juga harus menjadi jambatan antara industri dan universiti dengan berkongsi peluang dan pengalaman,” katanya.
Sementara itu, Timbalan Naib Canselor (Hal Ehwal Pelajar dan Alumni), Prof. Dr. Ahmad Martadha Mohamed berkata, PESKON bukan sekadar meraikan kejayaan graduan, tetapi juga sebagai platform untuk mengenang sumbangan alumni yang telah mewarnai dunia kerjaya mereka dengan kejayaan luar biasa yang memberikan contoh terbaik kepada pelajar.
“Sepanjang acara PESKON37 ini, kita telah melihat bagaimana alumni UUM telah kembali memberi sumbangan dalam bentuk kepakaran, pengalaman, serta bimbingan kepada mahasiswa yang bakal menjejaki dunia kerjaya tidak lama lagi.
“Hubungan erat yang terjalin antara alumni dan universiti ini bukan sahaja mencerminkan semangat kekitaan yang kuat, malah ia membantu memperkasakan ekosistem pembelajaran yang holistik di UUM,” ujarnya.
Beliau mengucapkan setinggi-tinggi tahniah kepada semua graduan yang telah menamatkan pengajian dan merakamkan penghargaan kepada penganjur PESKON yang telah didominasi oleh barisan pelajar.
Pengarah PESKON, Muhammad Hafizzudin Zolkifely berkata, sebagai institusi pendidikan yang berprestij, UUM bukan sahaja melahirkan pelajar yang berilmu dan berdaya saing tetapi juga pelajar yang mempunyai daya kreatif dan pelbagai bakat yang mampu mencorakkan masa depan dengan penuh keyakinan.
“Melalui pelbagai acara yang dijalankan sepanjang pesta ini, kita telah dapat melihat bagaimana bakat ini diserlahkan, sama ada dalam bidang akademik, sukan, seni, atau keusahawanan,” ujarnya.
Sekalung Tahniah
Tahniah diucapkan kepada YBHG. DATO’ SRI KHAIRUL DZAIMEE BIN DAUD, Alumni UUM Sarjana Muda Pentadbiran Perniagaan dengan Kepujian (1996) atas pelantikan sebagai Ketua Setiausaha Kementerian Pembangunan Usahawan dan Koperasi.
Ikhlas daripada:
Naib Canselor, Timbalan Naib Canselor (Hal Ehwal Pelajar & Alumni)
Pengarah, Warga Kerja Pusat Alumni & Alumni Universiti Utara Malaysia.
“Reminiscing The Past, Embracing The Future”
#AlumniUUM #AlumniReunite
Ikuti Kami :
Hotline: https://wa.me/message/FRHJQ7KBETMOD1
Channel Whatsapp : https://whatsapp.com/channel/0029VaMwqDb05MUax2u39b1X
Channel Telegram : https://t.me/alumniUUM
Facebook Rasmi : https://www.facebook.com/PusatAlumniUUM
Kemaskini AMIS: www.uumalumni.my
UUM, Siktok - Program kutipan barangan kitar semula yang dianjurkan oleh Zon Bougainvillea dengan kerjasama E-Idaman telah mencapai kejayaan dengan pengumpulan sebanyak 419.80kg barangan kitar semula melebihi jumlah sasaran awal iaitu 100kg. Program ini mengangkat konsep "Kumpul, Timbang, Jana, dan Belanja" yang melibatkan warga UUM secara aktif.
Program ini bermula dengan pengumpulan barangan kitar semula daripada warga UUM termasuk plastik, kertas, logam dan minyak masak terpakai. Setelah pengumpulan dilakukan, barangan tersebut ditimbang untuk mencatat jumlah sebenar yang dikumpulkan. "Kegiatan ini bukan sahaja meningkatkan kesedaran tentang kitar semula, tetapi juga memberi peluang kepada masyarakat untuk menyumbang kepada pemeliharaan alam sekitar," jelas En Mohd Firdaus Mohd Isa, Head of Corporate Communication E-Idaman.
Dalam usaha untuk meneruskan momentum ini, Zon Bougainvillea dan E-Idaman merancang untuk mengadakan lebih banyak program kitar semula pada masa akan datang, termasuk bengkel dan kempen kesedaran. "Kami berharap inisiatif ini akan menjadi contoh kepada Zon EKSA lain dan menginspirasi warga UUM untuk terus mengamalkan kitar semula dalam kehidupan seharian mereka," kata Prof Madya Dr Lily Julienti selaku ketua Zon Bougainvillea.
Pencapaian ini bukan sahaja membuktikan keberkesanan program tersebut, tetapi juga menandakan langkah positif ke arah universiti yang lebih hijau dan lestari. Usaha ini bukan sahaja memberi manfaat kepada alam sekitar, tetapi juga membentuk masyarakat yang lebih peka dan bertanggungjawab.
UUM, Siktok - Majlis Sambutan Hari Alumni Universiti Utara Malaysia (UUM) ke-36 berlangsung di Bilik Mesyuarat Senat.
Bagi menyempurnakan majlis, Naib Canselor, Prof. Dato’ Dr. Mohd Foad Sakdan dan Timbalan Naib Canselor (Hal Ehwal Pelajar dan Alumni), Prof. Dr. Ahmad Martadha Mohamed memotong pulut kuning sambil disaksikan Pengarah Pusat Alumni UUM, Prof Madya Dr. Lily Julienti Abu Bakar dan pegawai universiti.
“Upacara memotong pulut kuning sebagai simbolik sambutan Hari Alumni UUM ke-36 yang diambil sempena Majlis Konvokesyen UUM pertama pada 30 Julai 1988,” kata Naib Canselor sejurus selepas mempengerusikan Mesyuarat Penyelarasan Program Mai Balik UUM 2024 (MBUUM) Kali Ke-2.
Jelasnya, Program Mai Balik UUM 2024 julung kali diadakan bersempena Sambutan Tahun Melawat UUM 2024 dan Sambutan Hari Pengasasan UUM yang ke 40.
Katanya, MBUUM merupakan program anjuran universiti di mana Pusat Alumni sebagai penyelaras program dengan kerjasama Jawatankuasa Penyelaras Program MBUUM yang melibatkan Jabatan HEPA dan pusat pengajian.
“Menerusi program ini kita membawa alumni untuk kembali ke UUM sekali gus mengimbau zaman kampus yang penuh memori ibarat sireh pulang ke gagang. Inisiatif ini juga dilihat merapatkan jalinan universiti bersama alumni UUM,” ucapnya.
Sementara itu, Dr Lily Julienti berkata, MBUUM amat sesuai untuk tujuan jalinan dan ikatan mesra di antara alumni dengan universiti. “Penyertaan yang berskala besar akan menjadi promosi kepada UUM melalui tularan pada media sosial.
“Pelaksanaan program ini secara tidak langsung juga akan melebarkan jaringan kerjasama strategik universiti dengan agensi luar, sekali gus mengukuhkan jenama UUM dalam pasaran,” ujarnya.
Pusat Alumni akan berkolaborasi secara strategik dengan seluruh warga kampus UUM, alumni UUM, dan agensi luar bagi menjayakan program MBUUM 2024.
Pada majlis sama menyaksikan penyerahan baucer diskaun He & She Coffee oleh Zulkiflee Yusof untuk disampaikan kepada pelajar B40 dan MBUUM bernilai RM5,000.
Ahad, 14 Julai 2024 - Seramai 11 orang pelajar Universiti Utara Malaysia (UUM) cemerlang dan terpilih telah menerima biasiswa sebanyak RM2,000.00 bagi setiap seorang bagi membantu mereka dalam keperluan pembelajaran di kampus.
Biasiswa ini diberikan secara “one off”, hasil peruntukan peribadi daripada Yang Berbahagia Dato’ Haji Ramli Mohd Tahir, Pengarah Urusan, KDEB Waste Management (KDEBWM) di bawah seliaan Pusat Alumni. Beliau merupakan Alumni UUM yang telah mengambil jurusan Ijazah Sarjana Muda Pentadbiran Perniagaan dengan Kepujian (1996).
Pelajar-pelajar ini telah dipilih berdasarkan Purata Mata Semester (PMS) dan Purata Mata Keseluruhan (PMK) mereka masing-masing. Selain itu, mereka juga merupakan para pelajar yang terdiri daripada kalangan keluarga yang berpendapatan rendah dan anak yatim piatu.
Pengarah Pusat Alumni, Profesor Madya Dr. Lily Julienti Abu Bakar, telah menyerahkan surat tawaran biasiswa tersebut mewakili Yang Berbahagia Dato’ Haji Ramli, kepada 11 orang pelajar tersebut bertempat di Pejabat Pusat Alumni, pagi ini. Penyerahan penghargaan secara rasmi kepada Yang Berbahagia Dato’ akan diadakan pada Majlis Makan Malam Mai Balik UUM yang akan diadakan pada bulan September nanti.
Katanya, para pelajar diingatkan untuk menggunakan biasiswa ini bagi tujuan pembayaran yuran atau untuk kegunaan keperluan pembelajaran sahaja, bukan untuk perkara-perkara yang tidak bermanfaat.
Penajaan biasiswa daripada Alumni UUM seperti ini merupakan program kali kedua di bawah seliaan Pusat Alumni selepas biasiswa tajaan daripada Encik Shazmi Ali Sardar Ali, Naib Presiden Sumber Manusia SHELL pada tahun 2022.
SINTOK – Majlis Makan Malam Alumni bertemakan ‘Golden Navy Blue: A Night to Reunite’ sempena Program Mai Balik UUM menjadi detik yang sangat berharga untuk merapatkan silaturahim dan menghidupkan kembali kenangan indah alumni bersama universiti tercinta.
Naib Canselor, Prof. Dato’ Dr. Mohd Foad Sakdan menyifatkan alumni sebagai aset yang paling berharga buat UUM.
“Kejayaan dan pencapaian yang anda raih di luar sana adalah cerminan kepada keunggulan institusi ini. Setiap pencapaian anda adalah kebanggaan bagi diri sendiri dan juga bagi universiti yang telah mendidik dan membimbing anda.
“UUM amat menghargai sokongan anda dalam memperkukuhkan nama universiti di peringkat kebangsaan dan antarabangsa. Dengan jaringan alumni yang kuat dan berdedikasi, universiti ini akan terus cemerlang,” kongsinya.
Ujarnya, peranan setiap alumni dalam menyumbang kembali kepada alma mater amat penting sama ada melalui tenaga, idea, kepakaran, atau kewangan.
“Sokongan anda terus membantu universiti untuk memperkasa pelajar, melaksanakan program berimpak tinggi dan mengukuhkan penyelidikan berkualiti.
“Saya ingin mengajak semua untuk terus menyumbang dalam apa jua bentuk yang termampu agar kita dapat melahirkan lebih ramai graduan yang cemerlang dan berkualiti,” ucapnya di Dewan Mu’adzam Shah, malam tadi.
Jelasnya, majlis ini untuk mengenang perjalanan alumni di universiti dan menatap masa depan dengan harapan dan cita-cita baharu selain membuka peluang untuk lebih banyak kolaborasi dan sokongan dalam pelbagai bidang.
Sementara itu wakil Alumni, Dato’ Ramli Mohd Tahir menyeru semua alumni untuk terus berbakti kepada UUM agar universiti ini terus mencapai kecemerlangan di masa hadapan.
“Universiti bukan sahaja memberi ilmu malah merakamkan kenangan indah pada kami. Hebat macam manapun kita, jangan lupakan Universiti Utara Malaysia.
“Universiti ini milik kita bersama jadi tunjukkan sokongan, sumbangan dan kasih sayang untuk memulangkan semula kepada universiti tercinta mengikut bidang masing-masing.
“Hidup ini terlalu pendek, jangan pernah lupakan ibu bapa dan pensyarah yang telah banyak berjasa mendidik kita sehingga berjaya,” katanya.
Menerusi program ini katanya, alumni berpeluang kembali ke alam universiti untuk berkongsi cerita, pengalaman dan melakukan aktiviti rekreasi yang amat menyeronokkan selain memberi kenangan yang tidak dapat dilupakan.
“Pertemuan ini telah memberi peluang pada kita untuk kembali kepada alma mater dengan menyuburkan semangat kekitaan, saling menghormati dan berkongsi aspirasi, pencapaian, kejayaan dan masa depan UUM,” ujarnya.
Program Mai Balik UUM 2024 anjuran Pusat Alumni UUM julung kali diadakan bersempena Sambutan Tahun Melawat UUM 2024 dan Sambutan Hari Pengasasan UUM yang ke 40 berlangsung dari 20 – 22 September.
Pelbagai aktivti menarik antaranya Jom Pi Jenguk Bilik Lama, Konvoi Alumni Bikers dan U Riders Sempena Maulidur Rasul, Kenduri Alumni, ‘Back To School’, Discover UUM, Senamrobik, Konvoi Kenderaan Bernombor Plat UUM, Tahlil, Perlawanan Persahabatan Bola Sepak dan golf.
SINTOK, 21 MAC 2024 – Sekitar lebih 80 orang tetamu yang terdiri daripada anak-anak yatim Pusat Jagaan Baitul Saba, alumni dan pelajar Universiti Utara Malaysia (UUM) menghadiri Majlis Ihya’ Ramadan anjuran Pusat Alumni UUM. Ia berlangsung di EDC UUM. Majlis ihya’ itu berjaya dilaksanakan yang bertujuan untuk meraikan anak-anak yatim, alumni dan pelajar yang tidak pulang ke kampung sepanjang bulan Ramadan ini.
Pengarah Pusat Prof. Madya Dr. Lily Julienti berkata, Pusat Alumni terus memainkan peranannya dalam mengikat kebersamaan di kalangan alumni itu sendiri melalui komitmen dalam menyalurkan sumbangan.
Majlis Iftar itu turut diisi dengan tazkirah ramadan yang disampaikan oleh Dr. Mohd Faisal bin Mustaffa. Beliau merupakan Timbalan Ketua Eksekutif (Operasi), Lembaga Zakat Negeri Kedah (LZNK) dan juga merupakan alumni Sarjana Sains (Kaunseling) tahun 2014 serta Doktor Falsafah (Pengurusan Media) tahun 2021.