Thursday, 09 March 2023 12:01

UUM PRIHATIN: TNC (HEPA) ZIARAH ALUMNI TERLANTAR HIDAP KANSER PARU-PARU

Written by

 

Oleh: Siti Nor Faizah Mohd Basir

Gambar Oleh: Pusat Alumni

 

UUM ONLINE: Alor Setar – Universiti Utara Malaysia (UUM) terus menunjukkan keprihatinan terhadap alumninya menerusi kunjungan ‘Alumni Care’ yang diketuai Timbalan Naib Canselor (Hal Ehwal Pelajar dan Alumni), Prof. Dr. Ahmad Martadha Mohamed ke atas NurulHuda Said yang menghidap kanser paru-paru tahap empat iaitu 'squamous cell carcinoma'.

NurulHuda kini hanya terlantar di atas katil di rumahnya di Kampung Pengkalan Keriang sejak Disember tahun lalu kerana tidak dapat bergerak.

Kedatangan Ahmad Martadha bersama Timbalan Pengarah Pusat Alumni, Halim Md. Yatim dan Pengarah Jabatan Hal Ehwal Pelajar, Huzaidy Hussain serta pegawai lain itu telah disambut ibunya, Zawiah Omar.

Pada pertemuan itu, beliau menyampaikan sumbangan berupa barangan keperluan harian kepada keluarga NurulHuda.

Ahmad Martadha berkata, beliau berharap sumbangan diberikan UUM itu dapat meringankan bebanan keluarga NurulHuda, selain graduan UUM itu terus diberikan kesabaran dan ketabahan melalui ujian tersebut.

NurulHuda disahkan menghidap kanser itu pada tahun 2021 selepas tamat pengajian di UUM dalam Diploma Pendidikan dan kini hasratnya untuk bergelar seorang guru terpaksa dilupakan.

Ibunya berkata bahawa sel kanser itu sudah merebak ke tulang belakang dan sudah berada di tahap 4 menyebabkan anaknya tidak dapat bergerak.

Yang menjalankan fungsi Naib Canselor, Prof. Dr. Shahimi Mohtar yang juga Timbalan Naib Canselor (Akademik dan Antarabangsa) dan seluruh warga kampus turut mendoakan agar NurulHuda diberikan kesembuhan dan kembali sihat seperti dahulu.

 

 

Media