Oleh: Siti Nor Faizah Mohd Basir
Gambar Oleh: Pusat Alumni
Sintok, 8 Mac –
UUM ONLINE: Isu keselamatan dan kesihatan di tempat kerja bukanlah sesuatu yang harus dipandang remeh dan tempat kerja seharusnya selamat serta bebas dari sebarang risiko kemalangan.
Sehubungan itu, Pusat Alumni telah menganjurkan Ceramah Keselamatan di Pejabat Sempena Program Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan, baru-baru ini yang disampaikan Pengarah Keselamatan, Supt. Hilmi Ahmad bagi memberikan ceramah berkenaan keselamatan dan kesihatan.
Antara perkara yang disentuh dalam ceramah tersebut adalah tentang gangguan seksual, keselamatan di pejabat dan berkenaan isu keselamatan kenderaan.
Menurut beliau, tiada seorang pun kakitangan UUM ketika bekerja boleh melakukan gangguan seksual terhadap mana-mana individu baik sesama staf atau pelajar kerana ia merupakan kesalahan tatatertib yang boleh membawa natijah hingga boleh dibuang kerja sekiranya didapati bersalah.
Malah beliau juga turut berkongsi pengalaman beliau menguruskan kes-kes berkaitan salah laku jenayah yang pernah dikendalikan.
Selain dari penerangan tentang gangguan seksual, keselamatan di pejabat, Timbalan Pengarah Keselamatan, Mohd Hanief Omar Zulkifli juga turut memberi nasihat dan panduan berkaitan undang-undang dan prosedur aduan dalam menangani kes ini.