Webmaster 2

Webmaster 2

Monday, 12 December 2022 13:25

ALUMNI SARAWAK BANTU PELAJAR UUM

UUM ONLINE: Alumni UUM Sarawak Chapter (AURAS) adalah platform terbaik kepada lebih 4,000 graduan UUM dari Sarawak yang berjaya dalam bidang masing-masing untuk menyumbang kembali kepada Universiti dan masyarakat dengan menyediakan bantuan kewangan kepada pelajar Universiti Utara Malaysia (UUM) dari Sarawak. 

AURAS merupakan sebahagian daripada Persatuan Alumni Universiti Utara Malaysia (UUM) yang telah berjaya dalam kerjaya di bidang masing-masing.

Naib Canselor UUM, Prof. Dr Haim Hilman Abdullah amat menghargai inisiatif AURAS yang memikul sebahagian daripada tanggungjawab universiti dalam melahirkan modal insan yang kompeten, bertanggungjawab dan beretika ke arah pertumbuhan ekonomi dan pembangunan masyarakat di Malaysia.

“Kami mengucapkan terima kasih kepada AURAS kerana bersama-sama mengumpul dana untuk membantu Pengurusan universiti dalam menaik taraf asrama pelajar, penyediaan dermasiswa dan bantuan kewangan kepada pelajar Sarawak yang memerlukan terutamanya mereka dari latar belakang keluarga B40.

“AURAS melalui syarikat rakan kongsinya Richmind Consulting dan Mentoring Sdn Bhd turut menyediakan program bimbingan khas kepada 20 pelajar UUM dari Sarawak,” ujarnya.

Secara keseluruhan, nilai sumbangan yang dihulurkan mencecah kira-kira RM54,000 dan berharap aktiviti seumpama ini akan diteruskan pada masa akan datang.

Haim Hilman diraikan pada Majlis Makan Malam Gala AURAS 2022 di Kuching yang dihadiri kira-kira 100 ahli AURAS yang merupakan perhimpunan kedua sejak diadakan pada 2018.

Sementara itu, Pengerusi Protem AURAS, Chi Poh Yung berkata, AURAS bertekad akan menganjurkan lebih banyak aktiviti menarik untuk memanfaatkan kekuatan alumni Sarawak dalam usaha menjadi sebuah negeri maju menjelang tahun 2030.

“Sejak 38 tahun lalu, UUM telah melahirkan ramai graduan yang  berjaya dalam kerjaya di sektor awam, swasta termasuk dalam perniagaan dan keusahawanan.

“Kami sentiasa berterima kasih kepada alma mater, UUM kerana menjadikan siapa kami pada hari ini dan akan terus menyumbang kembali kepada UUM dalam pelbagai kaedah selari dengan motonya, Ilmu, Budi, Bakti,” katanya.

 

 

 

 

 

UUM ONLINE: Kuala Lumpur - Meskipun lahir sebagai anak tunggal, namun kesusahan hidup yang dilalui mendorong graduan Sarjana Muda Pengurusan Hal Ehwal Antarabangsa, Shashivarmaan Thevaraj untuk cemerlang dalam akademik dan kokurikulum hingga diiktiraf Yayasan Tunku Abdul Rahman (YTAR) yang menganugerahkan Anugerah Pingat Tunku Emas bagi tahun 2021, baru-baru ini.

Pencapaian anak muda berasal dari Port Dickson, Negeri Sembilan itu menjadikannya alumni pertama Universiti Utara Malaysia (UUM) yang menerima anugerah tersebut, sekali gus membawa pulang hadiah wang tunai berjumlah RM10,000 dan Geran Program Komuniti sebanyak RM10,000.

Bercerita tentang kejayaannya, Shahivarmaan, 24, berkata, dia berasal dari keluarga susah yang mana bapanya bekerja sebagai pengawal keselamatan, manakala ibunya bekerja di kilang memberinya semangat untuk belajar bersungguh-sungguh dengan harapan dapat mengubah nasib keluarga menjadi lebih baik pada masa hadapan.

"Sepanjang berada di universiti, saya berusaha untuk mendapat keputusan peperiksaan yang cemerlang dan usaha saya berbaloi kerana berjaya mendapat Anugerah Dekan pada setiap semester.

"Selain memastikan keputusan akademik cemerlang, saya juga terlibat aktif dalam aktiviti kokurikulum seperti program kepimpinan yang dianjurkan Yayasan Tunku Abdul Rahman sendiri. Malah, saya juga berpeluang menjalankan kajian bersama seorang penyelidik tentang isu tanpa kerakyatan (stateless) di Malaysia untuk Suruhanjaya Hak Asasi Manusia Malaysia," katanya.

Berkat kesungguhan dan sikap tidak berputus asa Shahivarmaan itu juga, dia terpilih mewakili Malaysia ke Program Young South East Asian Leaders Initiative (YSEALI) di Amerika Syarikat, baru baru ini.

Anak muda yang merupakan penerima biasiswa Yayasan Tunku Abdul Rahman itu turut merakamkan penghargaan kepada pensyarah UUM, rakan-rakan dan juga pihak yayasan kerana memberi bimbingan dan tunjuk ajar kepadanya sehingga beroleh kejayaan tidak ternilai.

"Semestinya tidak dilupakan pengorbanan ibu bapa saya dan juga nenek serta ibu saudara yang membesarkan saya sejak kecil lagi," ujarnya.

Anugerah Pingat Tunku meraikan graduan holistik dari universiti awam tempatan di Malaysia di peringkat Ijazah Sarjana Muda yang menunjukkan kecemerlangan dari segi akademik,daya kepimpinan dan sikap serta keperibadian mulia serta mencontohi nilai murni Bapa Kemerdekaan, Almarhum Tunku Abdul Rahman Putra Al-Haj.

Anugerah tersebut telah disampaikan Ahli Lembaga Pemegang Amanah YTAR, Datin Seri Sharifah Menyalara Hussein dan Pemangku Ketua Eksekutif YTAR, Ida Thien.

Turut menerima anugerah tersebut bagi kategori perak dan gangsa ialah dua alumni dari Universiti Kebangsaan Malaysia dan seorang dari Universiti Putra Malaysia.

 

 

 

 Oleh : Siti Nor Faizah Binti Mohd Basir

SINTOK, 23 November – Pengarah Pusat Alumni UUM, Prof. Madya Dr. Lily Julienti Abu Bakar telah memenuhi jemputan ke pembukaan cawangan baharu Restoran  Secret Recipe oleh alumni UUM yang bertempat di Hutan Kampung, Kedah baru-baru ini.

Lebih membanggakan lagi apabila diusianya yang baru menginjak ke angka 24 tahun dan baru sahaja menamatkan pengajian telah berani mengambil risiko dengan membuka cawangan Restoran Secret Recipe dibawah kendalian beliau sendiri.

Mohd Aizal Shahrizal Mohd Zaini Alumni UUM, merupakan seorang pelajar Ijazah Sarjana Muda Perakaunan (2022) yang baru sahaja menamatkan pembelajaran beliau baru-baru ini.

“Semasa zaman belajar dahulu, saya pernah menjalankan perniagaan secara kecil-kecilan dengan menjual kek pisang di dalam universiti dan alhamdulillah apabila sudah tamat belajar keluarga saya memberi dorongan kepada saya untuk mencuba membuka sebuah cawangan Restoran Secret Recipe dan insyaallah saya akan membuka dua lagi cawangan Restoran Secret Recipe di Daerah Pendang dan Alor Star.” katanya.

Beliau menceburi bidang makanan dan minuman (F&B) kerana minat beliau yang mendalam dalam perniagaan. Beliau juga berharap agar mahasiswa yang mempunyai minat menceburi bidang perniagaan harus berani mengorak langkah mengambil risiko mencuba sesuatu yang baharu.

Turut hadir dalam majlis perasmian cawangan baharu Restoran Secret Recipe itu ialah Timbalan Naib Canselor (Hal Ehwal Pelajar dan Alumni), Profesor Dr. Ahmad Martadha Mohamed.

 

 

 

 

 

Wednesday, 16 November 2022 10:59

BERJAYA BERKAT DOA IBU AYAH

 

 

 UUM ONLINE: Ibu anugerah terindah kiriman Allah buat setiap insan, apa jua kejayaan dan kebaikan dikecapi pada hari ini berkat doa dari insan bernama ibu dan ayah. Hargailah ibu ayah selagi mereka ada di dunia ini.

Begitulah pegangan graduan Sarjana Sastera Pengajian Kenegaraan, Azizul Bachok, 44, yang percaya dengan berkat doa mustajab ibu ayah jualah beliau berjaya memperoleh keputusan cemerlang mencapai purata mata gred kumulatif (CGPA) 4.0.

Keputusan terbaik itu diraikan bersama ahli keluarga apabila beliau menerima ijazah daripada Pro-Canselor, Duli Yang Amat Mulia Tunku Shazuddin Ariff Ibni Al Aminul Karim Sułtan Sallehuddin, Tunku Mahkota Kedah di sesi ketiga, Majlis Konvokesyen Ke-34 Universiti Utara Malaysia (UUM), di Dewan Mu’adzam Shah, petang tadi.

“Alhamdulillah, perasaan amat teruja dan lebih manis dikongsi bersama isteri, anak-anak, abah tercinta dan keluarga pada masa sama saya berasa sebak kerana momen ini tidak dapat dikongsi bersama arwah ibu yang kembali ke rahmatullah, baru-baru ini,” kongsinya.

Diimbas kembali momen terakhir bersama arwah ibu, Hajah Hajizah Ibrahim ketika tenat di hospital, tiada lagi gelak tawa, usik mengusik suara yang dirindui kedengaran ekoran tahap kesihatan kian merosot hari demi hari. 

“Hati terdetik mungkin ini Ramadan yang terakhir ibu bersama kami lalu membawanya pulang ke rumah dan menjaganya sehingga denyut nafas yang terakhir.  Sesungguhnya Allah lebih menyayangi syurga kami, tangal 5 Ramadan 1443 Hijrah di usia 76 menjadi detik yang dikenang sampai akhir hayat kami, al-Fatihah buat ibu.

“Perubahan dari yang kurang baik kepada sesuatu yang terbaik di kalangan terbaik juga dari tangisan rintihan dan bicaranya dengan Allah. Percayalah, tiada satu pun patah perkataan yang tidak baik keluar dari mulut seorang ibu untuk anak-anak.

“Jadi, hargailah ibu dan ayah anda selagi mereka ada di dunia ini, kekal tenang dan yakin Allah itu Maha Mendengar. Sekiranya ada masalah mengadu pada-Nya terlebih dahulu sebelum meminta bantuan daripada orang lain,” katanya yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri Johor Kawasan Tiram.

Darah politik yang mengalir dalam dirinya juga hasil semangat yang ada pada ayah dan arwah ibu kerana dididik melakukan kerja kemasyarakatan semasa menuntut di peringkat sarjana muda Teknologi Maklumat pada 1997 juga di universiti ini.

“Setiap kali cuti semester, sayalah yang membantu kerja di belakang tabir sama ada tugas melibatkan komputer mahupun kemasyarakatan.

“Pesanannya tersemat kukuh di sanubari, sentiasa berbuat baik pada semua orang, bantu insan lain sedaya dan semampu kita serta jadilah pemimpin yang memberi manfaat kepada orang lain,” katanya.

Jelasnya, niat melanjutkan pelajaran di UUM ini hasil cetusan Ketua Pengarah di Jabatan Hal Ehwal Khas yang membuka ruang dan peluang pegawainya melangkah ke hadapan dari segi akademik.

“Peluang diambil walaupun kami perlu mengimbangi tanggungjawab selaku pelajar dan amanah selaku penjawat awam. Saya ingin melihat generasi muda terus menjadikan pendidikan itu keutamaan dalam hidup.

“Pendidikan itu banyak cabangnya termasuk kemahiran. Pendidikan ini yang akan menjadi teman kita pada masa akan datang, ilmu yang kita perolehi ini akan berpanjangan. Kalau tak hari ini kita guna, mungkin 10 atau 20 tahun akan datang baru kita nampak akan pentingnya ilmu berkenaan.

Mengimbangi antara kerjaya dan pengajian katanya, pengurusan masa dan displin amat penting kerana Tuhan memberi kita masa yang sama iaitu 24 jam justeru kita perlu bijak merancang dalam membahagikan masa sebaik mungkin. Kita merancang dan Allah sebaik-baik perancang.

Bercerita lanjut, bidang pengajian Sarjana Sastera Pengajian Kenegaraan membuka minda selaku pelajar tentang susur galur sejarah pembinaan sebuah negara bangsa yang seharusnya menjadi panduan generasi akan datang supaya sejarah itu tidak dipinggirkan walaupun arus pembangunan dan pemodenan terus berlaku.

 

 

Page 63 of 84