UUM ONLINE: Ibu anugerah terindah kiriman Allah buat setiap insan, apa jua kejayaan dan kebaikan dikecapi pada hari ini berkat doa dari insan bernama ibu dan ayah. Hargailah ibu ayah selagi mereka ada di dunia ini.
Begitulah pegangan graduan Sarjana Sastera Pengajian Kenegaraan, Azizul Bachok, 44, yang percaya dengan berkat doa mustajab ibu ayah jualah beliau berjaya memperoleh keputusan cemerlang mencapai purata mata gred kumulatif (CGPA) 4.0.
Keputusan terbaik itu diraikan bersama ahli keluarga apabila beliau menerima ijazah daripada Pro-Canselor, Duli Yang Amat Mulia Tunku Shazuddin Ariff Ibni Al Aminul Karim Sułtan Sallehuddin, Tunku Mahkota Kedah di sesi ketiga, Majlis Konvokesyen Ke-34 Universiti Utara Malaysia (UUM), di Dewan Mu’adzam Shah, petang tadi.
“Alhamdulillah, perasaan amat teruja dan lebih manis dikongsi bersama isteri, anak-anak, abah tercinta dan keluarga pada masa sama saya berasa sebak kerana momen ini tidak dapat dikongsi bersama arwah ibu yang kembali ke rahmatullah, baru-baru ini,” kongsinya.
Diimbas kembali momen terakhir bersama arwah ibu, Hajah Hajizah Ibrahim ketika tenat di hospital, tiada lagi gelak tawa, usik mengusik suara yang dirindui kedengaran ekoran tahap kesihatan kian merosot hari demi hari.
“Hati terdetik mungkin ini Ramadan yang terakhir ibu bersama kami lalu membawanya pulang ke rumah dan menjaganya sehingga denyut nafas yang terakhir. Sesungguhnya Allah lebih menyayangi syurga kami, tangal 5 Ramadan 1443 Hijrah di usia 76 menjadi detik yang dikenang sampai akhir hayat kami, al-Fatihah buat ibu.
“Perubahan dari yang kurang baik kepada sesuatu yang terbaik di kalangan terbaik juga dari tangisan rintihan dan bicaranya dengan Allah. Percayalah, tiada satu pun patah perkataan yang tidak baik keluar dari mulut seorang ibu untuk anak-anak.
“Jadi, hargailah ibu dan ayah anda selagi mereka ada di dunia ini, kekal tenang dan yakin Allah itu Maha Mendengar. Sekiranya ada masalah mengadu pada-Nya terlebih dahulu sebelum meminta bantuan daripada orang lain,” katanya yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri Johor Kawasan Tiram.
Darah politik yang mengalir dalam dirinya juga hasil semangat yang ada pada ayah dan arwah ibu kerana dididik melakukan kerja kemasyarakatan semasa menuntut di peringkat sarjana muda Teknologi Maklumat pada 1997 juga di universiti ini.
“Setiap kali cuti semester, sayalah yang membantu kerja di belakang tabir sama ada tugas melibatkan komputer mahupun kemasyarakatan.
“Pesanannya tersemat kukuh di sanubari, sentiasa berbuat baik pada semua orang, bantu insan lain sedaya dan semampu kita serta jadilah pemimpin yang memberi manfaat kepada orang lain,” katanya.
Jelasnya, niat melanjutkan pelajaran di UUM ini hasil cetusan Ketua Pengarah di Jabatan Hal Ehwal Khas yang membuka ruang dan peluang pegawainya melangkah ke hadapan dari segi akademik.
“Peluang diambil walaupun kami perlu mengimbangi tanggungjawab selaku pelajar dan amanah selaku penjawat awam. Saya ingin melihat generasi muda terus menjadikan pendidikan itu keutamaan dalam hidup.
“Pendidikan itu banyak cabangnya termasuk kemahiran. Pendidikan ini yang akan menjadi teman kita pada masa akan datang, ilmu yang kita perolehi ini akan berpanjangan. Kalau tak hari ini kita guna, mungkin 10 atau 20 tahun akan datang baru kita nampak akan pentingnya ilmu berkenaan.
Mengimbangi antara kerjaya dan pengajian katanya, pengurusan masa dan displin amat penting kerana Tuhan memberi kita masa yang sama iaitu 24 jam justeru kita perlu bijak merancang dalam membahagikan masa sebaik mungkin. Kita merancang dan Allah sebaik-baik perancang.
Bercerita lanjut, bidang pengajian Sarjana Sastera Pengajian Kenegaraan membuka minda selaku pelajar tentang susur galur sejarah pembinaan sebuah negara bangsa yang seharusnya menjadi panduan generasi akan datang supaya sejarah itu tidak dipinggirkan walaupun arus pembangunan dan pemodenan terus berlaku.

