Webmaster 2

Webmaster 2

 

 

KUALA MUDA: Program Melestarikan Kebersihan Pantai sekitar Dataran Tsunami, Kota Kuala Muda berjaya mengutip sebanyak 320 kilogram (kg) sampah termasuk botol plastik dan jala atau jaring ikan lama.

Program anjuran Pusat Alumni UUM dengan kerjasama Majlis Perbandaran Sungai Petani Kedah (MPSPK) itu disertai 100 peserta yang terdiri daripada kakitangan MPSPK, komuniti sekitar Dataran Tsunami, pelajar dan staf UUM.

Timbalan Naib Canselor (Hal Ehwal Pelajar dan Alumni), Prof. Dr. Ahmad Martadha Mohamed berkata, pelaksanaan program ini adalah usaha dan bukti yang menunjukkan kesungguhan universiti dalam membantu negara melestarikan kebersihan dan keindahan alam sekitar, khususnya di kawasan pantai kerana pantai merupakan salah satu aset negara dalam sektor pelancongan.

Menurutnya, ia juga dapat memupuk budaya dalam mengekalkan kebersihan pantai dan kelestarian laut.

Dalam program ini juga, sebuah surau yang sering digunakan oleh penduduk kampung untuk aktiviti kerohanian yang berada di persisiran pantai itu juga turut dibersihkan.

Selain itu, kaunter E-Idaman Xchange turut dibuka untuk memberi peluang kepada penduduk kampung menjalankan aktiviti kitar semula.

Sementara itu, Yang diPertua MPSPK, Dato’ Muhamad Arof Darus berkata, program julung kali diadakan itu bertujuan meningkatkan kesedaran tentang kepentingan menjaga alam sekitar.

“Selain itu, program dengan kolaborasi bersama penduduk sekitar juga dapat mewujudkan hubungan baik antara pihak MPSPK, universiti bersama komuniti setempat.

“Malahan ia juga memberi peluang kepada pelajar UUM termasuk staf untuk berkenalan dan mengenali masyarakat setempat,” katanya.

Dalam program itu juga, Pusat Alumni UUM juga menyediakan bakul makanan kepada 30 penduduk kampung dari golongan asnaf.

Bakul makanan tersebut ditaja oleh alumni UUM iaitu pemilik Syarikat Hikmah Worldwide Trading dan Yayasan Grass2Route (G2R).

Hadir sama, Penghulu Mukim Kota dan Rantau Panjang, Badruel Nizam Ibrahim yang juga merupakan Alumni UUM dalam Sarjana Muda Pengurusan Teknologi, tahun 2007.

 

 

 

 

 

 

Sunday, 23 July 2023 12:08

ALUMNI SHARING: APA TUNGGU LAGI?

 

HEPA ONLINE : Exco Informasi dan Penerbitan, JKPS INASIS Sime Darby telah berjaya menganjurkan sebuah program melibatkan para Alumni UUM. Program bertemakan Alumni Sharing Session: Life After Graduate telah mendapat sebutan ramai dalam kalangan pelajar tentang kesedaran untuk menempuh dunia selepas bergraduasi.

Seramai 649 orang pelajar telah menyertai program ini yang berlangsung secara atas talian melalui aplikasi Webex yang diadakan bermula jam 8.00 malam. Pihak penganjur telah menjemput seorang ahli perniagaan berjaya, iaitu Prof. Ts Dr. Muhammad Ashlyzan Razik yang juga merupakan Pengarah Luar Pusat UMK Pendidikan dan juga pengasas Restoran Kopi Mesin yang terletak di dalam kampus UUM.

Prof. Ts Dr. Muhammad Ashlyzan telah berbesar hati berkongsi pengalaman berharga beliau selepas bergelar pelajar lepasan ijazah. Usaha dan teknik yang baik dalam setiap pekerjaan merupakan teras utama yang menjadi pegangan hidup beliau untuk terus menempa kejayaan.

Dalam sesi perkongsian beliau juga, Prof turut menceritakan pengalaman pahit manis beliau menjalankan beberapa perniagaan semasa melanjutkan pelajaran di Universiti Utara Malaysia (UUM). Antara pengalaman berharga ialah beliau pernah aktif dalam penjualan insurans secara sah kepada para pelajar. Beliau menggunakan kebijaksaan dengan mensasarkan para pelajar yang berkemampuan sebagai prospek dalam perniaagaan ini. Hasilnya, kejayaan ini merupakan titik mula perjalanan beliau sebagai seorang usahawan lantas menjadi persediaan beliau untuk menempuh hakikat sebenar pekerjaan.

Segala pengalaman dan ilmu yang ditimba telah membuatkan beliau lebih cekap dan akhirnya berjaya membuka perniagaan sendiri yang akhirnya menjadi pengasas kepada perusahaan Kopi Mesin.

Antara nasihat berharga beliau kepada semua pelajar adalah “jangan tunggu selesai belajar baru nak promosikan diri, libatkan diri dalam program universiti, bina hubungan baik dan belajarlah buat muka kesian” gurauan penuh makna yang diujarkan beliau.

 

 

 

 

 

 

 

 

HEPA ONLINE : Itulah yang diungkapkan oleh sebahagian alumni Universiti Utara Malaysia (UUM) Chapter Sarawak (AURAS) ketika berkunjung ke U-Assist.

Lawatan ke U-Assist ini adalah sebahagian daripada rangka kerja bagi Program Alumni Homecoming: AURAS yang bermula pada 23 hingga 26 Jun 2023.

Ketika ditemubual, Presiden AURAS, Chi Poh Yung berkata, beliau sangat kagum melihat perkembangan dan kemudahan yang disediakan oleh U-Assist.

“Saya teruja melihat fasiliti di U-Assist dan percaya UUM dapat meningkatkan tahap kepuasan pelajar terhadap kualiti perkhidmatan yang ditawarkan di U-Assist”, ujar beliau.

Jacques Jagang yang hadir bersama suaminya yang mana kedua-dua mereka adalah Alumni UUM pula menekankan kehadiran AURAS ke Universiti ini adalah bagi tujuan memberi sumbangan dan motivasi kepada anak-anak Sarawak yang melanjutkan pengajian di kampus Sintok. 

Menurutnya lagi, fasiliti yang disediakan di U-Assist sangat mengagumkan hasil daripada penerapan digitalisasi dan kecanggihan infrastruktur teknologi maklumat.

U-Assist sebagai sebuah pusat perkhidmatan sokongan pelajar turut mendapat pujian daripada Hasimah Brahim yang menamatkan pengajian pada tahun 1999.

“Cara staf U-Assist mengendalikan servis di setiap kaunter sangat sistematik dan tersusun sekaligus meningkatkan kecekapan penyampaian perkhidmatan.

“Saya telah bekerja dengan tujuh syarikat sebelum bersara dan tidak pernah melihat perkhidmatan yang disediakan di bawah satu bumbung seperti U-Assist ini dan ia cukup baik,” tambah Rosmawati Mohamad Sahari yang mula melanjutkan pengajiannya di UUM pada tahun 1988.

Pengarah U-Assist, Suraya Deraman amat berbesar hati menerima lawatan daripada delegasi AURAS dan berharap lawatan seumpama ini dapat diperbanyakkan lagi untuk mengeratkan kerjasama dengan para alumni UUM dari serata dunia.

AURAS begitu komited dalam merencana dan melaksanakan pelbagai aktiviti serta program yang melibatkan alumni bagi mengekalkan hubungan yang konsisten di antara Alumni dan pihak pengurusan universiti.

 

 

 

 

 

Sunday, 25 June 2023 11:31

AURAS BANTU MARTABAT NAMA UUM

 

SINTOK: Sumbangan Persatuan Alumni Universiti Utara Malaysia Sarawak (AURAS) dalam pembangunan universiti diharap dapat menjulang nama UUM di peringkat lebih tinggi lagi.

Naib Canselor, Prof. Dr. Mohd Foad Sakdan berkata, walaupun AURAS masih dalam proses penubuhan, tetapi mereka berjaya mengumpul 185 alumni dari Sarawak secara rasminya.

Menurutnya, AURAS telah memainkan peranan efektif ke atas UUM menerusi penyediaan biasiswa alumni kepada pelajar B40 Sarawak berjumlah RM8,000.

Di samping itu, pembangunan pelajar melalui program mentoring Syarikat Richmind Consulting and Mentoring Sdn. Bhd. yang diadakan pada Sabtu lalu.

“Saya berharap program seperti ini akan diaktifkan lagi oleh AURAS di mana secara tidak langsung dapat membantu memartabatkan nama UUM.

“Universiti juga berhasrat untuk bekerjasama dengan alumni dalam aktiviti-aktiviti yang dapat menyumbang kepada pembangunan universiti serta warganya sesuai dengan slogan UUM iaitu Ilmu, Budi, Bakti,” katanya pada Majlis Makan Tengah Hari Bersama Naib Canselor dan AURAS di Manager’s Coffee, hari ini.

Dr. Mohd Foad turut berkongsi kejayaan UUM berada di kedudukan 99 universiti terbaik Asia dan kedua terbaik di Malaysia dalam Times Higher Education (THE) Asia University Rankings 2023.

Program Alumni Homecoming: Alumni UUM Sarawak Chapter (AURAS) pada kali ini telah berjaya menghimpunkan seramai 12 alumni Sarawak.

Program pada kali ini telah merangkumi 5 ‘pillar’ Pusat Alumni iaitu Alumni Engagement, Alumni Day Homecoming, Alumni Bonding, Alumni Endownment dan Alumni Mentoring.

Sementara itu, Presiden AURAS, Chi Poh Yung berterima kasih atas kehadiran Naib Canselor bersama Timbalan Naib Canselor (Hal Ehwal Pelajar dan Alumni) yang menunjukkan sokongan kuat pihak UUM terhadap AURAS.

Ujarnya, fokus AURAS adalah menganjurkan aktiviti-aktiviti yang berkaitan dengan kebajikan, rekreasi, ekonomi dan pendidikan kepada alumni UUM dan masyarakat di Sarawak secara amnya.

“Kami berjanji sebagai alumni UUM akan terus memelihara nama baik UUM sepanjang kami mewakili AURAS.

“Untuk meneruskan aspirasi menggalakan anak-anak muda meneruskan pelajaran mereka, AURAS akan menganjurkan satu program Jalinan Kasih UUM ke Saribas yang akan berlangsung pada September nanti,” katanya.

Pada majlis itu, Poh Yung telah menyerahkan sumbangan bernilai RM5,000 untuk Tabung Kebajikan Pusat Alumni UUM kepada Dr. Mohd Foad.

Hadir sama, Timbalan Naib Canselor (Hal Ehwal Pelajar dan Alumni), Prof. Dr. Ahmad Martadha Mohamed dan Pengarah Pusat Alumni, Prof. Madya Dr. Mohd Sobri Don @ A. Wahab.

 

 

 

 

Page 58 of 84