Sunday, 14 July 2024 10:38

11 Orang Pelajar UUM Terpilih Menerima “Biasiswa Alumni UUM Ramli Mohd Tahir”

Written by

Ahad, 14 Julai 2024 - Seramai 11 orang pelajar Universiti Utara Malaysia (UUM) cemerlang dan terpilih telah menerima biasiswa sebanyak RM2,000.00 bagi setiap seorang bagi membantu mereka dalam keperluan pembelajaran di kampus.

Biasiswa ini diberikan secara “one off”, hasil peruntukan peribadi daripada Yang Berbahagia Dato’ Haji Ramli Mohd Tahir, Pengarah Urusan, KDEB Waste Management (KDEBWM) di bawah seliaan Pusat Alumni. Beliau merupakan Alumni UUM yang telah mengambil jurusan Ijazah Sarjana Muda Pentadbiran Perniagaan dengan Kepujian (1996).

Pelajar-pelajar ini telah dipilih berdasarkan Purata Mata Semester (PMS) dan Purata Mata Keseluruhan (PMK) mereka masing-masing. Selain itu, mereka juga merupakan para pelajar yang terdiri daripada kalangan keluarga yang berpendapatan rendah dan anak yatim piatu. 

Pengarah Pusat Alumni, Profesor Madya Dr. Lily Julienti Abu Bakar, telah menyerahkan surat tawaran biasiswa tersebut mewakili Yang Berbahagia Dato’ Haji Ramli, kepada 11 orang pelajar tersebut bertempat di Pejabat Pusat Alumni, pagi ini. Penyerahan penghargaan secara rasmi kepada Yang Berbahagia Dato’ akan diadakan pada Majlis Makan Malam Mai Balik UUM yang akan diadakan pada bulan September nanti.

Katanya, para pelajar diingatkan untuk menggunakan biasiswa ini bagi tujuan pembayaran yuran atau untuk kegunaan keperluan pembelajaran sahaja, bukan untuk perkara-perkara yang tidak bermanfaat.

Penajaan biasiswa daripada Alumni UUM seperti ini merupakan program kali kedua di bawah seliaan Pusat Alumni selepas biasiswa tajaan daripada Encik Shazmi Ali Sardar Ali, Naib Presiden Sumber Manusia SHELL pada tahun 2022.