Monday, 05 August 2024 11:16

Potong Pulut Kuning Simbolik Sempena Sambutan Hari Alumni UUM Ke-36

Written by

UUM, Siktok - Majlis Sambutan Hari Alumni Universiti Utara Malaysia (UUM) ke-36 berlangsung di Bilik Mesyuarat Senat. 

Bagi menyempurnakan majlis, Naib Canselor, Prof. Dato’ Dr. Mohd Foad Sakdan dan Timbalan Naib Canselor (Hal Ehwal Pelajar dan Alumni), Prof. Dr. Ahmad Martadha Mohamed memotong pulut kuning sambil disaksikan Pengarah Pusat Alumni UUM, Prof Madya Dr. Lily Julienti Abu Bakar dan pegawai universiti.  

“Upacara memotong pulut kuning sebagai simbolik sambutan Hari Alumni UUM ke-36 yang diambil sempena Majlis Konvokesyen UUM pertama pada 30 Julai 1988,” kata Naib Canselor sejurus selepas mempengerusikan Mesyuarat Penyelarasan Program Mai Balik UUM 2024 (MBUUM) Kali Ke-2. 

Jelasnya, Program Mai Balik UUM 2024 julung kali diadakan bersempena Sambutan Tahun Melawat UUM 2024 dan Sambutan Hari Pengasasan UUM yang ke 40. 

Katanya, MBUUM merupakan program anjuran universiti di mana Pusat Alumni sebagai penyelaras program dengan kerjasama Jawatankuasa Penyelaras Program MBUUM yang melibatkan Jabatan HEPA dan pusat pengajian. 

“Menerusi program ini kita membawa alumni untuk kembali ke UUM sekali gus mengimbau zaman kampus yang penuh memori ibarat sireh pulang ke gagang. Inisiatif ini juga dilihat merapatkan jalinan universiti bersama alumni UUM,” ucapnya.   

Sementara itu, Dr Lily Julienti berkata, MBUUM amat sesuai untuk tujuan jalinan dan ikatan mesra di antara alumni dengan universiti. “Penyertaan yang berskala besar akan menjadi promosi kepada UUM melalui tularan pada media sosial. 

“Pelaksanaan program ini secara tidak langsung juga akan melebarkan jaringan kerjasama strategik universiti dengan agensi luar, sekali gus mengukuhkan jenama UUM dalam pasaran,” ujarnya. 

Pusat Alumni akan berkolaborasi secara strategik dengan seluruh warga kampus UUM, alumni UUM, dan agensi luar bagi menjayakan program MBUUM 2024. 

Pada majlis sama menyaksikan penyerahan baucer diskaun He & She Coffee oleh Zulkiflee Yusof untuk disampaikan kepada pelajar B40 dan MBUUM bernilai RM5,000.