Oleh: Samsudin Oli Mohamed
Gambar: Shamsaimi Ezil
UUM ONLINE: Sintok – Universiti Utara Malaysia (UUM) bersedia bekerjasama dengan Pertubuhan Kebajikan Warga Emas Langkasuka, Kubang Pasu (Pewaris) dalam menyantuni warga emas di Daerah Kubang Pasu.
“UUM dalam konteks ini bersedia menawarkan diri untuk membantu pusat jagaan warga emas bukan sahaja di daerah ini malah terbuka kepada mana-mana organisasi atau pertubuhan yang ingin memanfaatkan kepakaran yang ada di kalangan pensyarah, staf dan juga pelajar UUM,” kata Timbalan Naib Canselor (Penyelidikan dan Inovasi) Prof Dr Haim Hilman Abdullah ketika berucap merasmikan Seminar Pembangunan dan Pengurusan Warga Emas Abad 21 di Dewan Hotel Bustani, Jitra, Kedah.
Katanya, UUM melihat kerjasama bijak dari pelbagai perspektif sesama agensi berkaitan pastinya dapat membantu warga emas yang memerlukan pembelaan.
Prof Dr Haim Hilman menambah kita berasa hiba dan sayu apabila ada warga emas ditinggalkan anak-anak dan keluarga apabila lanjut usia.
“ Ingatlah bahawasanya setiap ibu dan bapa amat menyayangi anak-anak mereka. Oleh itu, gembirakanlah hati mereka semua. Janganlah biarkan ada antara mereka tersisih ketika berada di penghujung usia,” katanya dalam nada sebak.
Oleh itu beliau berharap supaya semua pihak bersama-sama membantu dan menggembirakan warga emas ini.
Sementara itu Pengerusi PEWARIS Dr Mohamad Zulkurnai Ghazali berkata penganjuran seminar ini walaupun terpaksa dikecilkan penyertaannya kerana kapasiti yang terhad namun bilangan penyertaan dari pelbagai agensi kerajaan, Institusi Pengajian Tinggi (IPT), pusat penjagaan warga emas dan NGO mendapat kerjasama yang amat baik.
Katanya seminar ini juga diharap dapat merealisasikan hasrat PEWARIS yang ditubuhkan untuk menyedari, menginsafi dan menerapkan nilai kasih sayang, hormat menghormati, rasa tanggungjawab serta berusaha memahami permasalahan warga emas di kalangan rakyat khususnya seorang anak kepada ibu bapa yang harus diterjemahkan secara sepenuhnya.
PEWARIS ditubuhkan pada Februari 2021 dengan tujuan untuk membantu khususnya ibu tunggal, ibu yang bersendirian dan tidak ada waris.
“Memandangkan di Kubang Pasu tidak mempunyai pusat jagaan warga emas ketika ini maka jawatankuasa PEWARIS telah mengadakan rundingan dengan sebuah syarikat swasta dan mereka bersetuju untuk memulakan pembinaannya pada penghunjung tahun ini dan dijangka beroperasi pada awal 2022 nanti,” kata Dr Mohamad Zulkurnai lagi.
Oleh: Nordiana Shafiee
Gambar: Shamsaimi Ezil
UUM ONLINE: Isu kesihatan dan keselamatan di tempat kerja bukanlah sesuatu yang harus dipandang remeh dan tempat kerja yang selamat perlu bebas dari sebarang risiko kemalangan.
Sehubungan itu, bagi meningkatkan pengetahuan dan mengenal pasti langkah penambahbaikan amalan dalam isu keselamatan di tempat kerja, Social Security Management Center of Excellent SBM-SOSCO (SOSCoE), Pusat Pengajian Pengurusan Perniagaan (SBM) dengan kerjasama Polis Diraja Malaysia (PDRM) telah menganjurkan Webinar 'Tingkah Laku Tidak Selamat Dalam Pekerjaan' menerusi Webex, semalam.
Webinar tersebut telah dirasmikan Ketua Polis Negara, Dato' Sri Acryl Sani Abdullah Sani yang mana dalam ucapan beliau berkata, webinar ini merupakan platform terbaik untuk perkongsian ilmu tentang keselamatan di tempat kerja khususnya melibatkan warga PDRM.
Menurutnya, PDRM telah mewujudkan satu garis panduan dalam aspek keselamatan dan kesihatan pekerjaan yang mana Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik dipilih sebagai projek rintis pada tahun lalu dan ia akan disebar luas ke Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK), Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) dan komponen PDRM lain mulai 2022 hingga 2025.
Katanya, pelaksanaan pembudayaan keselamatan dan kesihatan pekerjaan khususnya dalam kalangan warga pasukan adalah sangat penting bagi melindungi anggota dan orang awam daripada sebarang bahaya yang berpunca daripada aktiviti pekerjaan.
"Dengan garis panduan ini diharapkan dapat mengurangkan risiko di tempat kerja mewujudkan persekitaran tempat kerja yang kondusif dan selamat bagi mengurangkan risiko kemalangan, seterusnya warga PDRM dapat bekerja dengan lebih efisien lagi.
"Saya berharap semua peserta khususnya warga PDRM akan memperoleh ilmu yang bermanfaat daripada sesi perkongsian ini dalam meningkatkan lagi kefahaman dan pengetahuan khususnya berhubung keselamatan di tempat kerja," katanya.
Sementara itu, Timbalan Naib Canselor (Penyelidikan dan Inovasi) yang menjalankan fungsi Naib Canselor, Prof. Dr. Haim Hilman Abdullah dalam aluannya berkata, sebagai petugas barisan hadapan, pegawai dan anggota PDRM sentiasa terdedah dengan pelbagai risiko keselamatan dan kesihatan dalam melaksanakan tugas harian, ditambah pula semua rakyat Malaysia dikenakan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) akibat pandemik Covid-19 sejak tahun lalu.
Menurutnya, di saat itu, pegawai dan anggota PDRM bertungkus lumus tanpa mengira masa dan keadaan cuaca bagi memastikan rakyat mematuhi prosedur operasi standard (SOP) pergerakan yang telah ditetapkan kerajaan demi menjaga kesihatan dan keselamatan orang ramai.
Katanya, webinar hari ini adalah salah satu inisiatif UUM dan PDRM bagi memastikan semua warga PDRM cakna tentang implikasi tingkah laku tidak selamat dan penyakit pekerjaan terhadap prestasi mereka khususnya dan PDRM umumnya.
"Program ini antara lain cuba meneliti isu dan cabaran yang dihadapi oleh kita semua, khususnya oleh warga PDRM dalam menjalankan tugas dan tanggungjawab yang diamanahkan, selain pandemik Covid-19 yang memberikan kesan yang signifikan kepada semua dalam pelbagai aspek seperti sosioekonomi, keselamatan dan kesihatan serta kesejahteraan diri.
"Saya juga berharap program ini dapat membincangkan inisiatif atau usaha-usaha yang boleh dilakukan bagi meningkatkan kesejahteraan, keselamatan dan kesihatan warga PDRM, malah UUM sedia membantu PDRM untuk menggembleng kepakaran yang dimiliki agar dapat memperkasakan barisan hadapan PDRM dalam menjalankan tugas dengan baik, seterusnya meningkatkan kesan positif atas kerjasama antara kedua pihak ini," katanya.
Webinar selama sehari itu turut menampilkan pengucaptama yang merupakan Naib Presiden Sumber Manusia, Honda Malaysia, Che Zulhaimee Abdullah, diikuti ceramah dan forum serta bengkel.
Oleh: Nurin Sabrina
Gambar: Media Alumni
UUM Online - Sintok: Perkongsian alumni UUM dari School of Creative Industry Management & Performing Arts (SCIMPA) tentang pengalaman mereka dalam industri yang diceburi telah menambah pengetahuan kepada para pelajar baharu bagi menyediakan diri mereka untuk menghadapi alam pekerjaan pada masa hadapan.
Farzillah Nor Afiqah Mohamad Arif, Farhiyah Hamdi, Muhammad Shafiq Zainal, dan Wan Mohd Rafiq Wan Shamsul Kamal adalah antara alumni SCIMPA yang terlibat dalam sesi perkongsian tersebut.
Menurut Afiqah, Juruhebah Manis.FM, dan Farhiyah dari syarikat animasi Digital Durian, latihan industri banyak membantu mereka dalam karier yang diceburi. Sementara itu, Shafiq pemilik syarikat MakanBola, dan Rafiq dari syarikat penerbitan One’s Visual mengatakan penglibatan secara aktif dalam perkara yang diminati seawal dalam pengajian berjaya membantu mereka memiliki syarikat tersendiri.
Perkongsian selama 2 jam itu juga diselitkan dengan beberapa nasihat berguna kepada para pelajar baharu supaya mereka dapat melaksanakan tanggungjawab dengan berkesan.
Penganjuran program dalam talian ini merupakan kerjasama antara SCIMPA dengan Majlis Perwakilan Pelajar (MPP) pusat pengajian tersebut.
Oleh: Maizatul Akmar Binti Zulkafli
Gambar: Media Alumni
UUM ONLINE: Kedah – Seramai 18 orang alumni di bawah Pusat Pengajian Sains Kuantitatif (SQS) telah terlibat dalam program “Mentoring Session” yang telah dianjurkan oleh Persatuan Pelajar Sains Kuantitatif (QuSAc) dengan kerjasama Pusat Alumni Universiti Utara Malaysia (UUM), baru-baru ini.
Program ini telah diadakan bersama-sama dengan pelajar-pelajar baharu SQS yang telah diadakan secara maya menerusi aplikasi Zoom.
Timbalan Dekan Pusat Pengajian Sains Kuantitatif (SQS), Dr. Norazura Ahmad berkata, program ini dilaksanakan adalah bertujuan untuk memberikan pendedahan kepada pelajar-pelajar baharu mengenai struktur-struktur program pengajian, kursus-kursus yang ditawarkan serta bidang kerjaya yang boleh diceburi.
Sementara itu, Alumni UUM, Nik Nur Ezzati Nik Rosdi menyarankan supaya pelajar-pelajar memilih kelab yang bersesuaian dengan diri setiap pelajar untuk disertai seperti kelab QuSAC bagi membantu dalam menambahkan ilmu pengetahuan serta “soft skills” mereka.
Menurut pelajar-pelajar baharu SQS, program yang dilaksanakan bersama-sama dengan para alumni ini sememangnya merupakan sebuah program perkongsian yang perlu untuk dilaksanakan sepanjang masa kerana ianya sedikit sebanyak dapat menyuntik semangat para pelajar untuk meneruskan pengajian dan mendapat pekerjaan yang terbaik apabila tamat pengajian kelak.