KUALA MUDA: Program Melestarikan Kebersihan Pantai sekitar Dataran Tsunami, Kota Kuala Muda berjaya mengutip sebanyak 320 kilogram (kg) sampah termasuk botol plastik dan jala atau jaring ikan lama.
Program anjuran Pusat Alumni UUM dengan kerjasama Majlis Perbandaran Sungai Petani Kedah (MPSPK) itu disertai 100 peserta yang terdiri daripada kakitangan MPSPK, komuniti sekitar Dataran Tsunami, pelajar dan staf UUM.
Timbalan Naib Canselor (Hal Ehwal Pelajar dan Alumni), Prof. Dr. Ahmad Martadha Mohamed berkata, pelaksanaan program ini adalah usaha dan bukti yang menunjukkan kesungguhan universiti dalam membantu negara melestarikan kebersihan dan keindahan alam sekitar, khususnya di kawasan pantai kerana pantai merupakan salah satu aset negara dalam sektor pelancongan.
Menurutnya, ia juga dapat memupuk budaya dalam mengekalkan kebersihan pantai dan kelestarian laut.
Dalam program ini juga, sebuah surau yang sering digunakan oleh penduduk kampung untuk aktiviti kerohanian yang berada di persisiran pantai itu juga turut dibersihkan.
Selain itu, kaunter E-Idaman Xchange turut dibuka untuk memberi peluang kepada penduduk kampung menjalankan aktiviti kitar semula.
Sementara itu, Yang diPertua MPSPK, Dato’ Muhamad Arof Darus berkata, program julung kali diadakan itu bertujuan meningkatkan kesedaran tentang kepentingan menjaga alam sekitar.
“Selain itu, program dengan kolaborasi bersama penduduk sekitar juga dapat mewujudkan hubungan baik antara pihak MPSPK, universiti bersama komuniti setempat.
“Malahan ia juga memberi peluang kepada pelajar UUM termasuk staf untuk berkenalan dan mengenali masyarakat setempat,” katanya.
Dalam program itu juga, Pusat Alumni UUM juga menyediakan bakul makanan kepada 30 penduduk kampung dari golongan asnaf.
Bakul makanan tersebut ditaja oleh alumni UUM iaitu pemilik Syarikat Hikmah Worldwide Trading dan Yayasan Grass2Route (G2R).
Hadir sama, Penghulu Mukim Kota dan Rantau Panjang, Badruel Nizam Ibrahim yang juga merupakan Alumni UUM dalam Sarjana Muda Pengurusan Teknologi, tahun 2007.