UUM ONLINE: Muar, Johor – Pusat Alumni, Universiti Utara Malaysia (UUM) terus memperkukuh sinergi dan kesepaduan warga kerja menerusi program “Sinergi Ilmu, Jalinan Komuniti dan Alumni” yang berlangsung di Kampung Malaya Homestay, Muar, Johor.
Program ini menjadi platform bagi mempererat hubungan dalam kalangan warga kerja Pusat Alumni, menyemarakkan semangat kerja berpasukan serta memperkasa perkongsian ilmu dan pengalaman bagi meningkatkan keberkesanan gerak kerja organisasi.
Antara pengisian utama program ialah sesi post-mortem Program MAI BALIK UUM 2.0, penyediaan Portfolio Pusat Alumni, penyelarasan Almanak Alumni UUM 2027 serta aktiviti sukaneka. Kesemua aktiviti tersebut dirangka bagi menggabungkan elemen pembangunan pasukan, refleksi, dokumentasi dan perancangan strategik dalam usaha memastikan pelaksanaan program serta tugasan Pusat Alumni lebih tersusun, sistematik dan berfokus.
Menurut Pengarah Pusat Alumni UUM, Prof. Madya Dr. Lily Julienti Abu Bakar, program sebegini penting dalam membentuk pasukan yang lebih mantap, bukan sahaja dari aspek hubungan kerja, malah dalam memperkukuh kefahaman terhadap hala tuju dan peranan masing-masing dalam menjayakan agenda alumni universiti.
“Kekuatan sesebuah organisasi bukan hanya bergantung kepada perancangan yang baik, tetapi turut dipacu oleh kesepaduan, komunikasi dan komitmen setiap warga kerja. Program ini memberi ruang kepada kita untuk bermuhasabah, berkongsi pandangan serta mengenal pasti ruang penambahbaikan agar gerak kerja Pusat Alumni dapat dilaksanakan dengan lebih terancang dan berimpak.
Secara keseluruhannya, program ini memberi impak positif dalam memperkukuh komunikasi, kerjasama dan kesepaduan warga kerja, di samping meningkatkan kecekapan dalam aspek perancangan dan penyampaian tugas. Program ini turut menjadi medium untuk mengeratkan jaringan antara UUM, alumni dan komuniti melalui penglibatan serta sokongan alumni dalam pelbagai inisiatif yang dilaksanakan.
Pemilihan Kampung Malaya Homestay, yang diusahakan oleh Tn. Haji Abdul Hafidz Win, Alumni UUM daSarjana Muda Perakaunan dengan Kepujian (1993), turut mencerminkan komitmen Pusat Alumni dalam menyokong inisiatif serta keusahawanan alumni, sekali gus memperkukuh hubungan strategik antara universiti dan komuniti alumni.

