Webmaster 2

Webmaster 2

SINTOK, 29 September 2026 – Pusat Alumni Universiti Utara Malaysia (UUM) terus memperkukuh peranan dalam menyantuni kebajikan mahasiswa menerusi Sesi Penyerahan Simbolik Sumbangan Alumni yang berlangsung di Sintok Roast, UUM, hari ini.

Majlis tersebut disempurnakan dengan kehadiran Pengarah Pusat Alumni UUM, Prof. Madya Dr. Lily Julienti Abu Bakar serta wakil Alumni Rugby - Gamblers SKB, Suhaizaz Sudin yang merupakan Alumni UUM dan Pensyarah Kanan Universiti Malaysia Perlis (UniMAP) dan pemegang Ijazah Sarjana Muda Teknologi Maklumat dengan Kepujian, UUM (1998).

 Sumbangan berjumlah RM1000 telah disalurkan kepada 10 pelajar UUM yang terpilih di mana setiap pelajar menerima sumbangan sebanyak RM100 sebagai tanda keprihatinan dan sokongan alumni terhadap kebajikan serta kesejahteraan pelajar. Suhaizaz Sudin berkata, sumbangan ini merupakan tanda keprihatinan alumni terhadap kebajikan pelajar UUM yang diharapkan dapat membantu meringankan beban pelajar yang memerlukan.Penyaluran sumbangan ini turut mendapat kerjasama Pusat Islam UUM yang membantu dalam mengenal pasti serta menyelaras penerima yang bersesuaian.

Kerjasama ini mencerminkan pendekatan bersepadu antara Pusat Alumni dan Pusat Islam UUM dalam memastikan sumbangan yang disalurkan dapat memberikan manfaat kepada pelajar yang memerlukan.Inisiatif berkenaan bukan sahaja membantu meringankan beban pelajar terpilih, malah mencerminkan semangat kesukarelawanan, keprihatinan dan tanggungjawab sosial alumni terhadap universiti.

Pusat Alumni UUM merakamkan setinggi-tinggi penghargaan kepada Alumni Rugby - Gamblers SKB atas sumbangan dan komitmen yang diberikan dalam menyokong kebajikan mahasiswa serta memperkukuh hubungan berterusan antara alumni dan alma mater.

UUM ONLINE: Muar, Johor – Pusat Alumni, Universiti Utara Malaysia (UUM) terus memperkukuh sinergi dan kesepaduan warga kerja menerusi program “Sinergi Ilmu, Jalinan Komuniti dan Alumni” yang berlangsung di Kampung Malaya Homestay, Muar, Johor.

Program ini menjadi platform bagi mempererat hubungan dalam kalangan warga kerja Pusat Alumni, menyemarakkan semangat kerja berpasukan serta memperkasa perkongsian ilmu dan pengalaman bagi meningkatkan keberkesanan gerak kerja organisasi.

Antara pengisian utama program ialah sesi post-mortem Program MAI BALIK UUM 2.0, penyediaan Portfolio Pusat Alumni, penyelarasan Almanak Alumni UUM 2027 serta aktiviti sukaneka. Kesemua aktiviti tersebut dirangka bagi menggabungkan elemen pembangunan pasukan, refleksi, dokumentasi dan perancangan strategik dalam usaha memastikan pelaksanaan program serta tugasan Pusat Alumni lebih tersusun, sistematik dan berfokus. 

Menurut Pengarah Pusat Alumni UUM, Prof. Madya Dr. Lily Julienti Abu Bakar, program sebegini penting dalam membentuk pasukan yang lebih mantap, bukan sahaja dari aspek hubungan kerja, malah dalam memperkukuh kefahaman terhadap hala tuju dan peranan masing-masing dalam menjayakan agenda alumni universiti.

“Kekuatan sesebuah organisasi bukan hanya bergantung kepada perancangan yang baik, tetapi turut dipacu oleh kesepaduan, komunikasi dan komitmen setiap warga kerja. Program ini memberi ruang kepada kita untuk bermuhasabah, berkongsi pandangan serta mengenal pasti ruang penambahbaikan agar gerak kerja Pusat Alumni dapat dilaksanakan dengan lebih terancang dan berimpak.

Secara keseluruhannya, program ini memberi impak positif dalam memperkukuh komunikasi, kerjasama dan kesepaduan warga kerja, di samping meningkatkan kecekapan dalam aspek perancangan dan penyampaian tugas. Program ini turut menjadi medium untuk mengeratkan jaringan antara UUM, alumni dan komuniti melalui penglibatan serta sokongan alumni dalam pelbagai inisiatif yang dilaksanakan.

Pemilihan Kampung Malaya Homestay, yang diusahakan oleh Tn. Haji Abdul Hafidz Win, Alumni UUM daSarjana Muda Perakaunan dengan Kepujian (1993), turut mencerminkan komitmen Pusat Alumni dalam menyokong inisiatif serta keusahawanan alumni, sekali gus memperkukuh hubungan strategik antara universiti dan komuniti alumni.

TANGKAK, JOHOR, 17 September 2026 – Pusat Alumni Universiti Utara Malaysia (UUM) telah menganjurkan Program Pemindahan Ilmu dan Jaringan Komuniti bersama 100 orang pelajar Kolej Teknologi Termaju Jabatan Tenaga Manusia (ADTEC JTM) Tangkak Johor. Program ini telah dirasmikan oleh Ketua Pengarah Jabatan Tenaga Manusia (JTM), YBhg. Dato’ Haji Mohamad Zahri bin Hj. Samingon,alumni UUM bagi Sarjana Muda Pengurusan Awam dengan Kepujian (1995). 

Sesi perkongsian bertajuk “Industry Expectations: TVET Resilience” disampaikan oleh Tn. Haji Abdul Hafidz Win, Alumni UUM bagi Sarjana Muda Perakaunan dengan Kepujian (1993).

Beliau telah memberi pendedahan kepada pelajar mengenai jangkaan industri, daya tahan dan persediaan menghadapi alam pekerjaan. Turut hadir pasukan SomeLab Research Group SBM UUM, yang terdiri dari pada  Prof. Madya Dr. Darwina bt. Hj. Ahmad Arshad, Prof. Madya Dr. Norzieiriani bt. Ahmad dan  Dr. Muhammad Zulqarnain Arshad.

Delegasi UUM turut berkesempatan melawat bengkel pelajar serta menyaksikan Majlis Menandatangani Memorandum Persefahaman (MoU) antara ADTEC JTM Tangkak dengan  Syarikat Eurojaya Precision dan Syarikat Kyosei Sietmitsu, Melaka

Menurut Pengarah Pusat Alumni UUM, Prof. Madya Dr. Lily Julienti bt. Abu Bakar, yang juga merupakan ahli SomeLab Research Group SBM, program ini menjadi platform untuk perkongsian ilmu dan pengalaman alumni, di samping memperkukuh jaringan antara UUM, alumni, ADTEC JTM dan pihak industri.

Beliau juga berharap agar jaringan yang terjalin dapat diteruskan melalui kerjasama dalam bidang pemindahan ilmu, pembangunan bakat dan jaringan komuniti.

UUM ONLINE: Sintok, 5 September 2026: Alumni Universiti Utara Malaysia (UUM) diseru terus memainkan peranan sebagai pembina masyarakat, membangunkan bangsa usahawan serta memperkukuh jalinan sinergi bagi memberikan manfaat lebih besar kepada universiti dan masyarakat.

Seruan tersebut disampaikan Datuk Seri Dr. Ahmad Maslan yang turut menyumbangkan RM20,000 kepada alumni UUM sebagai tanda sokongan terhadap usaha memperkukuh peranan alumni dalam membantu universiti dan masyarakat.

Sumbangan itu diumumkan beliau ketika menyampaikan ucapan pada Majlis Makan Malam Amal Alumni yang berlangsung di Dewan Mu'adzam Shah, UUM, malam ini.

“Saya melihat pada malam ini terdapat rakan-rakan yang ingin membantu UUM. Maka, saya juga ingin membantu. Dengan ini, saya ingin memberikan sumbangan daripada dana yang saya usahakan sebanyak RM20,000 kepada alumni UUM,” katanya.

Beliau berkata, sokongan yang dizahirkan alumni perlu diteruskan melalui kerjasama dan jalinan yang lebih kukuh bagi mewujudkan ekosistem alumni yang mampu menyumbang secara berterusan kepada kemajuan universiti dan masyarakat.

Dalam pada itu, beliau menyeru alumni UUM supaya tidak hanya mengejar kejayaan dalam kerjaya, sebaliknya tampil sebagai pembina masyarakat (community builder) dengan memainkan peranan dalam lingkungan pengaruh masing-masing.

Menurut beliau, peranan sebagai pembina masyarakat boleh dilaksanakan tanpa mengira bidang dan tempat alumni berada, sama ada dalam sektor kerajaan, swasta, pertubuhan bukan kerajaan (NGO), dunia akademik mahupun komuniti setempat.

“Senang untuk kita ingat pembina masyarakat sebagai PM, iaitu Pembina Masyarakat. Jadilah PM-PM kecil dalam ruang lingkup circle of influence kita masing-masing,” katanya.

Beliau turut mengajak alumni memperkukuh budaya keusahawanan dengan bersama-sama membina bangsa usahawan (Entrepreneurial Nation) bagi melahirkan lebih ramai usahawan yang mampu mencipta kekayaan serta menyumbang kepada pembangunan ekonomi masyarakat.

“Dengan syarat kita berusaha bersungguh-sungguh untuk membina apa yang kita panggil sebagai Entrepreneurial Nation, iaitu bangsa usahawan,” katanya.

Selain itu, beliau menekankan kepentingan jalinan sinergi (synergistic networking) dalam kalangan alumni bagi menggabungkan kekuatan, pengalaman dan kepakaran untuk menghasilkan impak yang lebih besar.

Mengambil konsep sinergi yang diketengahkan Prof. Stephen Covey menerusi buku The 7 Habits of Highly Effective People, beliau menjelaskan bahawa gabungan kekuatan dua pihak atau lebih mampu menghasilkan sesuatu yang lebih besar berbanding usaha secara bersendirian.

“Sinergi bermaksud satu campur satu bukan dua, tetapi tiga atau lebih. Apabila dua usahawan bergabung, kita bukan sekadar mempunyai dua kekuatan, tetapi boleh menghasilkan kekuatan ketiga dan lebih banyak kekuatan untuk membantu UUM,” jelasnya.

Majlis Makan Malam Amal Alumni turut diserikan dengan ucapan Dr. Ahmad Maslan yang sememangnya sinonim dengan pantun apabila beliau membuka ucapannya dengan beberapa rangkap pantun, sekali gus menceriakan suasana majlis.

Page 1 of 101