TANGKAK, JOHOR, 17 September 2026 – Pusat Alumni Universiti Utara Malaysia (UUM) telah menganjurkan Program Pemindahan Ilmu dan Jaringan Komuniti bersama 100 orang pelajar Kolej Teknologi Termaju Jabatan Tenaga Manusia (ADTEC JTM) Tangkak Johor. Program ini telah dirasmikan oleh Ketua Pengarah Jabatan Tenaga Manusia (JTM), YBhg. Dato’ Haji Mohamad Zahri bin Hj. Samingon,alumni UUM bagi Sarjana Muda Pengurusan Awam dengan Kepujian (1995).
Sesi perkongsian bertajuk “Industry Expectations: TVET Resilience” disampaikan oleh Tn. Haji Abdul Hafidz Win, Alumni UUM bagi Sarjana Muda Perakaunan dengan Kepujian (1993).
Beliau telah memberi pendedahan kepada pelajar mengenai jangkaan industri, daya tahan dan persediaan menghadapi alam pekerjaan. Turut hadir pasukan SomeLab Research Group SBM UUM, yang terdiri dari pada Prof. Madya Dr. Darwina bt. Hj. Ahmad Arshad, Prof. Madya Dr. Norzieiriani bt. Ahmad dan Dr. Muhammad Zulqarnain Arshad.
Delegasi UUM turut berkesempatan melawat bengkel pelajar serta menyaksikan Majlis Menandatangani Memorandum Persefahaman (MoU) antara ADTEC JTM Tangkak dengan Syarikat Eurojaya Precision dan Syarikat Kyosei Sietmitsu, Melaka
Menurut Pengarah Pusat Alumni UUM, Prof. Madya Dr. Lily Julienti bt. Abu Bakar, yang juga merupakan ahli SomeLab Research Group SBM, program ini menjadi platform untuk perkongsian ilmu dan pengalaman alumni, di samping memperkukuh jaringan antara UUM, alumni, ADTEC JTM dan pihak industri.
Beliau juga berharap agar jaringan yang terjalin dapat diteruskan melalui kerjasama dalam bidang pemindahan ilmu, pembangunan bakat dan jaringan komuniti.

