UUM ONLINE: Sintok, 5 September 2026: Alumni Universiti Utara Malaysia (UUM) diseru terus memainkan peranan sebagai pembina masyarakat, membangunkan bangsa usahawan serta memperkukuh jalinan sinergi bagi memberikan manfaat lebih besar kepada universiti dan masyarakat.
Seruan tersebut disampaikan Datuk Seri Dr. Ahmad Maslan yang turut menyumbangkan RM20,000 kepada alumni UUM sebagai tanda sokongan terhadap usaha memperkukuh peranan alumni dalam membantu universiti dan masyarakat.
Sumbangan itu diumumkan beliau ketika menyampaikan ucapan pada Majlis Makan Malam Amal Alumni yang berlangsung di Dewan Mu'adzam Shah, UUM, malam ini.
“Saya melihat pada malam ini terdapat rakan-rakan yang ingin membantu UUM. Maka, saya juga ingin membantu. Dengan ini, saya ingin memberikan sumbangan daripada dana yang saya usahakan sebanyak RM20,000 kepada alumni UUM,” katanya.
Beliau berkata, sokongan yang dizahirkan alumni perlu diteruskan melalui kerjasama dan jalinan yang lebih kukuh bagi mewujudkan ekosistem alumni yang mampu menyumbang secara berterusan kepada kemajuan universiti dan masyarakat.
Dalam pada itu, beliau menyeru alumni UUM supaya tidak hanya mengejar kejayaan dalam kerjaya, sebaliknya tampil sebagai pembina masyarakat (community builder) dengan memainkan peranan dalam lingkungan pengaruh masing-masing.
Menurut beliau, peranan sebagai pembina masyarakat boleh dilaksanakan tanpa mengira bidang dan tempat alumni berada, sama ada dalam sektor kerajaan, swasta, pertubuhan bukan kerajaan (NGO), dunia akademik mahupun komuniti setempat.
“Senang untuk kita ingat pembina masyarakat sebagai PM, iaitu Pembina Masyarakat. Jadilah PM-PM kecil dalam ruang lingkup circle of influence kita masing-masing,” katanya.
Beliau turut mengajak alumni memperkukuh budaya keusahawanan dengan bersama-sama membina bangsa usahawan (Entrepreneurial Nation) bagi melahirkan lebih ramai usahawan yang mampu mencipta kekayaan serta menyumbang kepada pembangunan ekonomi masyarakat.
“Dengan syarat kita berusaha bersungguh-sungguh untuk membina apa yang kita panggil sebagai Entrepreneurial Nation, iaitu bangsa usahawan,” katanya.
Selain itu, beliau menekankan kepentingan jalinan sinergi (synergistic networking) dalam kalangan alumni bagi menggabungkan kekuatan, pengalaman dan kepakaran untuk menghasilkan impak yang lebih besar.
Mengambil konsep sinergi yang diketengahkan Prof. Stephen Covey menerusi buku The 7 Habits of Highly Effective People, beliau menjelaskan bahawa gabungan kekuatan dua pihak atau lebih mampu menghasilkan sesuatu yang lebih besar berbanding usaha secara bersendirian.
“Sinergi bermaksud satu campur satu bukan dua, tetapi tiga atau lebih. Apabila dua usahawan bergabung, kita bukan sekadar mempunyai dua kekuatan, tetapi boleh menghasilkan kekuatan ketiga dan lebih banyak kekuatan untuk membantu UUM,” jelasnya.
Majlis Makan Malam Amal Alumni turut diserikan dengan ucapan Dr. Ahmad Maslan yang sememangnya sinonim dengan pantun apabila beliau membuka ucapannya dengan beberapa rangkap pantun, sekali gus menceriakan suasana majlis.

