Monday, 07 September 2026 15:48

ALUMNI UUM TERUS SUMBANG BAKTI, BANTU PELAJAR YANG MEMERLUKAN

Written by

UUM ONLINE: SINTOK, 5 September 2026: Alumni Universiti Utara Malaysia (UUM) terus menunjukkan keprihatinan terhadap kebajikan pelajar menerusi pelbagai bentuk sumbangan bagi membantu mahasiswa yang memerlukan, khususnya dalam menghadapi cabaran kewangan sepanjang pengajian.

Naib Canselor UUM, Prof. Dr. Ahmad Martadha Mohamed, berkata sumbangan alumni amat bermakna dalam membantu pelajar meneruskan pengajian serta meningkatkan kecemerlangan pendidikan mereka di UUM.

Beliau berkata, Majlis Makan Malam Amal Alumni UUM yang diadakan sempena Mai Balik UUM 2.0 turut membawa misi penting dalam mengumpulkan dana bagi Tabung Kebajikan Pelajar UUM agar lebih ramai pelajar yang memerlukan dapat dibantu pada masa hadapan.

“Sesungguhnya, sumbangan daripada para alumni sangat bermakna dalam membantu anak-anak UUM, terutama meningkatkan lagi kecemerlangan pendidikan mereka ketika mereka belajar di UUM,” katanya ketika berucap pada majlis tersebut di Dewan Mu’adzam Shah, UUM, malam tadi.

Menurut beliau, tidak semua mahasiswa melalui perjalanan pengajian yang mudah kerana ada yang berdepan cabaran kewangan, masalah kesihatan dan pelbagai keadaan lain yang boleh menjejaskan kehidupan serta pengajian mereka.

“Justeru, melalui sumbangan para alumni pada malam ini, kita berharap dapat meringankan sedikit beban mereka agar mereka dapat meneruskan pengajian dengan lebih baik dan menamatkan pengajian dengan jayanya,” katanya.

Dalam pada itu, UUM turut meraikan pelancaran buku bertajuk “Strategi Komunikasi Kerajaan dalam Pelaksanaan Sistem Percukaian GST di Malaysia”, hasil penulisan Datuk Seri Dr. Ahmad Maslan bersama Prof. Madya Dr. Nik Adzrieman Abdul Rahman dan Dr. Suhaini Muda.

Buku berkenaan mengangkat isu komunikasi kerajaan dalam pelaksanaan dasar awam, dengan menekankan kepentingan komunikasi yang berkesan dalam memastikan sesuatu dasar dapat difahami dan diterima oleh masyarakat.

Mesej utama yang diketengahkan menerusi karya tersebut ialah “Sesuatu dasar yang baik perlu disokong oleh komunikasi yang baik.”

Pada majlis sama, turut berlangsung pelancaran Aplikasi Mobile Alumni Management Information System (AMIS) yang disempurnakan oleh Naib Canselor UUM, Prof. Dr. Ahmad Martadha Mohamed.

Pelancaran aplikasi tersebut merupakan satu langkah penting Pusat Alumni UUM dalam memperkukuh pengurusan data dan hubungan dengan komuniti alumni yang semakin berkembang, selain memastikan alumni sentiasa dekat dengan UUM.

Turut hadir, Dato’ Muhamad Khizri Abu Kassim yang mewakili Pengerusi Lembaga Pengarah Universiti; Ahli-ahli Lembaga Pengarah Universiti; Ahli-ahli Jawatankuasa Pengurusan Universiti; Pengarah Pusat Alumni UUM, Prof. Madya Dr. Lily Julienti Abu Bakar; pegawai-pegawai kanan universiti serta para alumni UUM.