Monday, 07 September 2026 14:06

MAI BALIK UUM 2.0 SATUKAN ALUMNI, SEMARAK NOSTALGIA DI ALMA MATER

Written by

SINTOK, 5 September 2026: Program Mai Balik UUM 2.0: The Legacy of Giving memasuki hari kedua dengan menghimpunkan kira-kira 100 alumni Universiti Utara Malaysia (UUM) menerusi pelbagai aktiviti yang menggabungkan elemen kesukanan, silaturahim dan nostalgia di alma mater.

Program dimulakan dengan aktiviti senamrobik yang disertai para alumni dalam suasana ceria dan santai, sekali gus menjadi pembuka tirai kepada pengisian program hari kedua.Program kemudiannya diteruskan dengan Sukan Persahabatan Alumni yang merangkumi Pertandingan Bola Sepak Alumni dan Alumni Fun Run 2026 sejauh tiga kilometer bertempat di Stadium UUM.

 Penyertaan kira-kira 100 alumni dalam aktiviti berkenaan bukan sahaja menyemarakkan semangat kesukanan, malah menjadi wadah untuk alumni daripada pelbagai generasi kembali ke kampus dan mengeratkan hubungan sesama mereka serta dengan alma mater.Seterusnya, para alumni menyertai Discover UUM, yang memberi peluang kepada mereka meninjau semula persekitaran kampus serta melihat perkembangan dan kemudahan terkini yang terdapat di UUM.

Sementara itu, program diteruskan dengan aktiviti Jenguk Bilik Lama yang memberi peluang kepada para alumni mengimbau kembali kenangan ketika zaman pengajian, khususnya pengalaman menetap di kolej kediaman UUM. Bagaikan sirih pulang ke gagang, kepulangan para alumni ke bilik dan kolej kediaman yang pernah menjadi sebahagian daripada kehidupan mereka menghidupkan kembali nostalgia serta kenangan manis sepanjang bergelar mahasiswa UUM.Ketika melawat kembali bilik yang pernah menjadi tempat berteduh suatu ketika dahulu, para alumni dapat melihat sendiri perubahan ruang yang pernah mereka diami, daripada bilik yang menyimpan seribu satu cerita kepada wajahnya yang kini mungkin sudah berbeza.Walaupun bilik dan suasananya telah berubah, kenangan yang pernah tercipta di situ tetap dekat di hati.Ada yang kembali sekadar menjenguk, namun membawa pulang semula memori tentang kawan-kawan, gelak tawa dan kehidupan sebagai mahasiswa suatu ketika dahulu.

 Antara INASIS yang terlibat dalam aktiviti berkenaan ialah YAB/Aseania 1, Tradewinds/Pernas, Sime Darby/Guthrie, MAS, Bank Islam/EON/Grantt, TM, TNB, BSN/Perwaja, Bank Rakyat/Kachi 1, SME Bank/Kachi 2 serta Perodua/Petronas.Program Mai Balik UUM 2.0 anjuran Pusat Alumni UUM bersama Alumni UUM menjadi platform untuk menghimpunkan kembali alumni ke alma mater, selain memperkukuh jaringan dan hubungan berterusan antara alumni dengan universiti.