Wednesday, 04 June 2025 10:40

Alumni UUM Perkukuh Jalinan Strategik di Program Sinergi Johor

Written by

PASIR GUDANG, 4 JUN 2025Pusat Alumni Universiti Utara Malaysia (UUM) dengan kerjasama Jabatan Pemasaran Akademik UUM telah menganjurkan program Sinergi Johor: Makan Malam dan Promosi Akademik UUM Bersama Agensi dan Alumni, bertempat di Aras 3, Menara Aqabah, Majlis Bandaraya Pasir Gudang (MBPG), Johor. Program ini telah diserikan dengan kehadiran Yang Berbahagia Prof. Dato' Dr. Mohd Fo’ad Sakdan, Naib Canselor UUM; Yang Berhormat Dato’ Haji Mustaffa Kamal Dato’ Haji Shamsudin, Datuk Bandar Majlis Bandaraya Pasir Gudang merangkap alumni UUM; Yang Berusaha Prof. Dr. Ahmad Martadha Mohamed, Timbalan Naib Canselor (Hal Ehwal Pelajar & Alumni) UUM; Prof. Madya Dr. Lily Julienti Abu Bakar, Pengarah Pusat Alumni UUM; serta Prof. Madya Dr. Ahmad Hisham Zainal Abidin, Pengarah Bahagian Pemasaran UUM yang turut menyampaikan taklimat promosi akademik.

 

Kehadiran Encik Ahmad Sujaie Nanyan dari FIMA Bulking Services Berhad turut menyerikan program bagi mewakili penaja utama dari industri. Seramai 150 tetamu termasuk alumni serta pegawai-pegawai dari MBPG telah menghadiri program ini. Program ini bukan sekadar makan malam, tetapi turut menampilkan sesi promosi program akademik pascasiswazah UUM yang telah membuka peluang kepada agensi dan alumni untuk meneroka kolaborasi pendidikan lebih meluas bersama universiti.

 

Dalam program tersebut, YB Dato’ Bandar Pasir Gudang menyatakan minat yang tinggi terhadap program Master UUM dan menyuarakan hasrat untuk menghantar sekurang-kurangnya 40 pegawai MBPG bagi melanjutkan pengajian mereka. Beliau juga menyatakan kesediaan untuk menyediakan fasiliti pembelajaran di MBPG bagi menyokong pelaksanaan program tersebut. UUM menyambut baik cadangan ini sebagai satu langkah permulaan ke arah kerjasama strategik jangka panjang di Negeri Johor. Pihak universiti merakamkan setinggi-tinggi penghargaan kepada semua pihak yang telah menyumbang kepada kejayaan program ini, khususnya Encik Ahmad Sujaie Nanyan, FIMA Bulking Services Berhad, dan YB Dato’ Bandar Pasir Gudang, atas sokongan padu, tajaan serta komitmen yang amat dihargai. Semangat kerjasama ini menjadi cerminan kekuatan jaringan alumni yang sentiasa menyokong aspirasi universiti.

 

Program ini diharap menjadi landasan baharu dalam memperluas jaringan strategik antara UUM, alumni dan agensi di peringkat negeri, sekali gus memperkukuh peranan alumni sebagai penyumbang aktif kepada pembangunan institusi dan agenda pendidikan negara.



UUM Today: https://uumtoday.com/general-news/alumni-uum-perkukuh-jalinan-strategik-di-program-sinergi-johor/