Wednesday, 14 May 2025 10:35

Alumni MSc Kaunseling 2022 Sumbang RM30,000.00 untuk Kebajikan Pelajar B40 UUM

Written by

SINTOK, 14 MEI 2025 – Yang Berbahagia Naib Canselor Universiti Utara Malaysia (UUM), Dato’ Prof. Dr. Mohd Fo’ad Sakdan telah menerima kunjungan hormat daripada Dato’ Haji Mustaffa Kamal, Datuk Bandar Majlis Bandaraya Pasir Gudang, Johor yang juga merupakan alumni program Sarjana Sains Kaunseling (2022), dalam satu majlis yang berlangsung di Bangunan Canselori UUM, Sintok, Kedah.

 

Dalam kunjungan itu, Dato’ Haji Mustaffa Kamal, yang ditemani isteri dan pegawai khas beliau, telah berbesar hati menyampaikan sumbangan berjumlah RM30,000.00 mewakili Alumni MSc Kaunseling 2022 sebagai inisiatif membantu pelajar-pelajar UUM daripada keluarga kategori B40. Sumbangan ini mencerminkan semangat kebersamaan dan keprihatinan tinggi dalam kalangan alumni UUM terhadap kebajikan mahasiswa.

 

Majlis penyerahan tersebut turut disaksikan oleh Naib Canselor UUM, Dato’ Prof. Dr. Mohd Fo’ad Sakdan; Timbalan Naib Canselor (Hal Ehwal Pelajar dan Alumni), Prof. Dr. Ahmad Martadha Mohamed; serta Pengarah Pusat Alumni UUM, Prof. Madya Dr. Lily Julienti Abu Bakar. Turut hadir ialah Dr. Azrin, Encik Iskandar Suhaimi dan Encik Halim Yatim, mewakili barisan pentadbiran dan pengurusan universiti.

 

Menurut Naib Canselor, sumbangan ini amat bermakna kerana ia bukan sahaja memberi manfaat terus kepada pelajar yang memerlukan, malah menjadi contoh teladan bagaimana alumni boleh menyumbang semula dalam pelbagai bentuk untuk kesejahteraan komuniti kampus. Kunjungan ini turut membuka ruang perbincangan awal ke arah penawaran program strategik dan pengukuhan jaringan alumni khususnya di Negeri Johor.

 

Sumbangan bermakna daripada Alumni MSc Kaunseling 2022 ini diharap dapat menggalakkan lebih ramai alumni untuk tampil menyumbang, sekali gus memperkukuh peranan alumni sebagai rakan strategik universiti dalam merealisasikan aspirasi UUM sebagai universiti pengurusan terulung.

 

UUM Today: https://uumtoday.com/campus-news/alumni-sarjana-kaunseling-sumbang-rm30000-untuk-pelajar-b40/