Thursday, 08 May 2025 08:30

Wakaf An-Nur Sumbang RM5,000.00 Kepada Pelajar Asnaf UUM

Written by

KUALA LUMPUR, 26 April 2025 – Koperasi Alumni Batch ke-3 (KOTIGA) telah menganjurkan Majlis Reunion Alumni 3rd Batch UUM dan Jamuan Hari Raya Aidilfitri yang berlangsung meriah di Menara Suruhanjaya Koperasi Malaysia, Kuala Lumpur. Seramai 80 orang alumni hadir memeriahkan majlis yang turut menyaksikan pelancaran rasmi Koperasi Alumni Batch ke-3 atau dikenali sebagai KOTIGA yang merupakan satu inisiatif memperkukuh jaringan alumni dan dapat menyumbang semula kepada masyarakat. Majlis bertambah istimewa dengan kehadiran tetamu kehormat daripada kalangan alumni Batch ke-3, iaitu Dato' Abu Hasan bin Hussain, Pengarah Penjara Pahang; Tuan Haji Azam bin Sulaiman, Naib Ketua Pegawai Eksekutif Dasar Suruhanjaya Koperasi Malaysia; dan Tuan Haji Zamri Norani, Pengurus Besar Divisyen Pembangunan Ummah Waqaf An-Nur. Dato' Abu Seman Awang turut hadir memeriahkan suasana penuh nostalgia ini.

 

Pengarah Pusat Alumni UUM, Profesor Madya Dr. Lily Julienti Abu Bakar, turut hadir dan menyampaikan ucapan yang menekankan peranan alumni dalam membina jaringan dinamik demi kemajuan universiti dan komuniti. Dalam ucapan mewakili alumni, Dato' Abu Hasan bin Hussain mengajak rakan alumni Batch 3 untuk terus menyumbang tenaga, kepakaran dan sokongan demi kesinambungan kecemerlangan universiti.

 

Sebagai tanda keprihatinan, Tuan Haji Zamri Norani mewakili Waqaf An-Nur telah menyerahkan sumbangan sebanyak RM5,000.00 serta baucar KFC melalui KOTIGA untuk membantu meringankan beban 20 orang pelajar asnaf UUM. Sumbangan ini mencerminkan semangat kebersamaan dan keprihatinan alumni terhadap kesejahteraan pelajar UUM.

 

Majlis turut menyaksikan pelancaran dua inisiatif penting iaitu Kempen Sumbangan 1 Alumni 1 Ringgit bagi membantu dana kebajikan pelajar asnaf, serta Kempen Kemaskini Alumni Management Information System (AMIS) untuk mengemas kini maklumat alumni. Pusat Alumni UUM berharap usaha ini menjadi pemangkin kepada jalinan kerjasama yang lebih erat antara alumni dan universiti pada masa akan datang.

 

UUM Today: https://uumtoday.com/education/wakaf-an-nur-sumbang-rm5000-untuk-pelajar-asnaf-uum/