Monday, 21 April 2025 16:30

Pusat Alumni UUM Realisasikan Hasrat Alumni Bertemu Bekas Pensyarah dan Rakan Kampus

Written by

UUM, 21 April 2025 – Pusat Alumni Universiti Utara Malaysia (UUM) telah menganjurkan Mini Reunion Alumni Batch 1994 yang berlangsung dalam suasana penuh mesra di Manager’s Coffee, UUM. Program ini bertujuan mengeratkan kembali hubungan silaturahim dalam kalangan alumni serta membina semula jaringan kerjasama dengan pihak universiti.

 

Reunion yang disertai seramai 10 orang alumni ini merupakan cetusan idea Tuan Haji Zahran bin Tasliman, Ketua Tadbir Urus dan Pematuhan di Perbadanan PR1MA Malaysia, yang juga merupakan alumni Program Sarjana Muda Perakaunan dengan Kepujian, Tahun 1994. Reunion ini turut menjadi ruang penuh nostalgia buat para alumni untuk berkongsi pengalaman dan perkembangan kerjaya masing-masing setelah hampir tiga dekad meninggalkan alam kampus. Kehadiran dua orang pensyarah yang pernah mendidik alumni-alumni ini turut menyerikan majlis, sekali gus mencetuskan kenangan indah sewaktu zaman pengajian mereka di kampus.

 

Pengarah Pusat Alumni UUM, Prof. Madya Dr. Lily Julienti Abu Bakar, juga turut sama menjayakan majlis dan menyambut kehadiran para alumni dengan penuh mesra. Dalam ucapan ringkasnya, Prof. Madya Dr. Lily menekankan kepentingan peranan alumni dalam membina ekosistem universiti yang inklusif dan berdaya saing.

"Keterlibatan aktif alumni dalam pelbagai bentuk sokongan—sama ada idea, kepakaran atau jaringan industri—amat bermakna buat pembangunan universiti dan pelajar masa kini," ujarnya.

 

Selain sesi ramah mesra, program ini turut menjadi medan perbincangan awal terhadap inisiatif alumni dalam menyumbang semula kepada universiti, termasuk dalam bentuk penajaan program, bimbingan kerjaya, dan kolaborasi akademik-industri.

 

Pusat Alumni UUM berharap agar hubungan erat yang terjalin dalam mini reunion ini dapat diteruskan dan diperluas ke peringkat yang lebih strategik demi manfaat bersama antara alumni dan universiti.


UUM Today: https://uumtoday.com/campus-news/pusat-alumni-uum-realisasikan-hasrat-alumni-bertemu-bekas-pensyarah-dan-rakan-kampus/