Thursday, 17 April 2025 14:30

Alumni UUM Kongsi Rezeki, Erat Silaturahim

Written by

UUM, 17 April 2025 – Pusat Alumni Universiti Utara Malaysia (UUM) telah menganjurkan Majlis Penyerahan Sumbangan Alumni: Ikhlas Disalur, Syawal Disambut bertempat di Studio SOG, UUM. Program ini adalah bagi menyantuni pelajar-pelajar UUM sempena bulan Syawal yang mulia ini.

 

Seramai 30 orang pelajar asnaf UUM telah menerima sumbangan hasil sumbangan ikhlas daripada para alumni UUM. Program ini mencerminkan semangat kebersamaan serta tanggungjawab sosial alumni dalam membantu dan memberi semangat kepada pelajar yang memerlukan.

 

Majlis turut diserikan dengan kehadiran tetamu kehormat Naib Canselor UUM, Prof. Dato' Dr. Mohd Foad Sakdan serta Timbalan Naib Canselor Hal Ehwal Pelajar dan Alumni, Prof. Dr. Ahmad Martadha Mohamed yang turut menyaksikan penyerahan sumbangan yang disampaikan oleh Puan Siti Syariza Mohamad Radzi, mewakili seramai 17 orang penyumbang alumni. Jumlah sumbangan yang terkumpul adalah sebanyak RM13,000 sepanjang bulan Ramadan 2025.

 

Menurut Prof. Madya Dr. Lily Julienti, program ini merupakan antara usaha Pusat Alumni untuk memperkukuh hubungan antara alumni dan pelajar, selain sebagai platform alumni menyumbang semula kepada institusi pengajian mereka dahulu dengan cara yang bermakna dan berimpak.

 

"Semangat alumni tidak hanya diukur melalui kejayaan mereka di luar sana, tetapi juga melalui keprihatinan terhadap kesejahteraan komuniti kampus yang pernah menjadi tempat jatuh bangun mereka dahulu," ujarnya.

 

Program ini diharap dapat meringankan beban pelajar asnaf serta memberi kegembiraan sempena sambutan Syawal, selari dengan nilai murni kebersamaan, keikhlasan dan kasih sayang.

 

Turut hadir dalam majlis ialah Pengarah Hal Ehwal Pelajar, Ketua-Ketua Pusat Tanggungjawab Hal Ehwal Pelajar, dan Timbalan-Timbalan Dekan Hal Ehwal Pelajar dan Alumni dari Pusat-Pusat Pengajian UUM.



UUM Today: https://uumtoday.com/general-news/alumni-uum-berkongsi-rezeki-erat-silaturahim/