KANGAR, 23 Mac 2025 – Pusat Alumni Universiti Utara Malaysia (UUM) telah menganjurkan Majlis Ihya Ramadan yang penuh bermakna di Hotel Putera Brasmana, Kangar, Perlis. Program ini bertujuan untuk mengeratkan hubungan silaturahim dalam kalangan staf UUM, alumni, anak-anak yatim. Majlis turut dimeriahkan dengan sesi Tazkirah Ramadan dan penyampaian sumbangan kepada anak-anak yatim dari Pertubuhan Kebajikan Anak Yatim Perlis.
Sesi Tazkirah Ramadan telah disampaikan oleh penceramah jemputan, Tuan Haji Mohd Isa bin Haji Abdul Rahman, yang merupakan alumni UUM dalam bidang Sarjana Sastera (Pengajian Islam) tahun 2012. Dalam tazkirah bertajuk Ramadan: Bulan Al-Quran, beliau menekankan kepentingan mendalami dan mengamalkan ajaran al-Quran sepanjang bulan Ramadan, selain menggalakkan para hadirin untuk memperbanyakkan ibadah dan memperkukuhkan hubungan dengan Allah SWT.
Sebagai sebahagian daripada usaha kebajikan, Pusat Alumni UUM turut menzahirkan penghargaan kepada anak-anak yatim dari Pertubuhan Kebajikan Anak Yatim Perlis yang dijemput hadir dalam majlis ini. Tuan Haji Zambri bin Mat, Pengarah Bintong Motorsport yang juga merupakan alumni UUM telah berbesar hati untuk memberikan sumbangan zakat disamping sumbangan daripada Pusat Alumni, dan individu-individu telah disampaikan kepada 30 orang anak yatim, mencerminkan komitmen terhadap kesejahteraan golongan yang memerlukan serta memperkukuhkan nilai kasih sayang dan keprihatinan dalam masyarakat.
Pusat Alumni juga menjemput alumni dalaman UUM yang turut menyumbang dalam kempen 1 Alumni 1 Ringgit bagi bersama-sama dalam majlis ini serta berbuka puasa bersama-sama anak-anak yatim.
Turut hadir Prof. Madya Dr. Herman Shah bin Anuar, Pengarah Pusat Pendidikan Profesional dan Lanjutan (PACE); Profesor Madya Dr. Lily Julienti binti Abu Bakar, Pengarah Pusat Alumni UUM, serta para alumni dan anak-anak yatim. Kehadiran mereka mencerminkan sokongan terhadap inisiatif alumni dalam memperkukuh ukhuwah dan kebajikan komuniti.
UUM Today: https://uumtoday.com/general-news/majlis-ihya-ramadan-pusat-alumni-bersatu-dalam-kebajikan/