UUM, 14 Januari 2025: Pusat Alumni Universiti Utara Malaysia (UUM) dengan kerjasama Pusat Pengajian Pengurusan Teknologi dan Logistik (STML), Jabatan Pengangkutan Jalan Negeri Kedah (JPJ), serta Logistic & Transportation (Logtrans) telah mengadakan program bertajuk “Laluan Kerjaya Perkhidmatan Awam: Bersediakah Anda?” di Dewan Kuliah DPC 2, STML, yang berjaya menarik seramai 50 orang pelajar.
Pengarah Pusat Alumni UUM, Prof. Madya Dr. Lily Julienti Abu Bakar dalam ucapan beliau menyambut baik kehadiran pelajar dan penceramah jemputan. Program diteruskan dengan perkongsian oleh Encik Mohd Fitri bin Abdul, Pegawai Tadbir dan Diplomatik serta Ketua Bahagian Khidmat Pengurusan di JPJ Negeri Kedah. Encik Mohd Fitri, yang juga merupakan alumni Sarjana Pengurusan Awam UUM tahun 2020, telah berkongsi pengalaman peribadi beliau sepanjang perjalanan kerjaya sebagai penjawat awam, bermula dari seorang graduan hingga memegang jawatan penting dalam sektor kerajaan.
Selain bercerita tentang perjalanan kerjayanya, Encik Mohd Fitri turut memberi pelbagai tips berharga untuk berjaya dalam sektor perkhidmatan awam. Antara tips yang dikongsi termasuklah pentingnya persediaan awal dengan mempelajari keperluan jawatan, menguasai pengetahuan tentang dasar kerajaan dan isu semasa, serta pentingnya penampilan profesional semasa temu duga. Beliau juga menekankan sikap positif yang diperlukan untuk mengatasi cabaran dalam tugas sebagai penjawat awam.
Sebagai penutup, Encik Mohd Fitri mengundang dua pelajar untuk menyertai simulasi temu duga di hadapan para peserta. Demonstrasi ini memberi panduan praktikal tentang cara menjawab soalan dengan betul, teknik komunikasi yang berkesan, serta cara meningkatkan keyakinan diri semasa temu duga. Aktiviti ini mendapat sambutan hangat daripada pelajar dan memberi mereka gambaran yang lebih jelas tentang persediaan menghadapi temu duga.
Program ini mendapat maklum balas positif daripada para pelajar, dan pihak penganjur merancang untuk mengadakan lebih banyak sesi ceramah kerjaya seperti ini pada masa akan datang.
UUM Today: https://uumtoday.com/campus-news/alumni-uum-beri-panduan-kerjaya-sektor-awam-kepada-pelajar/