Monday, 23 December 2024 14:41

Semangat Kasih Sayang Alumni UUM: Lawatan Alumni Care dan Sumbangan Untuk Marvin

Written by

KUCHING, 23 Disember 2024: Pusat Alumni UUM dan Persatuan Alumni UUM Sarawak (AURAS) baru-baru ini mengadakan satu lawatan Alumni Care ke atas salah seorang alumni mereka, Mr. Marvin, yang kini tinggal di Tabuan Healthcare and Nursing di Kuching, Sarawak.  Marvin @ Impi Ak Peter Mandy merupakan alumni UUM tahun 1995 dalam program Sarjana Muda Pentadbiran Perniagaan dengan Kepujian.  Marvin, kini menghadapi beberapa masalah kesihatan, termasuk jangkitan kuman, masalah pendengaran, dan kesukaran dalam pertuturan.  Beliau kini berkomunikasi menggunakan papan tulis untuk menyampaikan pesanan dan ucapan kepada mereka. Keupayaan Marvin untuk terus berinteraksi meskipun dalam keadaan yang sukar itu telah memberi inspirasi kepada semua yang mengenalinya.

Mr. Chi Poh Yung, Presiden AURAS memberitahu bahawa setiap hari, Marvin tidak pernah gagal untuk mengucapkan "selamat pagi" di dalam whatsapp AURAS, menjadikan ucapan tersebut satu rutin yang amat dinanti-nantikan.  Namun, apabila pada suatu hari Marvin tidak mengucapkan ucapan tersebut, ia mencetuskan rasa bimbang dan risau di kalangan ahli AURAS.  Mereka akan tertanya-tanya tentang keadaan Marvin dan berharap agar beliau segera kembali dengan ucapan mesra yang sudah menjadi sebahagian daripada kehidupan harian mereka.  AURAS juga menyalurkan sumbangan dari persatuan untuk Marvin.

Sebagai tanda sokongan dan keprihatinan terhadap Marvin, sumbangan "1 Alumni, 1 Ringgit" dari UUM akan disalurkan untuk membantu Marvin menampung kos rawatan dan keperluan penjagaan di rumah orang tua.  Pusat Alumni UUM menggesa semua alumni untuk turut serta dalam kempen 1Alumni1Ringgit ini sebagai tanda sokongan kepada Marvin. "Marvin adalah contoh ketabahan yang luar biasa. Walaupun berdepan dengan pelbagai cabaran, semangat beliau untuk memberi keceriaan kepada orang lain tidak pernah luntur. Sebagai alumni UUM, kita harus menunjukkan kasih sayang dan solidariti kepada rakan kita yang sedang dalam kesulitan," kata Pengarah Pusat Alumni UUM, Profesor Madya Dr Lily Julienti.

Lawatan Alumni Care ini bukan sahaja memberi semangat kepada Marvin, tetapi juga mengingatkan kita semua tentang pentingnya kasih sayang dan kepedulian terhadap golongan warga emas dan individu yang sedang melalui cabaran kesihatan. Ini juga menjadi bukti bahawa ikatan alumni UUM tidak terhenti walaupun setelah tamat pengajian, dan ia terus memberi sokongan serta bantuan kepada setiap individu dalam komuniti UUM.

 

UUM Today: https://uumtoday.com/general-news/27447/