Sunday, 15 December 2024 11:39

Sumbangan 1 Alumni 1 Ringgit Ringankan Beban Alumni UUM Sakit Kanser

Written by

15 Disember 2024: Pusat Alumni Universiti Utara Malaysia (UUM) telah mengadakan satu acara Ziarah Kasih bagi menziarahi alumni yang sedang menghadapi ujian kesihatan akibat penyakit kanser.  Kunjungan ini yang diwakili oleh Puan Amelia Hakimi Timbalan Pengarah Pusat Alumni dan Puan Nurul Hayati A. Kadir bagi memberi sokongan moral dan kewangan kepada seorang alumninya yang sedang berjuang melawan penyakit kanser. Ziarah ini diadakan sebagai tanda sokongan dan rasa peduli terhadap seorang alumni, Puan Intan Dalina, Alumni Sarjana Muda Multimedia (2004), yang kini sedang menjalani rawatan kanser di hospital.

Menurut pengarah Pusat Alumni Profesor Madya Dr Lily Julienti Abu Bakar, "Kami ingin menunjukkan bahawa Pusat Alumni bukan sekadar satu platform untuk berhubung selepas tamat pengajian, tetapi juga sebuah komuniti yang saling menyokong dan menjaga kebajikan alumni yang sedang menghadapi kesulitan. Ziarah ini adalah cara kami untuk memberi semangat dan membantu meringankan beban Puan Intan."

Puan Intan, yang sedang menjalani rawatan kanser tahap empat, meluahkan rasa terima kasih atas sokongan yang diterimanya. “Saya amat terharu dengan keprihatinan Pusat Alumni UUM. Sumbangan yang diterima sangat membantu dalam meringankan beban saya. Kehadiran mereka juga memberikan saya semangat baru untuk terus berjuang,” ujar Puan Intan.

Sumbangan '1 Alumni 1 Ringgit' telah diperkenalkan oleh Pusat Alumni UUM dengan tujuan untuk menggalakkan alumni menyumbang kepada universiti serta komuniti mereka, terutamanya dalam situasi-situasi kecemasan atau keperluan mendesak. Dr Lily berharap agar lebih ramai alumni akan mengambil bahagian dalam kempen ini, bagi memastikan lebih banyak lagi inisiatif kebajikan seperti Ziarah Kasih dapat dilaksanakan pada masa hadapan.

Pusat Alumni UUM bertekad untuk terus menjadi platform yang menghubungkan alumni dengan pelbagai program kebajikan, sekali gus mengukuhkan semangat ukhuwah dan keprihatinan dalam kalangan komuniti UUM.

 

UUM Today: https://uumtoday.com/general-news/27239/