BANGI, 15 Disember 2024: Gala Dinner Sintokians Alumni Tahun 1994-1998 anjuran Pertubuhan Ketua Keluarga Mantap (KKMAN) telah diadakan di Hotel Tenera, Bangi, baru-baru ini berjalan dengan penuh kemeriahan. Acara yang disambut dengan penuh kegembiraan ini turut dihadiri oleh tetamu jemputan istimewa daripada Pusat Alumni UUM, yang memberikan sentuhan tambahan kepada majlis bersejarah itu.
Gala dinner ini bukan sahaja dihadiri oleh lebih 170 orang alumni dari pelbagai tempat, tetapi juga oleh wakil dari Pusat Alumni UUM yang turut hadir memberi sokongan kepada penganjuran majlis tersebut. Pusat Alumni amat berbangga melihat semangat kekeluargaan yang masih utuh di kalangan alumni UUM, lebih-lebih lagi selepas sekian lama berpisah. Inisiatif seperti ini sangat penting dalam mengeratkan hubungan antara alumni dan universiti. Pusat Alumni sentiasa menyokong sebarang usaha yang bertujuan untuk memperkukuh jaringan dan hubungan antara bekas pelajar.
KKMAN ini merupakan pertubuhan yang berdaftar dengan ROS pada 19 Mac 2021, tidak hanya terkenal dengan semangat kekeluargaan yang kuat, tetapi juga komited dalam menyumbang kepada masyarakat melalui pelbagai aktiviti kebajikan seperti Infaq Kilat, Infaq Yatim, Skim Kecemerlangan Biasiswa Pendidikan KKMAN dan aktiviti gotong royong. Aktiviti ini semakin mendapat perhatian selepas kejayaan penganjuran Gala Dinner yang penuh meriah baru-baru ini, yang bukan sahaja mengeratkan hubungan antara alumni, tetapi turut menonjolkan inisiatif sosial mereka.
Menurut Encik Izham Alumni Sarjana Muda Pentadbiran Perniagaan (1998), Pengerusi KKMAN, sebagai alumni, kami percaya bahawa tanggungjawab sosial adalah sebahagian daripada usaha kami untuk memberi kembali kepada masyarakat. Melalui aktiviti-aktiviti ini, kami bukan sahaja mempereratkan hubungan sesama alumni, tetapi juga memberi impak positif kepada mereka yang memerlukan."
Pihak penganjur berharap acara ini akan menjadi acara tahunan dan menjadi platform bagi mengeratkan lagi hubungan sesama alumni serta memberi impak positif kepada komuniti Universiti Utara Malaysia. Dengan suasana yang penuh dengan keceriaan dan kehangatan, Gala Dinner Sintokians Alumni Tahun 1994-1998 ini jelas meninggalkan kenangan yang tidak akan dilupakan oleh semua yang hadir.
UUM Today: https://uumtoday.com/general-news/27239/