Kuching-Pusat Alumni, Universiti Utara Malaysia telah menganjurkan satu program AlumniUUM@Komuniti di Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Green Road, Kuching, dengan kerjasama Alumni UUM Sarawak (AURAS) dalam usaha membantu pelajar-pelajar Tingkatan Enam melanjutkan pengajian mereka ke Universiti Utara Malaysia (UUM) selepas STPM. Alumni AURAS juga merupakan alumni SMK Green Road itu sendiri. Majlis perasmian program ini telah disempurnakan oleh Timbalan Naib Canselor (Hal Ehwal Pelajar dan Alumni), Profesor Dr. Ahmad Martadha Mohamed.
Program ini bertujuan untuk memberikan pendedahan dan bimbingan kepada pelajar mengenai peluang dan persediaan untuk melanjutkan pengajian ke peringkat universiti, khususnya ke UUM. Selain itu, ia juga bertujuan untuk memperkukuhkan hubungan antara alumni UUM dan pelajar serta memanfaatkan pengalaman alumni untuk membantu pelajar merancang masa depan mereka.
Program ini turut disertai oleh Prof. Madya Dr. Ahmad Hisham Zainal Abidin, Pengarah Bahagian Pemasan yang memberikan informasi tentang program yang ditawarkan oleh UUM, fasiliti di kampus, serta menyesuaikan diri dengan kehidupan kampus. Sesi perkongsian ini disambut baik oleh para pelajar yang hadir, dengan pelbagai soalan diajukan kepada beliau. Kebanyakan pelajar berminat untuk mendapatkan maklumat berkaitan Ijazah Sarjana Muda Undang-undang yang terdapat di UUM.
Program ini juga menyediakan sesi bimbingan akademik dan membantu pelajar untuk merancang laluan pendidikan mereka bagi yang berminat melanjutkan pengajian di UUM. Pusat Alumni juga berbangga kerana Pengetua SMK Green Road, Encik Faidzul Ahmad merupakan alumni UUM telah sudi berkongsi pengalaman beliau. "Pengalaman belajar di UUM bukan sahaja membuka peluang kerjaya yang luas tetapi juga telah membentuk landasan kejayaannya sebagai seorang pendidik dan pemimpin," ujar beliau.
Sebagai seorang yang memimpin sebuah sekolah menengah yang berprestasi, Encik Faidzul juga berbagi pengalamannya dalam menghadapi cabaran dan mencapai kejayaan. "Pendidikan adalah kunci bagi masa depan negara kita. Sebagai pendidik, kita bertanggung jawab untuk membentuk generasi masa depan yang cemerlang dan berdaya saing," tambahnya.
Keseluruhannya, program komuniti ini berjaya mencapai matlamatnya dalam memberikan motivasi dan panduan kepada pelajar SMK Green Road. Pihak AURAS juga telah mengadakan satu sesi motivasi bersama pelajar sekolah serta merancang untuk menjadikan program ini sebagai acara tahunan, dengan harapan lebih ramai pelajar dari Sarawak akan mendapat manfaat daripadanya dan berjaya melanjutkan pengajian mereka ke peringkat yang lebih tinggi.
Program ini bukan sahaja memperlihatkan komitmen alumni dalam menyumbang kembali kepada alma mater mereka, tetapi juga menunjukkan kepentingan kerjasama antara sekolah, alumni, dan pelajar dalam membentuk masa depan yang cerah untuk generasi akan datang.