Sunday, 03 September 2023 12:16

UUM RANCANG 3 TAHUN BANTU PENDUDUK PULAU SURI, KELANTAN

Written by

 

KOTA BHARU:  Universiti Utara Malaysia (UUM) merancang dan menetapkan perancangan tiga tahun untuk menggerakkan pembangunan pendidikan, ekonomi dan sosial di Pulau Suri, Kelantan.

Naib Canselor UUM, Prof. Dr. Mohd Foad Sakdan berkata, perancangan dan ketetapan itu dilaksanakan secara kolektif dengan gabungan beberapa pusat pengajian di UUM, Alumni UUM serta penduduk kampung.

Beliau berkata, tindakan tiga penjuru boleh menjadi model kerjasama pada masa akan datang demi kebaikan semua pihak terutama dalam bidang pendidikan, keusahawanan, teknologi maklumat serta pertanian kepada penduduk pulau itu.

“Sebagai contoh, projek fertigasi, kita akan membawa pasukan dari pusat pengajian mengikut kepakaran seperti ekonomi untuk membantu penduduk kampung, bidang teknologi maklumat membantu dari segi pemasaran digital dan keusahawanan serta bidang pendidikan boleh meneruskan kerjasama yang sedia ada,” katanya. Beliau berkata demikian ketika merasmikan Pulau Angkat Alumni Pendidikan UUM Chapter Pantai Timur 2023 di Pulau Suri, di sini, bersama 80 penduduk kampung dan alumni.

Turut hadir, Penolong Naib Canselor, UUM CAS, Prof. Dr. Osman Ghazali; Dekan Pusat Pengajian Pendidikan, Prof. Dr. Yahya Don; Pengarah Pusat Alumni, Prof. Madya Dr. Sobri Don serta Pengerusi Alumni UUM Chapter Pantai Timur, Ahmad Ridhuan Mohd serta pegawai-pegawai UUM dan alumni.

Dr. Mohd Foad berkata, perkara ini dapat direalisasikan secara bersama antara ketiga pihak terutama Alumni UUM yang begitu komited menjalankan projek Pulau Suri demi membantu penduduk pulau ini yang rata-rata masih berpendapatan rendah.

“Terima kasih alumni. Pihak pengurusan UUM amat terharu atas daya usaha kalian dan ini selaras dengan moto UUM iaitu Ilmu Budi Bakti kerana alumni UUM terus menabur bakti kepada masyarakat di sini.

“Ini sebahagian amal jariah kita dan sememangnya pengurusan UUM akan terus komited dalam aspek pendidikan dan keusahawanan serta bidang lain berkaitan,” katanya.

Sementara itu, Ahmad Ridhuan berkata, adalah menjadi harapan dan impian Alumni UUM Chapter Pantai Timur untuk menjadikan Pulau Suri sebagai pulau angkat alumni pendidikan dan merancang untuk menjadikan pulau ini sebagai tempat membawa impak positif terutama bidang pendidikan.

“Kami percaya bidang pendidikan boleh mengubah semua status sosial dan dengan pembangunan pendidikan dalam aspek pembelajaran, kelas tuisyen dan khidmat nasihat memilih kerjaya ini diharapkan akan membangkitkan semangat mereka untuk mengubah status sosial sedia ada,” katanya.

Wakil penduduk Pulau Suri, Wan Azman Mamat berkata, sebanyak 115 rumah dan 600 penduduk menghuni Pulau Suri yang sebahagian besarnya berkerja sebagai nelayan dan 50 keluarga sebagai pengusaha kuih kapit.

“Kedatangan Naib Canselor UUM dan pasukan untuk membantu komuniti nelayan, pertanian dan teknologi maklumat adalah nilai tambah yang sangat penting kepada masyarakat kampung,” ujarnya.

 

 

Media