Sunday, 18 December 2022 16:41

ALUMNI UUM TERIMA ANUGERAH SISWAZAH CEMERLANG KELAS PERTAMA NEGERI SEMBILAN

Written by

Oleh: Nordiana Shafiee dan Siti Nor Faizah Mohd Basir

Gambar oleh: Pusat Alumni

UUM ONLINE: Seremban - Kejayaan graduan Sarjana Muda Pentadbiran Perniagaan (Logistik dan Pengangkutan), Avaraajaeyankavein a/l Avadayan yang menamatkan pengajian dengan kelas pertama menjadikan anak kelahiran Negeri Sembilan itu terpilih menerima Anugerah Siswazah Cemerlang Kelas Pertama Negeri Sembilan di Klana Resort, baru-baru ini.

Dengan anugerah tersebut, Avaraajaeyankavein yang kini merupakan alumni UUM membawa pulang wang tunai berjumlah RM5,000 yang disampaikan Menteri Besar Negeri Sembilan, Dato’ Seri Aminuddin Harun pada Majlis Penyampaian Anugerah Siswazah Cemerlang Kelas Pertama Negeri Sembilan.

Avaraajaeyankavein antara 150 pelajar institusi pengajian tinggi (IPT) menerima hadiah penghargaan tersebut atas pencapaian cemerlang masing-masing.

Menurut Menteri Besar Negeri Sembilan, hadiah penghargaan itu diberikan kepada pelajar IPT dari kalangan anak negeri itu yang mendapat keputusan cemerlang kelas pertama melibatkan peruntukan keseluruhan sebanyak RM878,400.

Katanya, terdapat juga lapan penuntut mendapat hapus kira pinjaman pendidikan yang berjumlah RM128,400.

"Penghargaan ini amat signifikan khususnya dalam memberikan pengiktirafan kepada siswazah selain dorongan kepada pelajar yang sedang belajar di IPT untuk belajar bersungguh-sungguh.

"Kerajaan negeri akan terus komited untuk menghargai dan mengiktiraf budaya kerja cemerlang masyarakat khususnya mahasiswa universiti," katanya.

Aminuddin berharap pemberian hadiah berkenaan dapat menggalakkan penuntut IPT untuk terus berusaha gigih memberikan komitmen kepada pengajian dan budaya kecemerlangan yang berkualiti tinggi.

Katanya, beliau yakin anugerah itu bukan sekadar pendorong atau pengiktirafan, bahkan dalam skop yang lebih luas lagi iaitu menjadi nadi penggerak dan peneraju kepada perubahan positif, bagi membudayakan kecemerlangan dalam kehidupan.

Media