Oleh: Putri Lailatul Nadhirah
Gambar: Media Alumni
Alumni Mentoring: Pembangunan Kerjaya Masa Hadapan
UUM Online: Sintok- Webinar bertajuk Pembangunan Kerjaya Masa Hadapan anjuran Pusat Alumni Universiti Utara Malaysia (UUM) menjadi satu inisiatif bagi mereka yang mengikuti program untuk menambah ilmu sebelum melangkah ke alam pekerjaan.
Webinar ini yang disiarkan secara langsung di Facebook rasmi Alumni Universiti Utara Malaysia (UUM), pada hari Ahad, 22 Ogos 2021 telah mendapat sokongan bersama daripada Pusat Pembangunan UUM (CDC UUM) dan Pertubuhan Keselamatan Sosial (PERKESO).
Pengarah Pusat Pembangunan Kerjaya UUM, Ts. Dr. Mathivannan Jaganathan yang juga merupakan alumni UUM dalam Sarjana Muda Pengurusan Teknologi (2007), Sarjana Pentadbiran Perniagaan (2008), dan Doktor Falsafah (Pengurusan) pada tahun 2020 dijemput sebagai panel pertama bagi program lalu. Dr. Mathi dalam perkongsian menekankan tentang kepentingan “Digital Talent” dalam membantu pembangunan diri seseorang, khususnya dalam pembangunan kerjaya pada era digital kini.
Pegawai Perkhidmatan Pekerjaan (Pengkhususan Perkhidmatan Sokongan Industri), Nik Nur Dinie Nik Zamani dan Pegawai Perkhidmatan Pekerjaan (Pengkhususan Program Universiti dan Pemerkasaan Graduasi), Farah Wahidah Anuar turut hadir sebagai wakil dari pihak PERKESO.
Farah Wahidah dalam pembentangannya memberitahu bahawa Perkeso telah menyediakan portal “MyFutureJobs” yang berperanan sebagai Pusat Sehentian dan rujukan utama bagi memudahkan orang ramai mencari pekerjaan, khususnya para graduan dan alumni UUM.
Pusat Alumni UUM mewakili Universiti Utara Malaysia mengucapkan ribuan terima kasih kepada semua panel jemputan atas perkongsian yang diberikan.

