SINTOK, 2 JULAI 2025 - “Pelajar universiti perlu sentiasa memiliki ‘great mindset’ dalam mendepani cabaran hari ini. Berfikiran positif, rasional, kreatif dan kritis merupakan antara ciri pelajar yang diperlukan oleh negara untuk mencorakkan kepimpinan negara pada masa akan datang,” kata Pensyarah Kanan di Institut Aminuddin Baki (IAB), Encik Adi bin Hassim pada Program Borneo Alumni Inspirational Legacy Talk bersempena Majlis Simfoni Malam Biru, baru-baru ini.
Katanya, pelajar perlu memiliki ciri unggul yang menjamin untuk mereka kekal relevan dalam persaingan sengit bersama dunia digital yang semakin mengikat keterbatasan kemahiran manusia. Menurutnya, apabila teknologi kecerdasan buatan (AI) kini semakin diterima dunia disebabkan kemampuan luar biasa dalam mengganti tenaga manusia, keperluan graduan universiti mungkin akan dipandang sisih oleh pasaran pekerjaan.
“Walau bagaimana pun, secara hakikatnya, AI masih dikendali oleh manusia kerana ada nilai yang tidak boleh diuruskan sendiri dengan kecekapan AI. Bagi menandingi kehebatan dunia digital sekarang, pelajar perlu berupaya untuk meramal risiko dan apa ganjaran atau peluang yang berada di sekeliling tanpa perlu menunggu kejayaan untuk datang sendiri, sebaliknya usaha perlu dilakukan,” katanya.
Justeru Encik Adi berkata, pelajar hendaklah menetapkan matlamat di awal pengajian dan bijak merancang, serta menyusun gerak kerja seterusnya melaksanakan tindakan terhadap apa yang telah dirancang. Beliau yang kini menggalas tanggungjawab sebagai Master Trainer di Institut Aminuddin Baki menyampaikan wacana alumni di hadapan kira-kira 100 pelajar di EDC UUM yang turut dihadiri dalam program anjuran Kelab Patriot Chapter (KPC) Sabah itu ialah Encik Roslee bin Mardan selaku Penasihat KPC Sabah.
Encik Adi bin Hassim merupakan alumni UUM pada tahun 1998 hingga 2002 dalam bidang Pengurusan Pelancongan. Sebagai seorang aktivitis pelajar, beliau juga pernah memegang jawatan sebagai Exco Hubungan Antarabangsa, Majlis Perwakilan Pelajar.
UUM Today: https://uumtoday.com/campus-news/alumni-uum-suntik-minda-positif-pelajar/
PASIR GUDANG, 4 JUN 2025 – Pusat Alumni Universiti Utara Malaysia (UUM) dengan kerjasama Jabatan Pemasaran Akademik UUM telah menganjurkan program Sinergi Johor: Makan Malam dan Promosi Akademik UUM Bersama Agensi dan Alumni, bertempat di Aras 3, Menara Aqabah, Majlis Bandaraya Pasir Gudang (MBPG), Johor. Program ini telah diserikan dengan kehadiran Yang Berbahagia Prof. Dato' Dr. Mohd Fo’ad Sakdan, Naib Canselor UUM; Yang Berhormat Dato’ Haji Mustaffa Kamal Dato’ Haji Shamsudin, Datuk Bandar Majlis Bandaraya Pasir Gudang merangkap alumni UUM; Yang Berusaha Prof. Dr. Ahmad Martadha Mohamed, Timbalan Naib Canselor (Hal Ehwal Pelajar & Alumni) UUM; Prof. Madya Dr. Lily Julienti Abu Bakar, Pengarah Pusat Alumni UUM; serta Prof. Madya Dr. Ahmad Hisham Zainal Abidin, Pengarah Bahagian Pemasaran UUM yang turut menyampaikan taklimat promosi akademik.
Kehadiran Encik Ahmad Sujaie Nanyan dari FIMA Bulking Services Berhad turut menyerikan program bagi mewakili penaja utama dari industri. Seramai 150 tetamu termasuk alumni serta pegawai-pegawai dari MBPG telah menghadiri program ini. Program ini bukan sekadar makan malam, tetapi turut menampilkan sesi promosi program akademik pascasiswazah UUM yang telah membuka peluang kepada agensi dan alumni untuk meneroka kolaborasi pendidikan lebih meluas bersama universiti.
Dalam program tersebut, YB Dato’ Bandar Pasir Gudang menyatakan minat yang tinggi terhadap program Master UUM dan menyuarakan hasrat untuk menghantar sekurang-kurangnya 40 pegawai MBPG bagi melanjutkan pengajian mereka. Beliau juga menyatakan kesediaan untuk menyediakan fasiliti pembelajaran di MBPG bagi menyokong pelaksanaan program tersebut. UUM menyambut baik cadangan ini sebagai satu langkah permulaan ke arah kerjasama strategik jangka panjang di Negeri Johor. Pihak universiti merakamkan setinggi-tinggi penghargaan kepada semua pihak yang telah menyumbang kepada kejayaan program ini, khususnya Encik Ahmad Sujaie Nanyan, FIMA Bulking Services Berhad, dan YB Dato’ Bandar Pasir Gudang, atas sokongan padu, tajaan serta komitmen yang amat dihargai. Semangat kerjasama ini menjadi cerminan kekuatan jaringan alumni yang sentiasa menyokong aspirasi universiti.
Program ini diharap menjadi landasan baharu dalam memperluas jaringan strategik antara UUM, alumni dan agensi di peringkat negeri, sekali gus memperkukuh peranan alumni sebagai penyumbang aktif kepada pembangunan institusi dan agenda pendidikan negara.
UUM Today: https://uumtoday.com/general-news/alumni-uum-perkukuh-jalinan-strategik-di-program-sinergi-johor/