Monday, 28 February 2022 11:39

SENTUHAN ALUMNI PERLU DI BANGUNKAN – NAIB CANSELOR UUM

Oleh: Samsudin Oli Mohamed

Gambar oleh: Shamsaimi Ezil

 

UUM ONLINE: Sintok - Alumni adalah ‘Duta Universiti’, maka agenda utama setiap universiti adalah untuk memastikan hubungan yang berterusan secara strategik bersama-sama alumni.

Oleh itu, Naib Canselor Universiti Utara Malaysia (UUM), Prof. Dr. Haim Hilman Abdullah berkata,  amatlah wajar untuk semua Universiti Awam (UA) bersatu hati sebagai sebuah keluarga dan mempunyai roh yang sama dalam menguruskan alumni, serta mempunyai pengoperasian amalan terbaik sebagai tanda aras kepada semua universiti. 

 

“Alumni saya lihat sebagai sumber dana masa depan universiti di mana kebanyakan alumni mempunyai rasa sayang dan cinta pada universiti dan ingin berbakti dan menyumbang semula kepada universiti dalam pelbagai cara,” ujarnya ketika sesi bersama peserta Bengkel Penyediaan Dokumen Pelan Strategik Majlis Alumni Universiti Awam Malaysia 2022 yang diadakan di Bilik Mesyuarat Naib Canselor, semalam.

 

Dalam pertemuan itu beliau yakin semua universiti akan sentiasa memainkan peranan dan peka untuk menarik semula alumni agar mereka dapat memberikan sumbangan kepada universiti sama ada dalam bentuk tunai, ‘in- kind’ atau perkhidmatan. 

 

Namun dalam meraih sumbangan daripada mereka, janganlah pula melupakan program-program kebajikan terhadap alumni contohnya menubuhkan tabung kebajikan, sesi lawatan, cenderamata, diskaun pengajian, peluang perniagaan dan pelbagai inisiatif lain yang sesuai bagi mengekalkan kesetiaan mereka kepada universiti.

 

Dalam pertemuan itu beliau turut mengambil kesempatan untuk mengucapkan tahniah kepada Majlis Alumni Universiti Awam atas penerbitan Buku Garis Panduan Pengurusan Alumni UA pada tahun 2020 di peringkat Kementerian Pengajian Tinggi (KPT) dengan harapan buku ini dapat menjadi garis panduan semua UA bagi memastikan pengurusan semua Pusat Alumni UA berada di landasan yang betul dan selari.

 

Turut hadir di sesi pertemuan ini ialah Timbalan Naib Canselor Hal Ehwal Pelajar dan Alumni (TNC HEPA) UUM Prof Dr Ahmad Martadha Mohamed, Pengarah Pusat Alumni Universiti Malaysia Sabah (UMS) Merangkap Pengarah Bengkel Penyediaan Dokumen Pelan Strategik Majlis Alumni Universiti Awam Malaysia Tahun 2022 Dr Mohammad Puad Bebit, Pengarah Pusat Alumni UUM  Prof Madya Dr Lily Julienti Abu Bakar, Pengarah-pengarah dan pegawai dari semua Pusat Alumni UA.