Monday, 30 November 2020 09:45

UCAPAN KHAS NAIB CANSELOR KEPADA PARA ALUMNI UUM

Written by

Assalamualaikum dan selamat sejahtera kepada semua warga Alumni UUM yang disayangi.

Pengurusan Universiti mendoakan agar semua Alumni berada dalam keadaan sihat bersama keluarga tersayang khususnya ketika menjalani Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) yang kini sudah memasuki Fasa Ketiga. Dalam menghadapi situasi yang kritikal dan sukar ketika berhadapan dengan pandemik COVID-19 ketika ini, pihak Pengurusan Universiti sentiasa prihatin dan mengambil berat kebajikan pelajar, kakitangan dan Alumni UUM. 

Operasi Universiti Sepanjang Tempoh PKP

Tidak dinafikan, situasi semasa sangat memberi kesan kepada semua pihak. Justeru, pihak Pengurusan Universiti sentiasa mengambil langkah-langkah proaktif bagi memastikan kampus UUM sentiasa selamat dan bebas daripada wabak COVID-19. Malah hal-hal kebajikan para pelajar dan semua kakitangannya sentiasa diberi keutamaan.

Bagi para pelajar yang masih berada di kampus, Jabatan Hal Ehwal Pelajar (JHEPA) yang diketuai oleh Prof. Madya Dr. Hendrik Lamsali, Timbalan Naib Canselor (Hal Ehwal Pelajar dan Alumni), akan sentiasa memastikan segala keperluan diri dan hal ehwal kebajikan mereka terjaga dengan sempurna. Bukan sahaja dari segi keperluan fizikal seperti makan dan minum malah dari sudut emosi apabila perkhidmatan kaunseling turut disediakan secara atas talian yang boleh diakses hampir sepanjang masa.

Bagi kakitangan universiti pula, pihak Pengurusan Universiti turut memberi tumpuan terhadap kebajikan kakitangan dengan pelbagai insentif dan inisiatif yang disediakan seperti pemberian moratorium kepada kakitangan yang terlibat dengan pinjaman universiti, elaun yang bakal dipertimbangkan kepada petugas barisan hadapan UUM dan sebagainya. Begitu juga dengan pusat pengajian yang turut menjalankan pembelajaran secara atas talian (online learning) bagi memastikan proses pengajaran dan pembelajaran dapat terus berjalan dengan lancar bermula pada 27 April ini.

Peranan Universiti Kepada Barisan Hadapan

Sesungguhnya saya amat berbangga dengan komitmen yang ditunjukkan petugas barisan hadapan yang terdiri daripada kakitangan UUM bermula dari PKP Fasa Pertama lagi. Komitmen mereka yang amat tinggi dalam memberikan khidmat terbaik dalam usaha memastikan warga kampus sentiasa berada dalam keadaan yang selamat di samping membantu pihak Polis Diraja Malaysia memastikan arahan PKP sentiasa dipatuhi adalah amat disanjung tinggi. Kakitangan di Jabatan Keselamatan, Pusat Kesihatan Universiti (PKU), Jabatan Hal Ehwal Pelajar, Jabatan Pembangunan dan Penyenggaraan (JPP), mana-mana unit dan pusat-pusat tertentu telah bersama-sama berganding bahu dalam memastikan operasi universiti sentiasa berjalan dalam keadaan yang baik dan bebas COVID-19.

Selain itu, yang paling penting dan membanggakan adalah apabila para pelajar dan kakitangan universiti, selain sukarelawan luar, turut bersama-sama menyediakan dan menjahit sut peralatan perlindungan diri (PPE) dan face shield untuk kegunaan barisan hadapan di Hospital Sultanah Bahiyah, Hospital Kangar dan juga klinik kesihatan yang berdekatan. Pengurusan Universiti amat menghargai pengorbanan dan solidariti yang telah ditunjukkan oleh semua pihak untuk bersama-sama memerangi wabak ini. 

Alumni sebagai Tulang Belakang

Kepada semua Alumni yang terjejas sepanjang tempoh PKP dan memerlukan bantuan, anda boleh menghubungi Pengarah Pusat Alumni, Dr. Muslimin Wallang di talian 019-5719770 atau di emel: This email address is being protected from spambots. You need JavaScript enabled to view it.. Para Alumni juga boleh memaklumkan kepada Pusat Alumni UUM sekiranya terdapat sebarang maklumat berkenaan rakan-rakan Alumni UUM yang kurang bernasib baik dan memerlukan bantuan untuk tindakan pihak kami selanjutnya. Insya-Allah, pihak Universiti akan cuba membantu sedaya upaya kami sebaik yang mungkin.

Pada kesempatan ini juga, saya menyeru kepada para Alumni untuk tampil menghulurkan sumbangan bagi membantu barisan hadapan dan Alumni yang memerlukan. Sumbangan anda di saat-saat kritkal ketika PKP ini adalah amat berharga bagi memastikan segala aktiviti dan program bantuan sepanjang PKP ini dapat berjalan lancar. Sumbangan ikhlas anda boleh disalurkan ke: “TABUNG SUMBANGAN UUM COVID-19, BANK ISLAM MALAYSIA BERHAD (02-093-01-000001-0)”

Hasil sumbangan ini akan digunakan untuk membantu mereka yang memerlukan termasuk para pelajar, kakitangan universiti, barisan hadapan dan juga Alumni.

Sekali lagi, saya ingin merakamkan ucapan ribuan terima kasih kepada para Alumni UUM yang sudi menyumbang kepada tabung ini. Saya yakin sumbangan anda ini menunjukkan keprihatinan, sokongan dan kasih sayang anda yang tidak berbelah bahagi terhadap Alma Mater anda sekalian. Saya sentiasa mendoakan agar sumbangan anda ini mendapat ganjaran pahala di sisi Allah SWT.

Akhir kata, saya berdoa agar kita semua kekal selamat dan sihat di mana-mana sahaja kita berada dan sentiasa sabar serta cekal dalam menghadapi ujian Allah SWT ketika ini. Saya yakin, jika kita sama-sama berganding bahu pasti kemenangan dapat kita capai.

 

#StayHome

#KitaJagaKita

#StayStrong


PROF. DATO’ DR. AHMAD BASHAWIR HAJI ABDUL GHANI

Naib Canselor

Universiti Utara Malaysia