AMPANG, 13 Oktober 2025: Pusat Zakat dan Wakaf (PZW) Universiti Utara Malaysia (UUM) terus memperkukuh jalinan dengan alumni apabila Pengarahnya, Dr. Mohamad Zulkurnai Ghazali, mengadakan pertemuan bersama Encik Mohd Nizuaisham Mohd Sanif, wakil penyumbang bagi Dana Wakaf Alumni Persatuan Bekas Pelajar MRSM Malaysia (ANSARA) Pioneer Batch Matrik Universiti Utara Malaysia (UUM) 1985/87, di Rumbia Coffee House, De Palma Hotel, Ampang.
Pertemuan ini memberi peluang kepada kedua-dua pihak membincangkan pelaksanaan serta pengurusan sumbangan wakaf alumni dengan lebih sistematik agar manfaatnya dapat disalurkan secara berterusan bagi menyokong kebajikan dan pembangunan pelajar UUM.
Menurut Dr. Mohamad Zulkurnai, komitmen dan keprihatinan Alumni ANSARA Pioneer Batch Matrik UUM 1985/87 jelas menunjukkan sokongan padu terhadap usaha memperkasakan wakaf pendidikan universiti.
“Kerjasama ini membuktikan semangat kebersamaan dan tanggungjawab sosial alumni dalam menjayakan agenda wakaf pendidikan UUM,” katanya.
PZW UUM akan terus memperluas kerjasama strategik bersama alumni dan rakan korporat bagi memperkukuh ekosistem wakaf universiti yang lestari serta memberi manfaat berterusan kepada komuniti kampus dan masyarakat.
Berita lanjut, layari https://uumtoday.com/campus-news/alumni-ansara-pioneer-batch-matrik-uum-85-87-terus-sokong-agenda-wakaf-uum/
PETALING JAYA, 10 Ogos 2025: Kebawah Duli Yang Maha Mulia Al Aminul Karim Sultan Sallehuddin Ibni Almarhum Sultan Badlishah, Sultan Negeri Kedah Darul Aman, Tuanku Canselor Universiti Utara Malaysia (UUM) telah berkenan berangkat ke Bankuet Diraja Alumni UUM 2025 di One World Hotel, malam tadi. Keberangkatan baginda disambut oleh Naib Canselor, Prof. Dato’ Dr. Mohd Foad Sakdan, barisan pengurusan tertinggi universiti, serta alumni dari pelbagai latar belakang yang hadir memeriahkan majlis gilang-gemilang tersebut.
Turut berkenan berangkat, Duli Yang Teramat Mulia Tengku Sarafudin Badlishah ibni Al Aminul Karim Sultan Sallehuddin, Raja Muda Kedah merangkap Pro-Canselor UUM; Duli Yang Amat Mulia Dato’ Seri Diraja Tunku Shazuddin Ariff Ibni Sultan Sallehuddin, Tunku Mahkota Kedah; serta Tengku Tan Sri Dato’ Paduka (Dr.) Mahaleel Tengku Ariff.
Di samping itu, Duli Yang Teramat Mulia Che Puan Muda Zaheeda Mohamad Ariff, Tuanku Raja Puan Muda Kedah dan Duli Yang Amat Mulia Che Puan Nur Julie Ariff, Tunku Puan Mahkota Kedah turur perkenan berangkat hadir ke bankuet tersebut.
Majlis berprestij ini menjadi wadah menghimpunkan alumni UUM, mengukuhkan silaturahim serta meraikan pencapaian mereka yang telah mengharumkan nama universiti di persada nasional dan antarabangsa, selain menyerlahkan warisan tradisi, semangat kebersamaan, dan aspirasi masa depan universiti.
Majlis turut diserikan dengan persembahan memukau daripada artis jemputan tersohor seperti Datuk Jamal Abdillah, Dina Nadzir, Farhan, Aril Pilus dan Amir Masdi, yang menghangatkan suasana malam penuh bersejarah ini.
Hadir sama, Timbalan Ketua Setiausaha (Dasar) KPT, Dato’ Dr. Megat Sany Megat Ahmad Supian; Pengerusi Lembaga Pengarah UUM, Tan Sri Dr. Mohd Shukor Mahfar, ahli-ahli LPU dan Jawatankuasa Pengurusan Universiti (JPU).
Berita lanjut, layari https://uumtoday.com/general-news/bankuet-diraja-alumni-uum-rai-silaturahim-warisan-dan-aspirasi/
Pusat Alumni perlukan RM 5 juta untuk pembangunan ALTRAC
PETALING JAYA, 10 Ogos 2025: Sebagai medan interaksi antara alumni dan pelajar Universiti Utara Malaysia (UUM), Pusat Alumni bakal mewujudkan Alumni Learning and Training Centre (ALTRAC). Naib Canselor, Prof. Dato’ Dr. Mohd Foad Sakdan berkata, pusat latihan dan pembelajaran atau ALTRAC itu akan menelan kos RM 5 juta untuk pembinaan, pembelian perabot dan penyelenggaraan pusat berkenaan.Menurutnya, pusat itu bukan sahaja akan menjadi medan interaksi alumni dan pelajar, tetapi turut membuka ruang kepada pelajar dan komuniti luar untuk mendapat akses kepada program pembangunan kendiri dan kerjaya.
Selain itu, Naib Canselor turut memaklumkan bahawa jumlah alumni UUM sehingga kini mencecah 172,570 orang, yang bukan sahaja menjadi produk akademik tetapi juga rakan strategik universiti dalam memperkasa pengajaran dan pembelajaran. Menurutnya, keterlibatan alumni dalam aktiviti seperti Alumni Back2Campus, CEO@Faculty, perkongsian alumni industri dan lain-lain kolaborasi telah memberi nilai tambah kepada proses pembelajaran pelajar UUM serta menjadikan ia lebih kontekstual berimpak dan relevan kepada keperluan industri.
Beliau juga menzahirkan penghargaan kepada penaja yang menyokong penganjuran majlis, termasuk penaja Platinum dan Emas iaitu Latimer Corporation Sdn Bhd, First Grade Resources Sdn Bhd, Othman Yeop Abdullah Graduate School of Business (OYAGSB), Dr. Kasuma Satria Mat Jadi, Hussain Ahmad Abdul Kader, Dato’ Ramli Mohd Tahir, serta ASR Padu Sdn Bhd, manakala penajaan Perak dan Gangsa pula berjumlah RM60,000, menjadikan kutipan keseluruhan sebanyak RM260,000.
“Terima kasih kepada alumni yang telah mewakafkan harta, ilmu dan kepakaran mereka demi manfaat generasi akan datang.“Sumbangan ini menjadi bukti kasih sayang alumni terhadap alma mater dan merupakan satu amal jariah yang berkekalan pahalanya,” katanya di Bankuet Diraja Alumni UUM, semalam.
Dr. Mohd Foad turut memaklumkan tentang sejarah dan kejayaan UUM antaranya kedudukan dalam QS World Umiversity Rankings 2026, Times Higher Education World University Rankings bagi universiti bawah 50 tahun serta rekod kebolehpasaran graduan mencecah 96.6 peratus.
Berita lanjut, layari https://uumtoday.com/general-news/pusat-alumni-perlukan-rm-5-juta-untuk-pembangunan-altrac/
SINTOK, 23 JULAI 2025: Satu kunjungan balas oleh delegasi Kedah Industrial Skills and Management Development Centre (KISMEC) ke Universiti Utara Malaysia (UUM) telah diadakan baru-baru ini bagi membincangkan peluang kerjasama strategik berkaitan Program Tauliah Industri dan Profesional KPT (KPTiP). Sesi perbincangan ini turut menekankan peranan institusi pendidikan dan pusat latihan kemahiran dalam memperkasakan kebolehpasaran graduan melalui kolaborasi program latihan, pemadanan industri, dan penawaran kursus bersesuaian dengan keperluan pasaran kerja semasa.
Delegasi KISMEC diketuai oleh Encik K. Karuna, Penolong Pengurus Bahagian Pembangunan Perniagaan disambut mesra oleh Pengarah Pusat Kerjasama Universiti-Industri (CUIC), Prof. Dr. Chandrakantan Subramaniam. Kunjungan balas ini membuka ruang perbincangan lebih lanjut dan menyeluruh berkaitan inisiatif bersama antara institusi TVET dan universiti awam dalam memperkukuh jaringan pendidikan dan latihan yang bersesuaian dengan keperluan industri semasa. Antara agenda utama yang diketengahkan termasuklah Pelaksanaan program latihan jangka pendek dan jangka panjang di bawah kerangka KPTiP; penawaran kursus atau modul berbentuk industri kepada graduan dan pelajar tahun akhir serta peluang kerjaya kepada pelajar yang telah tamat mengikuti program KPTiP.
Menurut wakil KISMEC, kerjasama ini amat penting dalam memastikan graduan memiliki set kemahiran yang relevan serta dapat diserap ke dalam pasaran kerja dengan lebih cepat dan berkesan. Kunjungan ini mencerminkan komitmen berterusan KISMEC dan UUM dalam mendukung agenda nasional ke arah pembangunan modal insan berkemahiran dan berdaya saing. Kedua-dua pihak turut menyatakan komitmen untuk meneroka inisiatif bersama dalam memperkukuh jaringan kerjasama, termasuk kemungkinan penganjuran bersama program intervensi, seminar industri, dan penempatan latihan industri pelajar.
Turut hadir dalam sesi ini Prof. Madya Dr. Lily Julienti bt. Abu Bakar, Pengarah Pusat Alumni UUM, Prof. Madya Dr. Normalisa binti Md Isa, Timbalan Pengarah, Bahagian Hubungan Industri CUIC, Prof. Madya Ts. Dr. Mohamad Fadli bin Zolkipli, Timbalan Dekan (Hal Ehwal Pelajar & Alumni) Pusat Pengajian Pengkomputeran , Prof. Madya Dr. Norhaslinda Binti Zainal Abidin, Pengarah ISIDM, Prof. Madya Dr. Norsiah Binti Hami Timbalan Dekan (Akademik & Antarabangsa) dan Puan Nur Farah binti Johari wakil Pusat Kerjaya dan Kebolehpasaran Graduan (CDGEC).
Kunjungan ini diakhiri dengan sesi pertukaran cenderahati dan gambar kenangan, sebagai simbol permulaan hubungan strategik antara kedua-dua pihak. Pusat Alumni UUM turut mengambil peluang meraikan 3 staf KISMEC yang merupakan Alumni UUM.
UUM Today: https://uumtoday.com/campus-news/jalinan-uum-kismec-perkukuh-program-kptip-dan-inisiatif-ge/