Kuching-Pusat Alumni, Universiti Utara Malaysia telah menganjurkan satu program AlumniUUM@Komuniti di Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Green Road, Kuching, dengan kerjasama Alumni UUM Sarawak (AURAS) dalam usaha membantu pelajar-pelajar Tingkatan Enam melanjutkan pengajian mereka ke Universiti Utara Malaysia (UUM) selepas STPM. Alumni AURAS juga merupakan alumni SMK Green Road itu sendiri. Majlis perasmian program ini telah disempurnakan oleh Timbalan Naib Canselor (Hal Ehwal Pelajar dan Alumni), Profesor Dr. Ahmad Martadha Mohamed.
Program ini bertujuan untuk memberikan pendedahan dan bimbingan kepada pelajar mengenai peluang dan persediaan untuk melanjutkan pengajian ke peringkat universiti, khususnya ke UUM. Selain itu, ia juga bertujuan untuk memperkukuhkan hubungan antara alumni UUM dan pelajar serta memanfaatkan pengalaman alumni untuk membantu pelajar merancang masa depan mereka.
Program ini turut disertai oleh Prof. Madya Dr. Ahmad Hisham Zainal Abidin, Pengarah Bahagian Pemasan yang memberikan informasi tentang program yang ditawarkan oleh UUM, fasiliti di kampus, serta menyesuaikan diri dengan kehidupan kampus. Sesi perkongsian ini disambut baik oleh para pelajar yang hadir, dengan pelbagai soalan diajukan kepada beliau. Kebanyakan pelajar berminat untuk mendapatkan maklumat berkaitan Ijazah Sarjana Muda Undang-undang yang terdapat di UUM.
Program ini juga menyediakan sesi bimbingan akademik dan membantu pelajar untuk merancang laluan pendidikan mereka bagi yang berminat melanjutkan pengajian di UUM. Pusat Alumni juga berbangga kerana Pengetua SMK Green Road, Encik Faidzul Ahmad merupakan alumni UUM telah sudi berkongsi pengalaman beliau. "Pengalaman belajar di UUM bukan sahaja membuka peluang kerjaya yang luas tetapi juga telah membentuk landasan kejayaannya sebagai seorang pendidik dan pemimpin," ujar beliau.
Sebagai seorang yang memimpin sebuah sekolah menengah yang berprestasi, Encik Faidzul juga berbagi pengalamannya dalam menghadapi cabaran dan mencapai kejayaan. "Pendidikan adalah kunci bagi masa depan negara kita. Sebagai pendidik, kita bertanggung jawab untuk membentuk generasi masa depan yang cemerlang dan berdaya saing," tambahnya.
Keseluruhannya, program komuniti ini berjaya mencapai matlamatnya dalam memberikan motivasi dan panduan kepada pelajar SMK Green Road. Pihak AURAS juga telah mengadakan satu sesi motivasi bersama pelajar sekolah serta merancang untuk menjadikan program ini sebagai acara tahunan, dengan harapan lebih ramai pelajar dari Sarawak akan mendapat manfaat daripadanya dan berjaya melanjutkan pengajian mereka ke peringkat yang lebih tinggi.
Program ini bukan sahaja memperlihatkan komitmen alumni dalam menyumbang kembali kepada alma mater mereka, tetapi juga menunjukkan kepentingan kerjasama antara sekolah, alumni, dan pelajar dalam membentuk masa depan yang cerah untuk generasi akan datang.
Kuantan-Dalam semangat kebersamaan dan nostalgia zaman belajar di UUM, alumni dari berbagai tempat di Pahang berkumpul untuk merayakan pertemuan istimewa mereka di Menara 188 Kuantan dalam program MohMakan@Alumni Pahang yang telah dianjurkan oleh Pusat Alumni dengan kerjasama Kerajaan Negeri Pahang. Acara tersebut membolehkan semua alumni mengimbas kenangan yang tak terlupakan semasa belajar di UUM serta peluang untuk mempererat ikatan kekeluargaan yang telah terjalin selama bertahun-tahun.
Dengan kehadiran lebih dari 50 alumni dari berbagai bidang dan latar belakang, mereka berkongsi kisah, tawa, dan pencapaian dalam bidang masing-masing. Dari perbincangan santai hingga rencana kolaborasi program mendatang, setiap sudut ruangan dipenuhi dengan energi positif dan semangat persaudaraan.
"Ini luar biasa dapat berkumpul kembali dengan teman-teman lama dan mengingat kembali masa-masa indah kami di UUM," ujar Zamri, seorang alumni yang hadir dalam acara tersebut. "Kami telah meniti jalan yang berbeza dalam hidup kami, namun hari ini kami kembali berjumpa dengan rakan-rakan lama."
Acara tersebut juga menjadi kesempatan bagi Profesor Dr Mohd Fo’ad Sakdan, Naib Canselor UUM untuk mengucapkan sekalung penghargaan dan terima kasih kepada Kerajaan Negeri Pahang, melalui Yang Berhormat Dato’ Sri Haji Zulkifli selaku SUK dan Presiden Alumni Pahang Chapter yang telah sudi menaja majlis MohMakan. Disamping itu mengajak para alumni untuk kembali ke UUM melalui Program MAI BALIK UUM yang akan diadakan pada 20-22 September 2024.
Hadir sama, Timbalan Naib Canselor (Hal Ehwal Pelajar dan Alumni) dan Dato’ Abu Seman Awang, Mantan Pendaftar UUM
Karak-Pusat Alumni dengan kerjasama Club Tomas STHEM telah mengadakan satu program bersama dengan anak-anak orang asli di Sekolah Kebangsaan Sungai Dua dan Kampung Orang Asli Sungai Dua Hulu, Karak, Pahang. Program ini bersifat kepada perkongsian pengetahuan (KTP) dan juga program tanggungjawab sosial universiti (USR) serta membina hubungan komuniti antara pelbagai lapisan masyarakat.
Program ini mencipta platform interaktif di mana pelajar-pelajar UUM dari Club Tomas STHEM berpeluang untuk berinteraksi dan belajar bersama dengan anak-anak orang asli melalui slot penguasaan tatabahasa Bahasa Inggeris menggunakan kaedah bermain dengan perkataan Bahasa Inggeris "Spelling Bee”.
Selain itu, program ini juga bertujuan untuk menggalakkan kesedaran dan penghargaan terhadap kepelbagaian budaya di dalam Masyarakat orang asli. Dengan memperkenalkan budaya dan tradisi Orang Asli kepada pelajar UUM, diharapkan akan tercipta pemahaman yang lebih mendalam dan toleransi antara pelbagai etnik di Malaysia. Rombongan dari UUM juga telah disambut meriah dengan paluan kompang dan pertunjukan tarian dari suku Temuan.
Pengetua Sekolah Sungai Dua, Encik Ahmad Jafri Dolah, memaklumkan bahawa sekolah ini telah terlibat dalam Projek Memperkasakan Amalan Kemenjadian Murid (MAKMur) sejak April 2022. Ia merupakan Program Kerjasama Teknikal Jepun di antara Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) dan Japan International Cooperation Agency (JICA). Projek MAKMur ini merupakan pengadaptasian pendidikan holistik yang diamalkan di Jepun yang disesuaikan dalam aktiviti dan amalan sedia ada di sekolah bagi memperkasakan proses pembentukan murid yang seimbang berdasarkan konteks dan budaya masyarakat di Malaysia.
"Dalam menangani pelajar-pelajar Orang Asli, kita perlu memahami bahawa setiap individu mempunyai keperluan dan potensi yang unik. Saya percaya bahawa melalui projek MAKMur ini dapat membangunkan karakter murid melalui penyatuan tiga elemen MAKMur, iaitu pemikiran, emosi dan tingkah laku bagi mencapai potensi sebenar mereka,” ujar Encik Jafri dengan yakin.
Semangat kerjasama dan sokongan untuk program pendidikan anak Orang Asli di Pahang semakin bertambah apabila Yang Beradat Batin Razak Beretong turut hadir untuk menyokong inisiatif ini. Beliau menyatakan kebanggaan mereka terhadap langkah-langkah yang diambil oleh sekolah dan pihak berkuasa tempatan untuk membantu anak-anak mereka mencapai impian mereka melalui pendidikan.
BALING: Pusat Alumni Universiti Utara Malaysia (UUM) telah menyantuni murid-murid Sekolah Kebangsaan Kampong Keda (SKKK), baru-baru ini.
Timbalan Pengarah Pusat Alumni, Halim Md Yatim berkata, program tersebut bertujuan untuk menyampaikan motivasi kepada murid sekolah berkenaan dengan menampilkan alumni UUM, Nor’Ain Karim.
Nor’Ain atau Cikgu Ain merupakan guru di Kolej Agama Sultan Abdul Halim (Maahad Dini) telah berkongsi kata motivasi bagi meningkatkan semangat mereka dalma pelajaran.
Di samping itu, motivasi beliau bertujuan untuk membantu anak-anak tersebut dalam membina diri menjadi insan yang cemerlang dengan membuat aktiviti bersama-sama.
Pelbagai aktiviti dijalankan yang memberi impak positif kepada murid-murid ini, malah mereka sangat responsif dan aktif.
Slot terakhir iaitu refleksi menunjukkan respon positif murid antaranya fokus, bekerjasama dan berusaha bersungguh-sungguh dalam membuat sesuatu perkara.
Selain itu, guru-guru Sekolah Kebangsaan Kampong KEDA juga memberi maklum balas terhadap program ini dan berharap program sebegitu dapat dilaksanakan lagi untuk membantu anak-anak muda sekolah itu.
Turut hadir, Guru besar SKKK, Farid Azizi Md. Noh. – Anis Husna Yahya (Pelajar Praktikum dari SCIMPA)